Sunday, September 23, 2012

Suami Isteri : Berbaloikah Hubungan Jarak Jauh?

                Rasa untuk bernikah adalah fitrah yang ALLAH datangkan dalam diri setiap hambaNYA. Manusia merindukan kasih sayang hidup berpasangan. Kita menginginkan kemesraan dan kebahagiaan melingkari kehidupan bila mana kita memilih untuk bernikah.
Namun situasi hari ini, suami dan isteri kadang-kadang menghadapi dilema perpisahan - perhubungan jarak jauh - kerana tuntutan kerjaya. Berjumpa sebulan sekali atau dua kali. Atau jarang sekali.
Si isteri bekerja di negeri atau negara lain dengan gaji yang selesa. Si suami juga berada di tempat kerja lain, yang mungkin juga di kampung halaman sendiri yang menjadi keselesaan dan keutamaan.
Lalu apakah nilai pernikahan jika dihambat perpisahan dan kejauhan?
Suami mengharapkan belaian cinta kasih isteri, yang dulunya haram.. kini setelah halal bermesra-mesra , namun berjauhan pula?
Isteri berharap suami menjadi teman cinta yang melindungi dan menjaga dirinya dalam pelbagai perkara, namun suami jauh terpisah oleh sempadan negeri dan negara?

Rezeki dan Ekonomi 

Pandangan peribadi saya, isteri lah yang wajar mengikut jejak suami, walau di bumi mana sekalipun suami bertugas. Apatah lagi, jika ia adalah permintaan suami, maka isteri wajib berusaha untuk taat dan melepaskan kerjayanya. (Namun ada kerjaya tertentu seperti tentera, kelasi dll yang pastinya tidak memungkinkan isteri mengikut suami).
Kewajipan untuk taat dan mengikut suami bukanlah syariat ALLAH yang zalim. Maha Suci Allah dari semua itu. ALLAH sebaik-baik penyusun kehidupan, maka kita bersangka baik bahawa semua sistem dan peraturan yang ALLAH letakkan antara suami dan isteri adalah untuk memelihara kehidupan bekeluarga.
Kalau berhenti kerja, atau bertukar kerja.. akan memberi kesan kepada gaji dan pendapatan?
Usah bimbang, yakinlah ALLAH adalah pemberi rezeki yang sempurna. ALLAH menyusun setepat-tepatnya rezeki buat kita semua – suami, isteri, anak-anak, ibu bapa hatta setiap manusia itu ALLAH telah tetapkan rezekinya.
Kita hanya perlu berusaha pada kadar yang kita mampu.
Jika suami meminta isteri berhenti kerja, suami juga menyatakan kemampuan menanggung isteri sepenuhnya, subhanallah..inilah yang terbaik. Terbaik kerana terungkap dalam firman ALLAH, bahawa lelaki itu yang seharusnya menyara kehidupan seorang isteri.
Maka dengan keringat suami bekerja, akan cukup makan minum dan pakai seorang isteri. Punya tempat berteduh. Punya kenderaan yang boleh membawa suami dan isteri ke mana-mana.
Namun harus diingat, gaji suami tak akan pernah cukup untuk isteri yang 'high maintenance'.. banyak keinginan material dan punya nafsu shopping atau berbelanja yang tinggi..
Selain itu, benar sekali kata-kata yang biasa didengar "anak itu rezeki..".
Ya, ALLAH jua telah tetapkan ada rezeki untuk anak-anak itu, kita hanya berusaha mencarinya dengan cara yang terbaik, bukan dengan cara yang boleh mengancam hubungan suami isteri.
Mak ayah kita orang susah...?
Bantulah ibu dan ayah mengikut kemampuan kita..dan sebenarnya, adakah ibu dan ayah hanya perlu pada duit dan sumbangan material kita?
Tak. Maka jangan disempitkan erti memberi dan berbakti pada ibu dan ayah.
Sesungguhnya ibu bapa memerlukan anak yang soleh itu lebih dari segala-galanya.
Anak yang soleh, mendoakan keselamatan dan kebahagiaan ibu ayah di dunia dan akhirat. Apatah lagi jika ibu dan ayah semakin tua, anak-anak terlebih lagi perlu mengingatkan ibu dan ayah kepada dunia yang akan habis dan ditinggalkan.
Berharganya pemberian anak-anak bukan pada nilai ringgit malaysia dua ratus atau dua ribu sebulan, tapi pada keikhlasan dan istiqamah dalam menghulurkan. Ini yang menjadi nilaian ALLAH.
Anak yang soleh adalah anak yang bertaqwa. Bukankah ALLAh telah berjanji, akan sentiasa ada rezeki buat hamba-hambaNya yang bertaqwa?
Dan bertaqwa itu datangnya dari ilmu. Maka suami dan isteri usahakan mencari ilmu agama dan dunia dengan seimbang. Dalam sibuk mencari rezeki, usahakan ke kelas agama- belajar Al Quran dan Hadis, belajarlah ilmu-ilmu ALLAh yang memandu kita kepada kebahagiaan sebenar.
Supaya kemudian, bila ilmu dan taqwa menjadi bekal diri... hati merasa lapang, lagi merasa cukup dengan pendapatan bulanan. Mampu menjadi suami dan isteri yang bahagia bersyukur dengan rezeki ALLAH.
Dan yang penting juga, perlu memiliki pengurusan kewangan yang baik. Selain belanja kita suami isteri, hutang-hutang, bil-bil, sewa rumah dan kereta, jangan lupa masukkan dalam bajet bulan – sumbangan atau sedekah kita pada ibu ayah, adik beradik dan ahli keluarga terdekat. Boleh juga disediakan bajet untuk sedekah pada insan-insan yang memerlukan.
"If you want to feel rich, just count all of the things you have that money cannot buy "
Setelah mengatur kewangan dengan baik, setelah berusaha dan berdoa pada ALLAH agar dilapangkan rezeki...apakah masih tidak cukup gaji bulanan..?
Ayuh muhasabah harta benda yang dimiliki..Mungkin ada di sana sini yang kita berbelanja mengikut nafsu..
Berapa almari pakaian kita? Berapa banyak handbag kita? Berapa pasang kasut yang kita miliki? Jam tangan, handphone, alat make-up, perhiasan diri dan rumah... semua ini dibolehkan namun bersederhanalah.

Duduk jauh vs duduk sekali

Setelah duduk satu rumah, hari-hari bertemu muka... awal-awalnya kalian merasakan kebahagiaan hidup berdua. Saling memanjai, saling berkasih sayang, segala aktiviti terasa 'sweet' dan indah.
Dalam masa yang sama, berhati-hatilah dengan tipudaya syaitan. Syaitan telah bersumpah di hadapan ALLAH untuk memecahbelahkan kasih sayang dan persaudaraan. Rasul SAW juga mengungkap dalam hadisnya bahawa syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap keadaan , dan mudah mempengaruhi bila kita lupakan ALLAH.
Dan syaitan yang paling hebat mendapat pengiktirafan di kalangan 'geng' mereka adalah, syaitan yang berjaya memisah-misahkan suami isteri..
"Dulu masa bercinta ok je? Dulu masa duduk jauh ok je? Kenapa sekarang macam banyak je yang tak kena.. Asyik nak bergaduh..."
Saat berjauhan, hati sering merindu. Ada rasa teruja dan bersemangat menanti pertemuan saban minggu atau saban bulan. Hati dan diri berusaha memberi yang terbaik pada pasangan.
Namun bila duduk satu rumah, semakin banyak perkara yang dihadapi bersama, pastinya suasana menjadi lain. Apatah lagi perasaan cinta selepas bernikah, sukar untuk terus segar seiring dengan masa.
Percayalah..semua pasangan akan berkonflik untuk fasa membangunkan keserasian dan kefahaman.
Jadi harus positif, bersedia untuk belajar dan berubah. Kebahagiaan dalam pernikahan tidak subur dengan sendirinya, perlu konsisten berbuat baik, perlu bermujahadah untuk berakhlak baik, perlu ikhlas... mencintai dan melayani suami dan isteri kerana benar-benar inginkan redha tuhan.
Jika tidak ikhlas mencintai manusia kerana ALLAH , hati terasa sakit mencintai manusia. Tanpa ALLAH di hati, hati tak mampu memaafkan.

Ujian bakal menerpa silih berganti. Ujian kewangan, ujian mertua dan ipar duai, ujian hubungan seksual, ujian kerjaya, ujian komunikasi dan lain-lain lagi bentuk ujian kecil dan besar... Malah betapa banyaknya pasangan yang rasa 'sesak dada' menghadapi pelbagai-bagai perbezaan yang seakan menghapuskan cinta yang pernah mekar di dalam dada. Perbezaan psikologi lelaki dan perempuan, cara bertindak, dan cara berperasaan..jika tidak berusaha difahami, isteri semakin bosan dengan gelagat suami, suami semakin bosan juga dengan kerenah isteri..
Juga cara berpenampilan, cara makan dan minum, cara tidur, cara mengemas, cara menjaga kebersihan, cara bersosial, cara mendidik anak, cara bershopping... salah satunya atau kebanyakkan perkara ini jika tak ditangani dengan baik menjadikan hati-hati kita kecewa dengan pernikahan.
Malah jika semua bentuk-bentuk ujian ini tidak dihadapi dengan emosi dan pemikiran yang matang, bersedialah anda untuk bercerai selepas dua tiga tahun usia pernikahan..
Perkongsian ini bukan untuk menakutkan, tapi dari pengalaman isteri-isteri /jua suami-suami yang berkongsi permasalahan.

