Ramai menyangka perihal jodoh itu dapat dirancang. Kenyataannya
tidak. Jodoh adalah ketetapan Tuhan yang tidak berubah biarpun sedikit.
Ramai orang yang bercinta tetapi putus di tengah jalan. Mereka tidak
bernikah kerana seorang daripada mereka bernikah dengan orang lain yang
baru dikenalinya. Ramai juga yang bercinta bertahun tahun lamanya
sebelum kejinjang pelamin kerana mahu menduga pasangan masing masing.
Kemudian apabila sudah bosan mereka berpisah dan memberi alasan sudah
tidak serasi. Mereka mencari pasangan lain yang dirasakan tidak
membosankannya. Akhirnya, mereka terjerumus ke kancah maksiat.
Apabila memilih jodoh, bukan sedikit anak muda yang memandang paras
yang rupawan, dan wajah yang tampan, kekayaan dan harta benda. Banyak
juga perkhawinan yang hancur kerana pasangan masing masing sudah tidak
cantik, tidak tampan ataupun jatuh miskin. Ada juga orang yang bercinta
dan sering keluar "dating", tetapi akhirnya bernikah dengan orang lain.
Benar, jodoh itu di tangan Allah kerana ramai yang bernikah bukan kerana nafsu ataupun cinta buta, melainkan atas sebab agama.
Ada yang takut mahu berkahwin kerana miskin, tetapi tanpa kita sedari hampir semua orang menjadi kaya selepas berkahwin.
Apakah hikmah daripada kisah kisah jodoh ini? Nampaknya, orang
sekarang lebih mengutamakan paras rupa, bentuk tubuh, harta kekayaan,
dan keseronokan dunia dalam mencari jodoh. Mereka seolah olah enggan
mempercayai ketetapan Allah berkenaan jodoh mereka. Sama ada orang itu
sedang menyiapkan diri bagi bernikah ataupun baru terfikir ke arah itu,
ataupun sudah terlena dalam pergaulan bebas, hakikatnya mereka lebih
suka bercinta sebelum bernikah tanpa ada sedikit perasaan takut kepada
Allah. Bermacam macam alasan diberi kononnya sudah suka sama suka dan
tanpa segan silu mereka menjalinkan hubungan terlarang.
Malah ada yang berkata perbuatan mereka itu adalah hak asasi sebagai
manusia. Semuanya demi membenarkan kesalahan masing masing. Asalkan
tidak merugikan dan mengganggu orang lain, pedulikan kata orang lain.
Ternyata, mereka lupa pada hukum Allah. Akibatnya, Allah memalingkan
tujuan asal mereka yang mahu mencari jodoh demi membina ikatan yang
diberkati. Nauzubillahi Min Zalik.
Ada juga yang beranggapan bercinta dahulu sebelum bernikah juga
penting kerana pernikahan hanya sekali seumur hidup. Malah, ada yang
bercinta lebih daripada sekali. Apabila berumah tangga, mereka mula
berasa bosan kerana sudah biasa bertemu mesra. Dalam majlis
perkahwinan, sudah tidak ada perasaan berdebar debar, teruja dan
kejutan. Sebaliknya, terasa hambar dan basi seolah olah tidak ada yang
istimewa lagi.
Pada mereka yang memegang prinsip "jangan sampai tersalah pilih",
mereka seronok bertukar tukar kekasih sebelum bernikah. Mereka rela
menjadi bekas kepada kekasih hati mereka sendiri. Kemudianya, mereka
berumah tangga selepas penat bercinta semasa muda. Apabila lanjut usia,
mereka bernikah dengan pasangan yang seadanya sahaja kerana sudah tidak
kuasa mahu mencari pasangan lain yang lebih baik, sedangkan pernikahan
adalah seumur hidup.
Satu lagi alasan bagi menangguhkan pernikahan sehingga sudah lanjut
usia adalah mahu bersedia zahir dan batin. Akibatnya, apabila sudah
sedia mahu berumah tangga, tidak ada pula gadis ataupun jejaka pilihan
hati yang dapat diajak ke jinjang pelamin. Akhirnya, kerana tidak ada
pilihan dan tidak daya lagi menahan nafsu, mereka berkahwin dengan
siapa sahaja yang sudi. Kesudahannya, pernikahan dilansungkan tanpa
membuat pertimbangan kualiti amalan agama, keturunan, dan akhlak
pasangan masing masing.
Malang nasib mereka yang lambat bernikah kerana mahu bersedia zahir
dan batin. Realitinya, orang itu sudah bersedia bernikah. Bekalan
berumah tangga semua sudah cukup tetapi rasa waswas menyelubungi mereka
kerana asyik memikirkan sebab sebab dan akibat selepas bernikah.
Apabila dikurniakan cahaya mata, anak yang menjadi mangsa.
Mengapa? Anak yang meningkat usia remaja dan mahu melanjutkan
pelajaran ke tahap lebih tinggi , pasti memerlukan belanja yang besar.
Malangnya, ibu dan ayah sudah tua dan tidak berdaya mahu bekerja keras
mencari pembiayaan pelajaran anak. Akibatnya, pelajaran anak yang
tersekat.
Sememangnya ini bukan rahsia lagi. Anak anak muda nampak bingung
kerana memikirkan segala masalah yang disebutkan tadi, sedangkan mereka
sudah bersedia bernikah. Sayang sekali, anak anak muda sekarang mudah
goncang jiwanya kerana dilanda krisis kepercayaan dan kerohanian.
Mereka terjebak dalam khayalan memuja muja fizikan tubuh dan nafsu yang
berlebihan.
Akhirnya, kesempurnaan hanya milik Allah. Selain Allah, pasti ada
kekurangan, termasuk diri ini. Sekiranya ada salah dan silap dalam apa
jua bentuk, saya mengalu alukan kritikan dan saranan daripada pembaca
yang budiman.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment