Thursday, March 21, 2013

Romantik Itu Sunnah Nabi

Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati... mungkin yang diketahui romantik sesama 'couple' ...No..No..No.. ini romantik sesama pasangan suami isteri.. apa lagi... jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy.. best oo kahwin... kalau tak percaya..cubalah kahwin.. hehehe..
Rasulullah Sollahhu 'Alaihi Wasallam (SAW) adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud : "Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung."
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda.
Isteri Sebagai Bukti
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah SAW seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah-olah sedang menghayati novel cinta romantik.
Mandi Bersama
Diberitakan bahawa Rasulullah SAW pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa  Aisyah berkata bahawa : "Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq." Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Hantar Isteri Keluar Rumah
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata :
"Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)." [Hadis Bukhari dan Muslim]
Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa "Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta."
Bukakan Pintu Kereta
Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Bawa Isteri Jalan-Jalan
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa "Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya."
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)
Suapkan Makanan
Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : "Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu." Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan?
Belaian & Bermanja
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa :
"Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian."
Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa "Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid."
Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata "Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku."
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : 
"Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW". (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Pengubat Hati 
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa :
"Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit." (Bukhari dan Muslim)
Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.

Bergurau Senda
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke rumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : 
"(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu."
Saodah menolak dengan berkata : "Aku tidak akan memakannya."
Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai'e, Ibn Abi Dunya)
Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan.
Panggilan Manja
Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil "Ya Humaira" kepada Aisyah yang bermaksud "Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah". Ia membuatkan ikatan itu lebih intim.
Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja "Ya Aisy" yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Jangan Malu Jadi Romantik
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami; adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet?
Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.

Marah Seorang Suami.. Marah Seorang Isteri..