Ayuh belajar berkomunikasi dengan baik dalam hubungan pernikahan yang dijalin ALLAH ini. Ungkapkan terima kasih dan penghargaan atas perkara kecil dan besar yang dilakukan pasangan. Nyatakan ketidakpuasan hati jua teguran dengan hikmah dan bijak. Saling menasihati dengan kesabaran dan kasih sayang..
Oleh itu, andai diri bersedia untuk duduk dekat dan serumah dengan suami, bersedialah mental dan fizikal untuk melaksanakan kewajipan sebagai isteri, sebaiknya dan seikhlasnya.
Bagi yang bujang, ada yang sering merasa 'kecederaan hati' melihat kebahagiaan pasangan yang gambar bahagia terpapar di mana-mana blog atau forum maya, namun realitinya.. Di sebalik gambar-gambar dan wajah-wajah bahagia itu, ada pasangan suami isteri itu yang lebih 'tercedera' lagi hati mereka dengan sikap pasangan dan situasi rumahtangga yang diuji.

Isteri Sebagai Pencorak Rumahtangga

Dalam sebuah buku yang saya baca, jatuh bangun sesebuah rumahtangga banyak ditentukan oleh peranan isteri dan ibu. Kejayaan dan kegagalan seorang suami juga ada pengaruh besar dari isteri. Maka atas sebab itulah, saya memberi pandangan bahawa yang terbaik adalah isteri menjadi isteri dan ibu sepenuh masa. Tanpa perlu bekerja pada mana-mana majikan lain.
Cukuplah ALLAH dan suami menjadi majikan. Isteri dan ibu fokus pada membina keluarga yang menjadi tempat berteduh yang nyaman dan harmoni buat suami dan anak-anak. [Dalam masa yang sama, ada pertimbangan-pertimbangan lain yang kita bersetuju bilamana isteri terpaksa bekerja.]
Suami akan tenang bekerja, dan kuat menghadapi tanggungjawab lain di luar rumah dengan adanya isteri di rumah yang juga tenang dan kuat. Tenang lagi menenangkan. Isteri yang berilmu dan beriman. Isteri yang hatinya luas dengan kasih sayang, sabar dan bijak menghadapi suami yang stress dengan kerjaya dan ujian lain. Isteri yang cekap menguruskan kerja-kerja rumahtangga dan berhemah menguruskan belanjawan rumahtangga.
Namun bila bekerja, isteri seakan telah habis emosinya di tempat kerja, dengan bebanan kerja yang meragut senyuman dan ketenangan hati seorang isteri dan ibu. Pulang ke rumah, suami dan anak-anak tidak punya wajah teduh seorang isteri dan ibu, kerana ibu juga pulang bekerja dengan rasa kepenatan mengejar dateline dan seribu satu tugasan di tempat kerja.
Pada wanita yang terpaksa bekerja, moga ALLAH membantu meringankan beban kalian menghadapi tanggungjawab mencari rezeki..moga ada jalan keluar untuk masalah ekonomi yang tak kunjung sudah..
"Bosannya duduk rumah..."
Bosan akan kadang-kadang menimpa, bukan sekadar pada isteri yang duduk di rumah, mereka yang di tempat kerja juga kadang-kadang merasa bosan dan malas dengan rutin kerja seharian..
Ya, harus saya akui kadang-kadang hadir rasa bosan tinggal di rumah bersama anak dan melakukan kerja-kerja rumah, namun itu adalah perasaan yang sangat manusiawi. Maka saya mencari aktiviti-aktiviti pelbagai yang boleh dilakukan di dalam dan luar rumah, selagi dalam batas syariat ALLAH, agar kita dapat menjaga semangat dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk keluarga..
Malah dengan adanya dunia tanpa sempadaan di alam maya, maka pelbagai bisnes dan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan di lakukan secara online. Belajarlah ilmu ini dari yang telah berjaya melakukan.
Jangan sekadar menghabiskan jam-jam yang bayak depan internet, hanya sembang kosong, bergosip ..namun jadikan kemudahan internet sebagai ruang untuk menambah pendapatan, menambah ilmu agama dan dunia, untuk mempertingkat kualiti diri sebagai manusia melalui laman-laman web yang membina.
 Penghilang bosan yang utama adalah mengingatkan diri kita hakikat kehidupan. Kita dalam perjalanan pulang bertemu tuhan..kalau bosan, tidak boleh berlama-lama. Kalau sedih, usah larut panjang berjela. Kalau marah, tahanlah semampunya, maafkanlah semua..Mintalah maaf dari orang yang kita lukai, mohonlah ampun pada ALLAH..

Kuatkan hati, bangun semula..

