Thursday, March 29, 2012

Inilah Manifestasi Cinta


Cinta adalah salah satu perkara ajaib dalam hidup. Setiap yang mempunyai roh khususnya insan dahagakan cinta. Manusia hidup dengan cinta. Hidup membela cinta. Bahagia kerana cinta. Derita kerana cinta. Bahkan sanggup mati kerana cinta. Segala perjuangan atau episod hidup yang diselit unsur cinta mempunyai rasa dan warna yang tersendiri. Derita kerana cinta ada kelazatannya yang luar biasa. Sakit kerana cinta ada rasa yang berbeza. Gembira meraikan cinta tidak sama dengan gembira biasa. Korban cinta, indah pada cerita dan rasa. Manifestasi itu muncul dalam kehidupan dan memberikan nilai dan rencah yang pelbagai rupa, warna dan rasa.

Sesiapa yang memusuhi dan memungkiri cinta dia merupakan pemilik jiwa kontang yang kering dari nilai insani yang sejati. Cinta itu fitrah. Ia satu keperluan. Bahkan mungkin suatu kewajipan ataupun rukun dalam menikmati kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Cinta mampu merubah segala yang ada dalam jiwa seorang insan. Telinga, mata dan segala anggota kadang-kala terpaksa tunduk kepada falsafah cinta. Tunduk kepada nilaian cinta. Pahit boleh menjadi manis. Manis boleh menjadi pahit. Indah boleh menjadi buruk. Usang boleh menjadi baru. Hodoh boleh menjadi cantik. Berat boleh menjadi ringan. Susah boleh menjadi senang. Segalanya terbalik dan berubah penilaian dan rasa hanya kerana cinta.

Ini mengingatkan kita kepada rangkap puisi yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi'e:Telah gering sang kekasih, maka daku menziarahinyadaku juga turut gering kerana risaukannyadatangnya sang kekasih menziarahikumaka daku pun sembuh kerana melihatnya(lihat: Ibn Muflih, al-Adab al-Shar'iyyah, 2/296).


Manifestasi Cinta

Demikian manifestasi cinta itu boeh menjelma dalam pelbagai rupa. Banyak tindakan yang luarbiasa boleh terhasil dari cinta. Sehingga kadang-kala tidaklah dapat difahami oleh akal yang memikirnya tanpa melihat dari jendela kasih.

Saya merenung riwayat Abu Ya'la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-'Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam. Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar r.a memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam.

Menariknya, pada hari Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi s.a.w untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis.

Nabi s.a.w bertanya: "Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?". Jawabnya: "Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam".

Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi s.a.w tidak memperolehi kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam. Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu. Itulah cinta. Itulah berkorban apa sahaja. Tiada rasa gembira jika kekasih berduka.

Tiada rasa gembira jika kekasih tidak kongsi bersama.Kehidupan Abu Bakar; tindakan dan pergerakannya adalah manifestasi cinta yang sangat dalam dalam terhadap seorang rasul. Dia telah memenuhi makna sabda Nabi s.a.w:

"Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya" (Riwayat al-Bukhari).

Justeru itu, fahamlah kita makna kemanisan bercinta kerana Allah dan RasulNYA. Cinta seperti itu telah mencetuskan pelbagai keajaiban dan kehairanan manusia biasa sepanjang sejarah kemanusiaan. Sanggup berkorban dan terkorban sebagai manifestasi cinta.

Para sahabah sanggup meninggalkan keluarga dan sahabah handai. Sanggup kehilangan harta dan nyawa. Semuanya kerana cinta. Pada mata manusia mereka menderita. Di lubuk jiwa, mereka sedang tenggelam dalam satu kemanisan yang sukar hendak digambarkan dalam tulisan dan perkataan. Kemanisan iman! Inilah yang disebut oleh Nabi s.a.w:

"Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Cinta Menafikan Cinta

Cinta juga menafikan cinta. Jika kita benar-benar sayang kepada seseorang, sudah pasti kita tidak akan menyayangi orang yang membenci kekasih kita tanpa sebab yang benar. Sudah pasti kita dapat menerima orang memusuhi kekasih kita tanpa suatu alasan yang boleh dimaafkan. Bagaimana boleh berhimpun dua kekasih yang bermusuhan dalam satu perasaan, melainkan kadar cinta kita itu tidak memenuhi ruang.