Saya kutip beberapa pengalaman untuk dikongsi bersama walaupun mungkin tak berlaku pada kita atau tak terfikr oleh kita tetapi sekurang-kurangnya boleh jadi panduan dan peringatan pada kita..
Marahnya seorang Isteri...
"Ustaz... isteri saya bila marah suka jeling saya dengan ekor mata. Tersirap juga darah saya dibuatnya. Seram pun ada dengan pandangan begitu macam Pontianak Harum Sundal Malam la pulak."
Memang ada isteri begitu... dia tak pandang wajah suami tetapi ekor matanya amat tajam menjeling itu tanda isteri benar-benar marah.
Peringatan untuk Isteri
Kalau benci sangat nak tengok wajah suami ketika marah janganlah jeling-jeling tajam...ia akan mengeruhkan lagi keadaan.. jadi, apa kata, ketika marahkan suami cepat-cepat pandang pokok-pokok yang hijau atau warna-warna lembut. Jangan sesekali tengok warna-warna yang garang. Warna memainkan peranan ketika marah. Ulamak kata kalau di rumah ada naskhah Al-Quran pandang sahaja Al-Quran dan istighfar. Ambil wudhu' nescaya berkuranglah sikit marah dan syaitan pun akan lari.
Marahnya seorang Suami..
"Suami saya kalau marah macam singa lapar. Matanya merah pandang tepat ke muka macam nak makan orang. Telinganya nampak bergerak-gerak dan cakapnya penuh emosi."
Peringatan untuk Suami..
Sifat amarah sifat iblis. Pandang wajah isteri ketika marah.. .renung matanya mungkin ketika itu air mata isteri sedang mengalir membasahi pipi. Biasalah isteri bila dimarah atau diherdik akan mudah menangis.
Suami yang sedang marah cuba tatap wajah isteri. Lihat pada matanya. Bayangkan air mata isteri yang bercucuran ketika kita memarahinya. Sesungguhnya air mata itulah juga yang berlinangan dan mengalir ketika sang isteri kesakitan melahirkan zuriat untuk kita.
Pandang pada tangannya... tangan itulah yang menghayun buaian, menyapu sampah, mengemas rumah dan memasak untuk kita.
Rasanya tahap kemarahan kita akan menurun sekiranya akal memandu kita bukan emosi.
Marah seorang Isteri..
Ada suami mengadu.. isteri kuat berleter ketika marah.
"Saya tak suka nak marah isteri ustaz... tetapi kalau leterannya makin menjadi-jadi, hangat jugak hati dibuatnya."
Peringatan untuk Isteri..
Mungkin semua suami tak suka isteri berleter. Kalau nak bahagia rumahtangga cuba kawal tabiat suka berleter. Pakar psikologi berpendapat kalau dah 'tension' sangat, masuk bilik tutup pintu rapat-rapat kemudian menjeritlah sekuat hati hingga puas.
Marah seorang Suami...
"Suami saya kalau marah suka mengamuk tendang kerusi meja, pecah cermin dan sebagainya." Bahaya tu... suami macam ni perlu dikaunseling atau diberi rawatan psikitri kerana mungkin boleh membahayakan orang lain.
Marah seorang Isteri...
Ini satu lagi.. suka siksa diri. Isteri kalau marah hantuk kepala sendiri kat dinding. Masa tu tak sedar diri. Putus satu urat saraf di otak tak pasal-pasal duduk kat Tanjung Rambutan. 
Marah seorang Suami...
Ada suami yang romantik, suka bercerita... tiba-tiba bertukar jadi pendiam tak mahu bercakap. Itu salah satu tanda suami marah atau ada masaalah. Lainlah kalau suami memang jenis pendiam atau kurang cakap.
Marah seorang Isteri
Kadang-kadang tanda isteri marah dekat suami... anak yang jadi mangsa. Tujuannya nak lepaskan geram kat suami. Anak-anak dipukul dicubit ditengking. Kesian anak-anak mereka tak faham apa-apa masaalah rumahtangga kita.
Marah seorang Suami
Tak sentuh pun makanan yang kita hidangkan. Lalu suami mula belajar makan di luar. Kalau dibiarkan berlarutan boleh membawa kemudharatan pada rumahtangga. Kaji dan selidik kenapa suami marah sehingga tak mau makan sedangkan kita tahu suami kita seorang yang pemakan dan tak pernah cerewet atau menolak apa yang kita masak.
Marah seorang Isteri...
Isteri bila marah..suruh suami tidur kat luar bilik. Kunci pintu bilik. Ugut suami.. tak mau layan suami... ni apa cerita? Suami yang sabar tak apa. Kalau selalu sangat buat begini bermakna mengundang bala. Ingat... suami ada 3 lagi kuota kosong untuk diisi. Hati-hati.
Renungan
Apa yang paling penting, terimalah anugerah Allah seadanya. Jangan harapkan pasangan hidup kita itu sempurna tanpa ada kelemahan. Kenal pasti keistimewaan atau kelebihan isteri/suami lebih baik dari kita mencari kesalahan, kekurangan atau kelemahan.
Maaf pandangan ini adalah pandangan peribadi yang umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa pun cuma sebagai renungan.
Wallahua'lam.

10 Pertanyaan Mesti Jawab..


Biarpun kamu sudah tahu sebahagian daripada jawapan yang akan lahir dari dalam hatinya , namun tidak salah andainya di tanya lagi untuk mendapatkan kepastian.Bukan itu sahaja , ia juga menambahkan lagi kemesraan antara kamu dan si dia.jadi apa kata kamu bertukar-tukar jawapan melalui pertanyaan ini.Mungkin juga kamu akan ketemu sesuatu yang selama ini kamu tidak pernah ketahui.

1.     Kamu suka saya ucapkan "saya cinta kamu" selalu atau sekali sahaja?  
Kenapa ? Ada orang yang mahu kekasihnya mengucapkan ucapan keramat tersebut. Tetapi ada juga merasakan perbuatan lebih penting daripada kata-kata. Cara orang ingin dicintai adalah berbeza-beza ,itu ynag kamu dan si dia harus tahu.

2.     Apa lagi yang harus kita lakukan agar hubungan kita akan sentiasa bahagia?
Kenapa? Sekali lagi adalah penting untuk kita berkongsi bagaimana kita dan dia ingin disayangi. Ada yang pasangan mahu kamu lakukan untuk menyemarakkan hubungan cinta.

3.     Nyatakan sekiranya ada sikap saya yang kamu kurang senang?
Kenapa? Masih mahu Tanya lagi kenapa.ianyakan sudah jelasagar kita boleh saling memperbaiki kekurangan diri masing-masing.