Bila telah memilih berhenti kerja kerana mengikut suami, jangan menyesali keputusan yang dibuat.
Berbaloikah pengorbanan kita meninggalkan kerjaya yang stabil, hanya untuk melalui ujian rumahtangga yang sebegini..?
Berbaloi insyaALLAH.. Kalian memilih berhenti kerja, kerana cinta dan niat murni memberi yang terbaik untuk suami dan keluarga, maka ALLAh akan menjaga kalian. ALLAH adalah sebaik-baik pemelihara diri kita, dan pemelihara cinta kita.
Yakinlah. Berusahalah menjadi hamba yang soleh. Berimanlah pada ketentuan tuhan.
Moga pilihan kita hari ini akan memberi makna dan nilai yang besar pada saatnya waktu bertemu tuhan.
Sekian perkongsian, moga bermanfaat~
- Artikel iluvislam.com

Saturday, September 22, 2012

"Bila Awak Nak Kahwin?"

Pada saat usia mencecah alam dewasa, pastinya persoalan jodoh merupakan salah satu perkara yang amat mengusutkan fikiran kita. Soalan-soalan yang dilontarkan oleh insan sekeliling biarpun secara gurauan terasa sangat menyentap perasaan. Bila berseorangan, kita rasa kurang keyakinan, rasa serba kekurangan, malu dan tertekan...

Ketika berkumpul bersama kawan-kawan, ramai antara mereka yang sudah menimang cahaya mata, sedangkan kita hanya mampu memandang dan bermonolog dalam hati, "Bilakah waktunya untuk aku mengalaminya juga..." Hati rasa lebih tersentuh apabila ibu dan ayah kita memeluk dan mencium anak orang lain. Kita faham itu petandanya mereka sangat mendambakan cucu mereka sendiri...
Tapi itu semua kehendak Allah, bukan kehendak kita. Tiada siapa pun dalam dunia ini yang mahu hidup berseorangan. Namun kita harus akur dengan takdir Allah yang masih belum mengizinkan kita untuk bertemu jodoh. Kita harus berikhtiar, bersabar dan jangan sesekali berputus asa. Kerana jodoh itu rahsia Allah. Bila, siapa, di mana dan bagaimana, itu semua hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Dalam menghadapi saat ini, usahlah diturutkan sangat dengan tekanan perasaan dek sindiran insan sekeliling. Tapi cubalah ikhtiar dan muhasabah diri kita. Adakah sudah cukup usaha dan ikhtiar kita dalam mencari jodoh? Adakah kita pernah minta pada Allah supaya diringankan jodoh pada setiap kali sujud kepadaNya? Berapa kali kita bangun dan bersolat hajat pada malam hari memohon dipermudahkan jodoh? Pernahkah kita solat sunat Dhuha, memohon limpahan rezeki berupa jodoh yang baik dan keluarga yang sakinah? Berapa kali kita solat taubat, memohon keampunan agar doa kita untuk mendapat jodoh tidak terhalang disebabkan dosa-dosa silam kita? Dan cukupkah ikhtiar kita dengan solat istikharah agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan pilihan hanya kerana terdesak?

Selain itu, cuba kita muhasabah diri kita. Adakah ikhtiar kita selama ini menepati syariat yang digariskan oleh Allah? Adakah kita sudah menahan diri daripada bergaul bebas dengan mereka yang bukan mahram? Adakah kita sudah menjaga diri daripada berhias berlebih-lebihan hanya untuk menarik perhatian kaum lelaki? Seandainya sudah menepati syariat tapi masih gagal, redha dan yakinlah bahawa Allah telah merancang yang terbaik buat kita. Teruskan usaha dan bersabarlah...

Namun di sebalik ikhtiar dan kesabaran, kita juga haruslah mengkaji apakah hikmahnya ujian Allah terhadap kita yang lambat jodoh. Mungkin kita hanya memandang kelebihan orang yang cepat jodoh; dapat menjadi ibu dan bapa lebih awal dan dapat melaksanakan sunnah lebih awal. Tapi sedarkah kita yang lambat jodoh masih juga punya kelebihan? Saat inilah masanya untuk kita berbakti kepada ibu bapa kita. Bila kita sudah berumahtangga, keadaan mungkin berbeza kerana terpaksa membahagi masa untuk keluarga sendiri dan juga untuk ibu bapa. Saat ini jugalah masanya untuk kita menimba ilmu sebanyak-banyaknya. Dalami ilmu agama, ilmu untuk menguruskan rumahtangga dan ilmu untuk mendidik anak-anak agar kita lebih bersedia apabila tiba saatnya nanti.

Akhir sekali, usahlah bersedih hati. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Jaga iman dan hati agar tidak tertipu dengan hasutan nafsu. Jaga maruah seorang wanita; jangan sampai nasibnya menjadi seperti epal yang masak ranum di puncak pohon, tapi akhirnya gugur ke bumi lalu membusuk dan tidak berguna hanya kerana tiada yang sudi memetiknya...
- Artikel iluvislam.com

Adakah Dia Milikku?