Di sinilah yang al-Quran tegaskan bahawa tidak mungkin seseorang yang mencintai Allah dan RasulNYA, tetapi dalam masa yang sama menyayangi mereka yang memerangi Allah dan RasulNYA.

Firman Allah: "Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka itu (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam jantung hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNYA. Merekalah hizbulLah (golongan Allah). Ketahuilah! Sesungguhnya golongan Allah itulah orang-orang yang berjaya". (Surah al-Mujadilah: 22).

Islam tidak menyuruh kita memerangi bukan muslim tanpa sebab yang diiktiraf oleh agama.

Kita mungkin boleh duduk berbincang dengan bukan muslim, atau muslim yang tidak kuat berpegang dengan agama.

Bersimpati dengan mereka, berkawan dan bertukar manfaat kehidupan dunia. Menyampaikan pandangan dan pendapat dan saling menghormati. Ini selagi mana mereka semua tidak menzahirkan peperangan, penghinaan dan pencercaan terbuka terhadap Allah dan RasulNYA. Jika itu berlaku, tidak mungkin ada berhimpun dalam suatu jantung cinta Allah dan sayangkan penentang Allah.

Maulid
Saya tidak mahu membahaskan tentang maulid sebab saya telah sebut dalam artikel yang lain tentang perbahasan dan perbezaan para sarjana mengenai tarikh kelahiran Nabi s.a.w dan pandangan terhadap sambutan itu sendiri. Setiap tempat mungkin ada penilaian yang berbeza berdasarkan perbezaan cara dan maksud. Cumanya, hubungan muslim dengan Nabi mereka bukan seperti hubungan antara kita dengan tokoh-tokoh dunia yang lain yang di sambut sekadar mengenai jasa atau sekadar satu pesta.

Hubungan kita dengan baginda adalah hubungan cinta yang menzahirkan manifestasinya. Para sahabat Nabi s.a.w tidak ada sebarang perayaan mengenai Nabi s.a.w tetapi manifestasi cinta itu menjelma saban hari dan waktu dalam kehidupan mereka. Mereka berjaya membawa obor iman dalam kehidupan sekalipun tanpa perayaan. Sedangkan kita dengan segala perayaan gagal menunai manifestasi cinta itu.

Bahkan dalam perayaan kita, orang-orang besar, menteri dan raja hadir dengan penuh gaya dan pakaian kesombongan yang sama sekali berbeza dengan kehadiran Nabi s.a.w semasa hayatnya ke dalam majlis para sahabat tercinta! Cinta melahirkan manifestasinya.

- Artikel iluvislam.com

‘Frust’ Dalam Bercinta


Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,"sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas." Aneh sekali derita sakit putus cinta ini... benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.

Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai. Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:

"Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika."

Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: "Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya."Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.

(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang 'frust' dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani 'memperkosa' kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.

Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?


Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang 'syok' bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).

Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah... kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.

Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah, " Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui."

Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.

Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, "mengapa aku terpaksa menanggung derita ini."Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter... ter... segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, "ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?"

Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada... kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, "Tuhan ada!" Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!

Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya 'terpaksa' bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.

Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.

Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, "mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya." Cubalah fikirkan... siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir...

Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir... barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, "Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!" Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!

Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama 'orang' yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. "Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu." "Allah ganti yang lebih baik." "Tak sangka, kami akan serasi begini." Begitulah suara-suara 'testimonial' daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).

Ya, pada waktu 'terkena' dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!

Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai 'mata rantai' yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.

Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah 'sekolah' yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.

Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham 'pelajaran' yang dibawa bersamanya. Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan 'frust' berkali-kali.

Semasa kita di peringkat remaja ada 'pelajaran-pelajaran' tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah 'pelajaran-pelajaran' itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya 'selesai' di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa 'refer' atau 'repeat' akibat gagal dalam peperiksaan mereka.

Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I'm not a girl but not yet a women) Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi. Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.

Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada 'pelajaran' yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca 'mesej' yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.

Jadi langkah pertama supaya remaja'lulus' dalam pelajaran mereka ialah mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka. Frust cinta hakikatnya adalah 'guru' yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, "apakah pelajaran yang disebalik semua itu." Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah 'mehnah' – maksudnya didikan terus dari Allah.

Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah 'guru' yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.

Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.

Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati 'kekasih hati' agar dia sentiasa setia.

Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata,"we cannot direct the wind but we can adjust our sail." Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.

Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi 'Tuhan". Dia ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!

Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam 'sekolah' kehidupan mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi... maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula. Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.

Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, "belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air." Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, "jangan gergaji abuk kayu!" Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!

Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.

Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah. Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.

Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati... ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan...

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan 'cuaca' kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!

Sematkan di hati kata pujangga ini:"Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua...cinta sejati yang ditunggunya!"

- Artikel iluvislam.com

Monday, March 26, 2012

Yana Samsudin - Aku Pasrah

Sebuah lagu ciptaan Amy Ukays dan dinyanyikan oleh Yana Samsudin. Yana Samsudin merupakan anak didik Amy yang ditemui semasa beliau di bangku sekolah. Lalu ditawarkan untuk membuat album dibawah Metrowealth Records Sdn Bhd. Lalu terhasil lah album Yana - Ceria. Lagu Aku Pasrah merupakan lagu bagi filem Mami Jarum Junior Sewaktu itu Amy Ukays menyumbangkan tenaga di bawah Metrowealth menggunakan nama samaran Amy MIG.




Lirik Lagu Aku Pasrah - Yana

Takku menyangka dan tidakku menduga
akhirnya engkau yg berubah
sekelip mata cinta kita terlerai
di hujani dengan linangan air mata...

mengapa engkau dustai cinta kita
di mana letaknya janji setia
yang pernah engkau lafazkan sewaktu dahulu
ingin terus hidup selamanya bersamaku hingga ke akhirnya...

c/o :
tinggallah aku bersama hati yang pedih
terpaksalah ku telan segala kepahitan
sehingga kering air mataku menangis
bila aku kenangkan nasib yang telah menimpa diriku ini

biarkanlah ku sendiri meneruskan hidup tanpamu di sisi
ku relakan dikau pergi andai itunya mahumu
ku menganggap ianya adalah ujian dariNya
tiada jodoh di antara kita

aku pasrah aku redha dengan apa yang terjadi
ku doakan agar dikau bahagia...di sampingnya

ulang c/o

Monday, March 12, 2012

Termakbulkah Doaku?

Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah.

Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas". (Surah al-'Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya.

Firman Allah:
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya juga:
"Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu". (Surah Ghafir, 60).



Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya.

Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah.

Sabda Nabi s.a.w:
"Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa" (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya.

Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa.

Sabda Nabi s.a.w : "Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah. Mereka bertanya: Apa itu tergopoh-gapah ?. Baginda menjelaskan : Orang yang tergopoh-gapah apabila dia berkata aku sudah berdoa! aku telah pun berdoa! tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa"(Riwayat Muslim).

Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya.

Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia. Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain.

Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut.

Sabda Nabi s.a.w : "Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya". (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih).

Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam.

Sabda Nabi s.a.w : "Doa itu adalah ibadah" (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak.

Firman Allah: (maksudnya): "Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka" (Surah al-Ahqaf, 5-6).

Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim.

Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

- Artikel iluvislam.com

Ditulis oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan dipetik daripada http://drmaza.com

Bagaimana Mencintai Secara High Class

Cinta high class bukan ekslusif milik sesiapa. Cinta high class berhak dimiliki oleh kita semua.

Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita mesti mencintai secara high class.

Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.

Err, apa itu cinta high class?

Cintamu mendaulatkan Allah nombor satu,Cintamu padaku kerana Allahmu yang satu,Cintamu bermujahadah menahan nafsu.

"Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)." (HR al-Tarmizi).
Saya terfikir, wanita dan lelaki saling tertarik. Itu biasa. Malah ketertarikan yang kuat ini turut dirasai oleh binatang jantan dan betina. Begitulah cara Allah menjamin berterusannya kehidupan di dunia.

Wanita dan lelaki saling jatuh cinta. Itu juga biasa. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah ini seperti merahibkan diri. Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah.