4.     Kamu lebih sukakan hubungan yang tenang atau selalu ada pergolakan?
Kenapa? Perbezaan pendapat dan perselisihan faham adalah sesuatu yang sememangnya tidak daopat dielakkan. Ada orang sengaja mahu cipta pergolakan kerana dengan cara itu hubungan jadi bertambah rapat. Namun ada juga yang tidak suka kerana merasakan perkara itu remeh-temeh.

5.     Bentuk sokongan apa yang kamu harapkan dari saya?
Kenapa? Sokongan dan dorongan itu bentuknya macam-macam. Ada orang yang suka diberi sokongan untuk membantu kita atau si dia mengatasi masalah.

6.     Sekiranya kamu stress dan menghadapi banyak masalah ,kamu lebih suka bersendirian atau ditemani oleh orang yang kamu sayang?
Kenapa? Ini supaya kamu dan si dia tahu apa yang mesti dilakukan di saat salah seorang dari kamu menghadapi tekanan atau masalah yang berat.

7.     Sebutkan 5 perkara dalam hidup kamu yang paling berharga?
Kenapa? Penting untuk kamu ketahui kerana sekurang-kurangnya kamu tahu apa yang penting dalam hidupnya.

8.     Apa yang pertama kali membuatkan kamu tertarik pada saya?
Kenapa? Ini juga penting supaya kamu tahu apa kekuatan diri kamu sehingga boleh memikat hati dia. Jadikan kekuatan ini untuk terus pikat hatinya agar tidak berpaling pada insan yang lain.

9.     Perkara yang sukar untuk kamu luahkan?
Kenapa? Contohnya, kita selalu berasa lemah sekiranya si dia mula menyendiri dan tidak mahu kamu menemaninya. Kamu akan menjadi curiga mula berfikir si diaa sudah ada yang lain. Namun,seandainya persoalan ini terjawab kamu mesti lebih memahaminya.

10. Apa yang telah saya lakukan untuk kamu membutkan cintaamu bertambah kukuh terhadap saya?
Kenapa? Kamu perlu tahu apa yang membuatkan cintanya tidak berubah dari semasa ke semasa. Biarlah apa yang telah kamu lakukan untuk si dia bukan hanya sekali kamu lakukan tetapi berkali-kali  agar kasih sayangnya bertambah.


Friday, December 21, 2012

Kahwin Muda : Jangan Ingat Mudah!

Sejak akhir-akhir ini ramai yang melangsungkan perkahwinan pada awal waktu, ketika masih belajar atau ketika umur masih muda.. Alhamdulillah..
Walaupun diri ini juga tergolong dalam golongan "kahwin awal" iaitu ketika tahun ke 2 di universiti, namun ada beberapa pesanan ringkas untuk renungan bersama, agar Sunnah yang amat dianjurkan oleh Rasulullah SAW ini tidak berakhir dengan Fitnah !!
Sama ada kepada mereka yang "menyokong" kahwin awal atau sangat "menentang" kahwin awal, apa yang perlu difahami bahawa setiap individu mempunyai situasi/masalah yg berbeza-beza dan pelbagai; ada yg perlu kahwin awal, ada yang merasakan tidak perlu kahwin selagi belum habis belajar dan macam-macam lagi. Jangan mengharapkan orang lain sama fikiran dengan kita, walaupun rambut sama hitam, belum tentu hati dan perasaan itu mempunyai persamaan.

Anjuran perkahwinan oleh Nabi SAW melalui sabda baginda:
"Wahai sekalian pemuda-pemuda: Sesiapa di antara kamu yang mampu nikah (disebut dalam syarah makna hadis ini, "Nikah" bererti jima', nafkah dan mahar)", maka berkahwinlah; kerana sesungguhnya ia (kahwin) lebih menundukkan pandangan, lebih menjaga kemaluan. Dan jika dia tidak mampu, maka (digalakkan) berpuasa; itu adalah penjagaan baginya."
(Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari 1905, Muslim 1400)

Ada ulamak hadis menyatakan bahawa istilah "pemuda-pemuda" di situ ditekankan sebagai galakan agar disegerakan perkahwinan pada umur yang masih muda (ada ulamak yang menyatakan sebelum umur 40 tahun, dan ada yang menyatakan 25 tahun dan pelbagai lagi tafsiran ulamak).
Di sini, dinyatakan beberapa situasi yang perlu diambil perhatian, sebelum membuat keputusan, tanpa menuding orang lain, tepuk dada, tanya hati dan iman!