            Persoalan yang seringkali timbul dalam hati setiap hamba Allah di muka bumi yang mendambakan cinta sesama manusia. Terkadang seribu usaha telah dilakukan dan tawakkal serta doa telah dilafazkan.Akan tetapi adakah hasilnya seperti ape yang diharapkan?
Sahabat,sedarlah bahawa usaha itu adalah satu kemestian yang dilakukan oleh setiap hamba Allah dimuka bumi kerana kita harus merancang akan tetapi Allah yang menentukan segalanya. Berapa ramai insan yang kecundang selepas usaha yang dilakukan tidak seperti apa yang dijangkakan?Bahkan ada yang memaling pada mentaati perintah Allah setelah kecewa dengan pengakhiran suatu usaha itu.
Sahabat, sedarlah bahawa Allah itu Maha kaya dan Maha mengetahui setiap hati hamba-hambanya.Ketentuan dariNya adalah yang terbaik untuk hamba-hambanya dan kita haruslah redha dengan ketentuanNya kerana ini adalah seiring dengan rukun iman keenam yakni percaya pada qadha dan qadar.  Tidak redha dengan ketentuanNya bermakna tidak percaya pada rukun iman keenam.

Jadikanlah Al-quran itu sebagai panduan. Sunnah menjadi ikutan. Solat hajat menjadi tempat mengadu luahan perasaan. Istikharah sebagai penghubung hati pada tuhan agar diberikan jalan dalam membuat pilihan. Indahnya Islam dalam mengajar umat islam untuk mencari jodoh yang baik.
Sahabat,berusahalah untuk mencari cinta sejati dengan sentiasa berusaha dan berdoa kepadaNya. Jangan pernah putus asa dalam usaha. Ujian Allah dalam meniti suatu perjalanan mencari cinta sangatlah berat kerana Allah inginkan hamba-hambaNya meminta-minta padaNya. Bersabarlah atas setiap ujian yang kita hadapi dengan tabah dan redha dengan ketentuanNya.
                  Jika pilihan kita bukan seperti yang kita harap dan dambakan, percayalah tidak akan sesekali akan rugi bagi mereka yang bermusyawarah dan beristikharah kepada Allah. Adakalanya pilihan manusia itu, walau baik pada pandangan mata manusia, tetapi hakikatnya penuh kemudharatan tanpa kita sangka. Sedangkan sesuatu yang kita rasakan kurang baik di mata manusia, rupanya penuh kebaikan padanya tanpa sedikit pun kita menyedarinya. Mungkin juga pada saat ini kita melihatnya sesuatu yang indah, namun kita tidak tahu ianya akan menjadi suram pada masa mendatang.
                Demikianlah pilihan Allah... ianya adalah baik untuk kita, agama kita, dan baik untuk setiap keadaan dan waktu yang ada. Pengetahuan Allah mengatasi pengetahuan hamba-hambaNya, maka serahkan urusan jodoh itu pada Allah. Jangan dipeningkan kotak fikir kita memikirkan siapa jodoh kita. Jika ada jodoh, pasti tidak akan ke mana. Yang penting siapkan diri kita agar menjadi soleh dan solehah. Siapa jodoh kita adalah ditentukan oleh diri kita sendiri. Jika kita soleh, insyaAllah Dia akan temukan kita dengan yang solehah. Jika kita solehah, maka Allah akan temukan dengan yang soleh. Bukankah Allah telah berfirman, Lelaki yang baik itu untuk wanita yang baik. Maka Yakinlah!  Janji Allah itu pasti benar. Jangan mudah lesu dengan istiqamah.Jangan mudah mengalah dengan ujian yang ada tetapi jadikan lah ujian itu  sebagai satu kekuatan pada kita untuk terus berusaha dalam mencari cinta sejati. Namun nilai suatu cinta itu janganlah dilandaskan dengan nafsu. Biarlah ianya diredhai ole Allah swt. Suatu cinta yang berlandaskan nafsu itu mengundang murka Allah.
             Tepuk dada tanya fikiran kerana apa kita cintakan seseorang itu. Adakah kerana hartanya? kerana paras rupanya? atau kerana agamanya? Pujilah kaum hawa itu atas kecantikannya tetapi pujilah dengan niat semata-mata pujian atas keindahan ciptaan Allah. Pujian yang bersandarkan kebesaran dan keagungan yang menciptakannya. Dan janganlah memuji sehingga mengundang syirik padaNya.
InsyaAllah para sahabat yang membaca artikel ini akan saya doakan juga supaya anda dipertemukan jodoh yang baik yang mampu membahagiakan anda bukan sahaja di dunia bahkan di syurga kelak. Amin
- Artikel iluvislam.com

Jangan Jadi Sesiapa Jika...