Wanita dan lelaki sanggup berkorban segala-galanya demi cinta. Itu luar biasa. Tapi boleh membawa binasa. Tanpa asas agama, maruah diri sanggup dikorbankan sekali. Islam menutup pintu-pintu yang membawa kekejian untuk melindungi lelaki dan wanita daripada punca-punca keghairahan dan pencetus fitnah.




Wanita dan lelaki bercinta selepas nikah, saling melengkapi agama pasangannya. Ini jauh luar biasa. Dan ini barulah high class. Jika belum menikah, cinta menjadi high class apabila teruna dan dara saling tinggi mujahadah. Bantu si dia memahami dengan mengurangkan perjumpaan dan komunikasi. Ianya atas dasar urusan dan keperluan sahaja dengan menjaga syarat dan batasan.

Jika di luar batas urusan, mintalah fatwa dari hati. Kebaikan itu apa yang tenang dalam hati. Dosa itu apa yang was-was dan syak dalam hati. Nikmatilah indahnya saat menahan, bila halal, penuh keterujaan.

Saya cuba memahami, mawar dan kumbang berbeza untuk saling melengkapi. Mereka saling jatuh cinta kerana perbezaan itu. Lelaki sukakan sifat kewanitaan seorang wanita. Wanita sukakan sifat kelelakian seorang lelaki.

Lelaki dan wanita bagaikan botol dan penutupnya. Bagaikan elektron dan proton. Bagaikan baju dan seluar. Bagaikan sepasang selipar. Saling memerlukan.

Bukti saling memerlukan ini akan menjadi luar biasa dan high class jika diluapkan kepada insan istimewa bernama suami atau isteri, bukan untuk teman wanita atau teman lelaki. Kenapa ianya high class?

Itu tanda patuhi Allah.Itu tanda jauhi fitnah.Itu tanda sebuah mujahadah.

'Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.' (Monolog Qani'ah Syumaila dalam novel Cinta High Class).

- Artikel iluvislam.com

Jangan Bersedih, Dunia Ini Terlalu Kecil Untuk Ditangisi

Kesedihan adalah satu fitrah yang Allah ciptakan kepada hambaNya.

Kadangkala kesedihan mampu membuat kita kembali kepadaNya, dan kadangkala juga kesedihan membawa kita jauh darinNya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul Izzati. Maka kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia?

Acap kali, manusia itu bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal dalam peperikasaan kita akan bersedih. Ketika putus cinta dengan sang kekasih kita akan bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga pasti akan bersedih. Persoalannya, wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di mata kita, sebenarnya terlalu kecil disisi Allah Azzawajalla.



Dalam sebuah Hadith Sahih disebutkan:

Seandainya nilai dunia ini disisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi mnum kepada orang kafir walau seteguk air pun.

Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat sebenar nilai dan timbangan dunia ini disisi Allah. Lalu atas alasan apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah seorang ulama yang sangat masyur pernah mengatakan bahawa:

Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan,lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air.

dan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah juga pernah mengatakan bahawa:

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali Allah

Sakinah atau kebahagian adalah apabila anda merasa aman atas diri sendiri masa depan, keluarga dan kehidupan anda sendiri. Dan semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadapa qadha' dan qadhar serta diiringi oleh sifat qana'ah dan sabar.

Oleh itu kita harus kembali kepada hakikat hidup yang sebenar, jadikanlah kesedihan itu sebagai ruang untuk kita meraih pahala daripadaNya dan bukannya kita lemparkan dan luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini terlalu kecil untuk ditangisi

- Artikel iluvislam.com

Adi Putra Dan Nora Danish Dalam Aku Terima Nikahnya

Aku Terima Nikahnya (end 2012) lakonan Adi Putra dan Nora Danish and diarahkan oleh Eyra Rahman
Mengisahkan kepayahan dan ketabahan seorang isteri yang setia, kehidupan bahagia Arlisa (Nora) serta Johan (Adi Putra) ditimpa dugaan selepas Johan terbabit dalam nahas jalan raya. Akibat kemalangan itu, Johan disahkan hilang ingatan kerana menghadapi Selective Amnesia menambah lagi kerumitan kepada Arlisa. Tidak mahu berputus asa, Arlisa menguatkan semangatnya untuk berusaha menjaga Johan walaupun kini dia langsung tidak diingati suaminya itu.