Pertama: Mereka yang tidak mengalami gelodak jiwa, dan mampu menahannya (samada dengan berpuasa, ataupun boleh mengawal fikirannya dengan sebaik mungkin), maka golongan ini adalah dinasihatkan terus fokus kepada apa yang dilakukan seperti belajar, bekerjaya dan sebagainya. Dalam masa yang sama sentiasa bermohon kepada ALlah agar segala urusan dipermudahkan di dunia dan di akhirat.

Kedua: Mereka yang "merasakan" dirinya dapat menahan semua itu, tetapi dalam masa yang sama sibuk melakukan pelbagai maksiat (berhubungan bebas dengan bukan mahram), golongan ini sepatutnya mencari jalan keluar dari hal ini, sama ada menghalalkan perhubungan dengan pernikahan atau memutuskan hubungan agar hidup lebih diberkati. Lakukan ini kerana taqwa kepada Allah insyaAllah pasti ada jalannya.

Ketiga: Mereka yang tidak dapat lagi menahan diri, mereka telah cuba, tetapi hati mereka tetap tidak tenang, fokus hilang, hanya terasa ingin kahwin sahaja, tetapi masih mampu menghalang diri daripada maksiat-maksiat, maka golongan ini juga disyorkan agar mencari jalan terbaik dan mohon petunjuk Istikharah daripada Allah, mengadu selalu kepada Allah, jika telah ada calon yang sesuai, bersegeralah untuk halalkan dengan cara terbaik, tekadkan dalam diri bahawa "aku lakukan ini kerana Taqwa", tingkatkan prestasi diri melalui persiapan dari segenap segi, semoga jalan yang dipilih itu paling diberkati!

Firman Allah SW
"sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
(Surah at-Talaq ayat 2)

Melalui tiga situasi ini, difahami bahawa masing-masing ada AQAL untuk menilai diri sendiri, di situasi mana dirinya berada! dan jika perlu berbincanglah sebaiknya dengan mereka yang lebih tua (hormati pandangan mereka), atau sesiapa sahaja yang berpengalaman (yang boleh dipercayai). Apa sahaja pilihan kita, janganlah sampai tersalah menilai seseorang melalui sudut kacamata diri kita (itu merupakan satu kesalahan besar), lantas menghukum org itu, lebih teruk maka terkeluarlah perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kepada saudara kita sesama Islam.
"Gatal sangat dah ke, sampai perlu kahwin masa belajar!!",
"Belajarlah bagi selesai dahulu!!",
"Aku boleh fokus, takkan dia tak boleh, saja je tu nak kahwin awal!" dan macam-macam lagi.
Sepatutnya, adalah lebih baik kita cuba memandang dari sudut kacamata orang tersebut, mungkin ada kejernihannya, dan pelbagai perkataan yang menyakitkan hati itu mungkin tidak akan keluar, memadailah pesanan Rasulullah SAW sebagai peringatan:
"Orang Islam itu ialah individu yang orang-orang Islam selamat daripada lisannya (kata-kata kesat/mengumpat) dan tangannya (kezalimannya)".
(Hadis Riwayat al-Bukhariy : 6484)

Secara kesimpulannya,  pegangan utama kita adalah Taqwa kepada ALLAH, jika kita mampu mengelakkan maksiat, dan mampu menahan diri, bahkan mampu fokus tanpa memikirkan hal-hal kahwin semasa belajar, maka teruskanlah, dan jangan lupa berdoa untuk mendapat kemudahan/kejayaan dunia dan akhirat (termasuklah perkara-perkara jodoh).
Manakala jika kita tidak mampu menghalang diri, telah bergelumang dengan hubungan bukan mahram (terutama yang telah mempunyai seseorang yang istimewa), persiapkan diri (dari segala segi), cari jalan untuk segera menghalalkannya, ataupun pilih jalan untuk menjauhkan diri dulu dari semua itu.