                 Ketika bertemu seseorang, riak wajahnya terlebih dahulu terpancar. Sekiranya yang ditemui sedang menangis, kita pasti akan mengatakan bahawa orang itu sedang bersedih. Jika orang itu sedang ketawa, tentu sekali akan dikatakan dia sedang gembira. Hebat sekali Allah ciptakan komunikasi perasaan.
Meskipun tanpa berkata apa-apa, sudah ada anggapan yang boleh dibuat. Begitu juga jika yang ditemui itu berbahasa asing. Sudah tentu komunikasi bahasa antara kita dan dia mungkin tidak dapat difahami. Dengan komunikasi perasaan sahaja, keadaan dia sudah dapat kita fahami. Nah! komunikasi perasaan itu tidak perlu kepada pemahaman antara dua bahasa. Tidak perlu kepada kata apa-apa.
Namun, itu hanya anggapan awal. Mana mungkin akan diketahui kenapa orang yang ditemui itu sedang begitu. Pasti membuak di dada mahu diketahui apa puncanya, apakah isi yang ingin disampaikan tanpa perlu kepada kata apa-apa.
"Jangan buat apa-apa, jangan cakap apa-apa,jangan jadi sesiapa, jika anda takut di Kritik " (Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni)
Ya, Jika anda takut untuk menerima kritikan, maka jangan jadi sesiapa!
Inilah perkara sebenar yang ingin saya kongsikan. Lumrah kehidupan manusia, sebelum melakukan sesuatu, kebiasaannya akan ada monolong dalaman. Adanya kebarangkalian positif dan negatif. Kebarangkalian positif itu tiada masalah, akan menjadi momentum untuk lekas melakukannya. Akan tetapi, kewujudan kebarangkalian negatif yang menjadi peragut momentum. Peragut itulah yang saya namakan 'kritikan'. Kritikan pula ada yang secara berhadapan dihambur bagai percikan bunga api. Indah kelihatan tetapi bila terkena pedih terasa. Tidak ketinggalan kritikan yang secara senyap. Cukup sekadar mencebik bibir, yang terkena makan dalam dibuatnya.

Diari Kritikan

Hari-hari berhadapan dengan berbagai manusia. Ada sahaja yang kena dan tidak kena dilalui.
" Saya duduk depan dalam kelas, tapi kawan-kawan cakap saya skema, nak bodek pensyarah"
" Saya nak tanya soalan masa dengar kuliah ustaz, tapi malu. Nampak yang saya kurang ilmu "
" Saya nak pergi solat sunat Dhuha masa break minum pagi kat office, tapi kawan-kawan office cakap saya alim sangat "
" Saya nak tegur student saya supaya berpakaian sopan menutup aurat masuk kelas saya, tapi student jadi tak suka saya, cakap saya strict sangat"
Saya yakin anda punyai diari kritikan tersendiri. Sebagai seorang pelajar, pekerja, pengajar, ahli masyarakat, dimana-mana ada kritikan. Inilah peragut yang bisa melenyapkan atom-atom kebaikan untuk bebas bergerak.

Kebebasan Dari Diragut

Mari kita mencari uraian-uraian atom bagi membebaskan diri dari diragut kritikan. Bukan sekadar mahu menyebut diari-diari di atas. Tetapi bagaimana penyelesaiannya?
Anda perlu kepada buat apa-apa. Anda perlu kepada gerakan mulut bercakap apa-apa. Anda perlu pembinaan identiti untuk menjadi sesiapa. Meskipun kritikan, persoalan dan anggapan sedang menari-nari di monitor minda. Allah menciptakan kita bersebab,bukan main-main. Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang mutlak.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar beribadah kepada-Ku"
(Surah az-Zariyat ayat 56)
Kita berasa takut untuk berbuat apa-apa kerana takut pada kritikan. Tetapi bagaimana kita hendak menjadi manusia yang beribadah kepada Allah kalau tidak melakukan apa-apa. Ibadah bukan hanya solat, puasa, sedekah, tetapi mencakupi seluruh kehidupan kita. Perlu untuk kita nyatakan yang benar. Yakni melakukan usaha-usaha untuk diri dan manusia lain kepada kebaikan dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Membina Perisai Diri
 
Bercakap memang mudah. Semudah A,B,C. Tetapi bila hendak buat apa-apa bukan semudah bercakap. Teorinya tidak semudah praktikal. Khuatir dengan penerimaan rakan-rakan, jiran tetangga dan ahli keluarga terhadap apa yang kita buat. Seboleh mungkin mahu mereka menerima secara baik. Mahu mereka beri kritikan positif. Namun, harus bagaimana kalau belum di buat hendak tahu penerimaannya? Maka dengan itu, membina perisai itu salah satu inisiatifnya. Setiap hari kita solat, berdoalah pada Allah dengan penuh penghayatan. Surah yang wajib dibaca ketika solat ini punyai doa buat kita.
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"
(Surah al-Fatihah ayat 6)
Kita pinta pada Allah jalan yang lurus. Iaitu jalan hidup yang benar, yang dapat membahagiakan di dunia dan juga di akhirat. Andai jalan-jalan yang akan kita lalui akan datang dapat kita lihat, sudah pasti akan kita bina pagar-pagar menahan diri daripada tersasar daripada landasan jalan yang lurus itu. Doa inilah yang boleh kita jadikan perisai dari tersasar dalam melakukan sesuatu.