Ingatlah! Bagi mereka yg sedang dalam lamunan dan hanyut ombak, fikir-fikirkanlah utk menghalalkannya, dan jika masih belum bersedia, jangan sesekali bermain "api".
Dan bagi yang belum tiada dan masih dalam proses mencari atau masih belum memikirkan, maka sentiasalah berdoa ada diketemukan yang terbaik dari sisiNYA, dan setiap taqdirNYA itu dirangkaikan dengan keredaannya semata-mata..

Satu analogi untuk seseorg yang bersedia ke arah cinta halal atau yg sedang bercita-cita ke arah itu..
"Untuk menjadi nahkoda, apa yang penting pada mulanya adalah persiapan sebuah bahtera yang lengkap dan berusaha sedaya mungkin untuk melihat dari segenap penjuru tentang keadaan bahtera tersbut, seterusnya, nahkoda juga perlu menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu pengendalian bahtera, serta ilmu-ilmu teknikel yang berkaitan, agar dengan membawa masuk anak-anak kapal ke dalam bahtera seterusnya berlayar, dapat menjamin keselesaan mereka semua dan yang pasti setiap bahtera berlainan nahkoda dan berlainan lautan menjanjikan pelbagai peristiwa/dugaan yg bakal ditempuh, dan ini semua diatasi dengan ilmu-ilmu yang telah dilengkapi sebelum ini.."
"Jika hanya mendayung sampan, jangan sesekali menduga lautan dalam, jika hanya persediaan terlalu sedikit, masih belum tetap pendirian dan keyakinan, jangan sekali-kali mencuba untuk memasuki alam perkahwinan yang menanti dengan 1001 warna kehidupan yang mana impian fantasi belum tentu menjadi realiti.."
Wallahu Anta A'lam
- Artikel iluvislam.com

C.I.N.T.A Untuk Siapa?

"Cinta itu cahaya sanubari, kurniaan Tuhan untuk insani
Rasa bahagia biarpun sengsara, berkorban segala-gala"

Lirik lagu nasyid "Kerana Cinta" ini singgah sebentar di minda ini bila menulis tajuk ini.
Seringkali perkataan ini bermain-main di fikiran dan seringkali juga ia menjadi tanda tanya orang-orang di sekelilingku bila cinta sejati akan menjemputku. Bukan tidak pernah diintai oleh sang kumbang, tetapi tanpa ikatan yang sah, aku tidak akan sekali-kali membenarkan sang kumbang itu menjemputku apalagi singgah untuk menjengukku.

Hati ini pernah sekali tercuit dengan perasaan itu, tidak seperti selalu yang bermati-matian untuk aku mempertahankannya. Tetapi kali ini, aku rasa perasaan itu sudah semakin menebal..
Dalam fikiranku, adakah aku telah JATUH CINTA?? Tidak mungkin!
Aku katakan pada diriku sendiri bahawa perasaan itu hanya kerana merasa kosong dan cemburu melihat kawan-kawan sekeliling yang sudah bahagia bersama pasangan masing-masing. Untuk menghilangkan perasaan itu, aku hanya bercerita kepada Yang Labih Berhak iaitu Allah SWT. Hanya Allah pemilik hati ini dan hanya Allah yang lebih tahu mana yang terbaik buatku.

Setiap malam aku bermuhasabah, bermunajat dan mengharap hanya kepada Allah agar perasaan itu akan hilang. Walaupun tidak secara terus tetapi dengan mendekatkan diri kepada Allah, aku berasa tenang kembali. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, hanya mengingatkan dia yang belum halal bagiku dan belum tentu halal bagiku.

Alhamdulillah dengan mendekati Sang Pencipta, diri ini terasa amat tenang dan mampu tersenyum kembali.
Hari-hari yang dilalui terisi kembali dan semakin hari terus melupakan perkara-perkara yang menyebabkan perasaan bergelora dan syaitan menyucuk jiwa.

"Mereka berkata hidup perlukan cinta
Agar sejahtera aman dan bahagia
Andai tiada atau pudar warnyanya
Meranalah jiwa gelaplah dunia
Warna-warna cinta
Yang terlukis di hatimu
Semat pada senyuman dan tangismu.."

Lagu "Warna-warna Cinta" nyanyian kumpulan Brothers sedikit sebanyak menyedarkan aku, sebenarnya cinta yang diperlukan oleh jiwa dan hati kita ialah cinta kepada ALLAH SWT. Cinta ini tidak akan layu, tidak akan pudar, tidak akan mengecewakan, tidak akan merugikan, dan segala jenis tidak. Malahan ia semakin menambahkan kelebihan pada diri kita, menambahkan kebahagiaan, menambahkan senyuman dan meningkatkan darjat kita sebagai hamba Allah.
Pesanan untuk diri dan sahabat-sahabatku di luar sana, jangan kita mengejar cinta manusia selagi cinta kepada Allah belum terlaksana dengan sebaiknya.
Love For Allah~
- Artikel iluvislam.com

Wednesday, November 28, 2012

Travelog Rindu Cinta: Makna Cinta?

ANDAI ditanya kepada 10 orang lelaki dan 10 orang wanita akan makna cinta buat diri mereka, pasti jawapannya yang diperolehi adalah 20 jawapan yang berbeza dan antara jawapan yang popular adalah, "Cinta itu subjektif."
Benarkan begitu?
Benarkah cinta itu subjektif dan bukan bersifat objektif?
Ya, kita akui makna kepada cinta sudah dikaburi dan dikelabui dengan pelbagai anasir dan mehnah semasa yang terus membawa kemuliaan dan keindahan cinta daripada makna sebenarnya.
Dalam al-Quran ada menyebut mengenai limitasi cinta  yang membebat minda dan nubari umat manusia keseluruhannya. Allah nyatakan manusia sengaja diciptakan oleh-Nya dengan sifat itu.
Firman Allah yang bermaksud;

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kecintaan (al-hubb) kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), di sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."    (Surah al-Imran 14)

Secara literal dapat kita fahami bahawa Allah memang sengaja mencipta fitrah kecintaan yang disukai oleh nafsu iaitu:
1.       Perempuan
2.       Anak-pinak
3.       Harta benda yang banyak daripada emas dan perak
4.       Kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak
5.       Kebun-kebun tanaman.

 Nampaknya kesemua kriteria tersebut boleh dikiaskan dan dinisbahkan dengan kitaran hidup kebanyakan manusia pada hari ini yang;
Apabila sudah dewasa dan matang (kadang-kadang tidak cukup dewasa dan matang sekalipun), atau hari ini pengukurnya adalah setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda dan mula bekerja, rasa ingin berteman atau lebih spesifik mencintai dan dicintai oleh pasangan masing-masing sehingga bekahwin.
Kemudian keinginan memiliki zuriat untuk mencintai dan dicintai bagi melengkapkan kehidupan sebagai sebuah keluarga. Pastinya mahu mengumpul sebanyak yang termampu harta benda sebagai tuntutan perjalanan kewangan semasa dan masa depan kemudian memiliki kenderaan yang selesa dan mempunyai rumah atau kawasan sendiri yang mempunyai kawasan dan permandangan mendamaikan.
Kemudian Allah nyatakan pada akhir ayat tersebut, "Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), di sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
Mesej yang jelas dan padu daripada Allah buat hamba-Nya bahawa ada kecintaan yang lebih besar perlu dikejar kerana kecintaan tersebut punya nilai yang besar di sisi-Nya malah menjamin hamba-Nya itu ke syurga abadi.

Rumusannya adalah, Allah memberikan kriteria yakni hanya kecintaan yang akhirnya membawa manusia kembali kepada-Nya sahaja akan dijamin syurga abadi di akhirat kelak. Bermaksud, kecintaan yang tidak membawa kepada Allah akan mendapat natijah sebaliknya. Justeru, setiap kecintaan kepada perempuan, anak-pinak, harta benda, kenderaan dan kebun tanah sendiri perlu membawa di pencinta kepada Allah bukan sebaliknya.