Letupan Momentum

Anda pasti ada perkara-perkara yang mahu dilakukan. Namun terbatas kerana kritikan manusia. Ayat lebih mudah saya katakan, orang mengata, orang pertikaikan. Andai kemahuan yang baik, letakkan kritikan manusia dibelakang. Halakan keinginan yang baik, cita- cita yang murni kerana Allah ke hadapan. Gapailah bintang-bintang kejora yang indah buat diri. Kritikan dan ujian itu sememangya ada pada tingkat-tingkat kehidupan yang kita lalui. Ada tingkat yang mudah didaki. Ada yang perlu penat lelah untuk sampai ke puncak.
"Telur ayam kalau menetas, dapat anak ayam. Kalau dipecahkan dan digoreng,dapat telur mata. Kalau dibiar, cengkerang akan pecah,akan jadi telur busuk."
Kenapa analogi ini saya berikan?
Jika ada kemahuan untuk melakukan sesuatu yang baik, cita-cita yang murni, lakukanlah ketika lembar usia yang ada ini. Macam telur ayam, hasil yang baik akan dapat jika ditetaskan dengan baik. Ditetas pada masa yang betul, pada tujuan yang baik. Kalau dibiarkan jadi telur busuk, anda sudah mensia-siakan kebaikan daripada telur ayam itu.
Begitu juga kalau keinginan baik yang tidak dilaksanakan kerana takut dikritik akan berkarat dalam minda. Terbuku begitu sahaja tanpa manfaatnya terutama pada diri. Ibu ayam pun perlu lalui cabaran sebelum menetaskan telur. Diperam dengan penuh sabar dan dijaga daripada binatang lain yang mengintai-intai telur untuk dijamah. Keluarlah dari cengkerang minda yang disempitkan oleh kritikan. Keluarlah seperti kicau riang anak-anak ayam yang menetas daripada cengkerang telur ke dunia luar. Dunianya yang selama ini di dalam cegkerang kini luas di depan mata.
Penutup kepada bicara kritikan ini, jadikan kritikan ujian hidup. Ujian yang perlu dilalui secara positif. Bina persepsi yang betul tentang kehidupan. Anggap kritikan sebagai "learnig process" (proses pendidikan). Proses menjalani pendidikan kehidupan. Tentu sekali dalam melaui proses kehidupan ini kita pernah gagal, pernah sakit, pernah sedih, pernah terima pelbagai kritikan. Jadikanlah proses ini sebagai momentum ke arah kebaikan akan datang.
" Kritikan daripada orang zalim ialah sumber kekuatan untuk orang yang ingin berjaya. Kritikan tersebut umpama kempen percuma, iklan terhormat dan pemberitahuan tentang kebijaksanaan seseorang." (Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni)
Ayuh! Orakkan langkah. Lupuskan rasa lemah kerana kritikan. Neutralkan kritikan menjadi atom-atom positif kebaikan. Jadilah sesiapa, buatlah apa-apa, katalah apa-apa. Apa yang penting, buatlah kerana Allah
- Artikel iluvislam.com

Isteri Yang Diuji

               Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah... Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah 'memperkenalkan' Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar...

              Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi... dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna.
Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi 'sesuatu yang tidak baik' dengan hati yang baik.

           Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta... jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah 'bisikan' tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
            Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda... "aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!"
Saudara/i, pembaca... maafkan aku, ketika terlalu sibuk 'menguruskan' diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup... apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.
Namun, mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan? Lalu, kugagahi juga untuk berbicara... Bicara tentang ujian. Bicara tentang bahagia. Bicara tentang iman...

Seorang Isteri yang Diuji

Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.
"Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami," luahnya perlahan.
"Sudah lama?"
"Baru sahaja... Sejak dua bulan yang lalu," katanya.
"Puan rasa kecewa, marah?"
"Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik."
"Jadi apa masalahnya?" tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.
"Masalahnya ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya bertindak."
"Puan bertindak?"
"Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah."
"Alhamdulillah, kalau begitu... Jadi, apa masalahnya lagi?"
"Bila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersyubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah dulu lagi. Saya sedih diperlakukan begini."
Saya diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah... kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin 'didengari'. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi, manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka perlukan makanan.
"Puan, kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di tangan puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami, apalagi oleh ipar-duai puan," akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu. Mengikut rentak suaranya.