Tahukah kita akan cinta itu?
Ada kurang lebih 60 istilah yang boleh dinisbahkan kepada cinta? Selain daripada perumpamaan seperti singa dan pedang, bencana yang besar, arak yang memabukkan dan pelbagai perumpaan yang dijadikan bahasa ekspresif golongan pencinta khususnya mereka yang pandai menukang syair dan puisi serta sajak.
Demikian dinyatakan oleh ilmuwan Islam besar, Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. yang merupakan anak murid kanan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah r.h. dalam karya yang berjudul Raudatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqin.

Untuk menjadi seorang pencinta sejati dan mahu meletakkan kecintaan tersebut pada tempat yang sepatutnya, menjadi kawajaran kepada kita untuk mengetahui dan memahami akan istilah-istilah daripada dasar kepada kecintaan itu sendiri.
Cinta yang membawa kepada sebaik-baik tempat kembali yakni di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

- Artikel iluvislam.com

Friday, October 19, 2012

Peraturan Pekerja 2012-Jenaka

Peraturan Pekerja 2012
Memo terkini dari sebuah syarikat:
Staff Sekalian,
Perhatian kepada semua staff. Berkuatkuasa pada tahun 2012, syarikat ini akan menguatkuasakan peraturan baru kepada semua staff. Perkara yang digubal adalah seperti berikut:-
1. PENGANGKUTAN.
Sekiranya anda memandu kereta import, kereta mewah atau kereta Honda contohnya, kami menganggap anda sudah terlalu mewah, jadi tiada kenaikan gaji. Sekiranya anda memandu kereta yang telah uzur, lebih dari 10 tahun atau menggunakan pengangkutan awam, kami mengandaikan anda mempunyai banyak simpanan, jadi tiada kenaikan gaji. Sekiranya anda memandu kerata nasional sama ada proton atau perodua, kami mengandaikan anda telah berada di level yang sepatutnya, jadi tiada kenaikan gaji.
2. CUTI TAHUNAN.
Setiap orang akan mendapat cuti 104 hari dalam setahun dan kebanyakannya ialah hari sabtu dan ahad.
3. WAKTU LUNCH
i) Staff yang kurus akan diberi rehat selama 30 minit. Ini kerana mereka perlu makan lebih untuk kesihatan.
ii) Untuk saiz normal, mereka akan diberi rehat selama 15 minit. Ini kerana mereka sedang elok dan cuma perlu mengambil makanan secara stabil.
iii) Untuk mereka yang gemuk, mereka akan diberi rehat selama 5 minit sahaja. Ini kerana mereka cuma perlu makan pil dan susu atau teh untuk menguruskan badan.
4. CUTI SAKIT
Mulai 2012 kami tidak lagi mengiktiraf sijil sakit dari Doktor. Ini kerana sekiranya anda mampu pergi ke klinik untuk dapatkan MC, anda tentu boleh pergi kerja juga.
5. PENGGUNAAN TANDAS:
Kami mendapat aduan ramai staff yang mengambil masa terlalu lama di dalam tandas. Mulai tahun 2012 setiap seorang hanya boleh menggunakan tandas selama 5 minit sahaja. Sekiranya lebih dari 5 minit secara automatiknya tandas akan di pam, tisu akan tersekat, pintu akan terbuka dan kamera akan menyala.
6. PEMBEDAHAN:
Selagi anda menjadi staff di sini, kami tidak membenarkan anda melakukan sebarang pembedahan. Jangan cuba mengeluarkan apa-apa saja organ dari dalam badan anda kerana kami mengambil anda bekerja kerana anda mempunyai organ yang cukup. Sekiranya tidak, ini bermakna anda telah melanggar kontrak.
7. PENGGUNAAN INTERNET
Segala penggunaan internet atas urusan peribadi seperti facebook, e-mail, chatting dan games akan dikenakan bayaran RM3.00 sejam, sama seperti harga pasaran. Bayaran ini akan ditolak dari gaji anda.
Terima kasih kerana masih setia berkhidmat di syarikat ini. Kami akan cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik. Sebarang pertanyaan, komen, aduan, kekecewaan, sakit hati, bantahan, maki hamun, caci nista boleh disalurkan ke tempat lain.
Sekian, terima kasih.
HR DEPARTMENT
*cerita ini tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.