                Di hujung talian, saya dapat rasakan dia sedang sayu. Lalu saya teruskan,"Jika puan tabah, tenang dan kelihatan 'steady', orang lain tidak akan berani berbuat apa-apa. Mereka hanya akan 'bising' seketika sahaja. Kemudian, ketabahan puan itulah yang akan memadamkan segala-galanya. Apa rasa puan berpoligami?"                "Saya telah bersedia sejak suami menyatakan hasratnya. Ini sudah rezeki saya," ujarnya.
Dalam diam, saya menyanjung sikap wanita ini. Dia menggunakan istilah 'rezeki'. Ya, rezeki itu sinonim dengan kebaikan dan keberkatan. Ertinya, dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya dengan tabah sejak awal lagi.
               "Apa yang mendorong puan bertindak begitu?" tanya saya mendorong dia meluahkan segala isi hatinya. Dengan meluahkan segala niat, azam dan segala yang terpendam dalam jiwanya, insya-Allah dia akan lebih tabah dan yakin.

              "Ustaz, suami saya baik. Bertanggung jawab. Saya yakin dia tidak bertindak sembarangan. Bukan kerana suka-suka. Saya yakin dia boleh bertanggung jawab dengan baik terhadap dua orang wanita."
Sekarang giliran saya pula terdiam. Saya ingin belajar... Ingin belajar erti tabah daripada seorang isteri untuk menghargai isteri sendiri.
               "Sejak awal lagi rumah tangga kami dibena atas cita-cita ingin mencari keredaan Allah. Dia jawapan istikharah saya, dan saya jawapan istiharah dia. Sebelas tahun berlalu, telah bermacam-macam-macam ujian kami lalui. Istikharah itu pun diujikan? Begitu yang saya baca dalam tulisan ustaz. Istikharah itu pun perlukan mujahadah. Alhamdulillah, segala-galanya dapat kami harungi bersama. Sekarang... ujian poligami."
"Puan tidak rasa dieksploitasi?"
"Oh, tidak, "jawabnya dengan tegas, " tidak sekali-kali ustaz. Memang ada lelaki yang ditakdirkan untuk memimpin lebih daripada seorang isteri..."
"Dan ada wanita yang ditakdirkan mampu menerima wanita lain berkongsi kebahagiaan bersama dengan suaminya," pintas saya.
"Mengapa ibu-bapa dan ipar-duai saya bersikap begitu? Sedangkan saya yang menanggung segala-galanya?" Dia kembali kepada permasalahan asalnya.
                   "Itulah trauma masyarakat Melayu kita. Persepsi terhadap poligami terlalu negatif. Poligami disinonimkan dengan penzaliman dan penganiyaan. Padahal, poligami itu adalah satu perkongsian dan pembelaan."
"Mungkin kerana pelaksanaan poligami yang begitu pincang selama ini," balasnya.
"Kalau begitu, perkahwinan yang monogami pun bermasalah. Statistik terkini menunjukkan setiap 15 minit penceraian terjadi... apakah penyebabnya poligami?"
"Masyarakat kita hanya mengikut sentimen. Bukan berdasarkan ilmu dan fakta, ustaz."
                  "Saya tidak nafikan, ada juga yang lelaki zalim yang berpoligami hanya untuk berseronok-seronok, mengikis harta, berbangga-bangga, hanya cuba-cuba,  dan sebab-sebab lain yang tidak syar'ie. Mereka ini bukan sahaja menzalimi isteri-isteri mereka  tetapi turut mencemarkan kesucian hukum Islam!"
"Jadi saya perlu biarkan sahaja sikap negatif ibu-bapa, mertua dan ipar-duai saya?"
"Selagi puan tabah, selagi suami puan berlaku adil dan bijak mengemudikan rumah tangga, insyaAllah semuanya akan reda dengan sendirinya."
"Sunyi juga. Terasa kehilangan."
"Inilah hikmah besar poligami puan. Supaya kita kukuh dan teguh meletakkan cinta pertama dan utama kita kepada Allah. Ini jalan yang ditakdirkan untuk puan untuk akrab dengan Allah. Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!"
"Saya akan kehilangan cinta suami?"
"Tidak. Dengan mencintai Allah, puan akan lebih mencintai kerana Allah dan dicintai oleh orang yang mencintai Allah. Doakan agar suami puan mencintai Allah."
"Saya tidak pandai ustaz. Saya bukan ustazah. Hanya seorang suri rumah biasa. Tapi saya terus belajar dan mendengar. Saya 'pelajar' yang sedang bermujahadah!"
                  Itulah kunci segala-galanya. Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan... Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita... kerana bahagia itu ditempa oleh derita! "Kekadang datang juga rasa cemburu... bagaimana?" kembali suara itu mengocak lamunan saya.
"Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Puan punya banyak masa sekarang?"
                    "Begitulah ustaz. Ketika bukan giliran saya, ada banyak masa untuk melaksanakan amalan-amalan sunat, membaca Quran,  dan buku-buku yang tangguhkan membacanya sejak dulu."
"Itulah hikmahnya. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan oleh suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri," dorong saya.
"Seperti mana perkahwinan pertama dahulu diuji, begitulah perkahwinan kedua ini, pasti diuji. Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu bila diuji," ujar saya perlahan.
"InsyaAllah ustaz, doakan saya tabah. Bukankah selalu ustaz pesankan... jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!"