Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi
kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah... Ujian
itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah 'memperkenalkan' Dirinya
di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang
Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha
Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha
Penyabar...
Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan
mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi... dan
akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya,
apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna.
Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita
fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa.
Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka
baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini,
tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi 'sesuatu yang tidak
baik' dengan hati yang baik.
Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak
dipinta... jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah
diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah 'bisikan'
tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan
menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya
jauh lebih penting.
Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang
dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda... "aku
hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!"
Saudara/i, pembaca... maafkan aku, ketika terlalu sibuk 'menguruskan'
diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana
mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan
hidup... apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang
di luar menjadi bungkam.
Namun, mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan?
Lalu, kugagahi juga untuk berbicara... Bicara tentang ujian. Bicara
tentang bahagia. Bicara tentang iman...
Seorang Isteri yang Diuji
Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.
"Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami," luahnya perlahan.
"Sudah lama?"
"Baru sahaja... Sejak dua bulan yang lalu," katanya.
"Puan rasa kecewa, marah?"
"Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik."
"Jadi apa masalahnya?" tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah
berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah
dimadukan.
"Masalahnya ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya
menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka
desak saya bertindak."
"Puan bertindak?"
"Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah."
"Alhamdulillah, kalau begitu... Jadi, apa masalahnya lagi?"
"Bila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut
bersyubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya
dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah
dulu lagi. Saya sedih diperlakukan begini."
Saya diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas
dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu
bermasalah... kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin
'didengari'. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi,
manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka
perlukan makanan.
"Puan, kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di
tangan puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami,
apalagi oleh ipar-duai puan," akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan.
Satu-satu. Mengikut rentak suaranya.
Di hujung talian, saya dapat rasakan dia sedang sayu. Lalu saya
teruskan,"Jika puan tabah, tenang dan kelihatan 'steady', orang lain
tidak akan berani berbuat apa-apa. Mereka hanya akan 'bising' seketika
sahaja. Kemudian, ketabahan puan itulah yang akan memadamkan
segala-galanya. Apa rasa puan berpoligami?"
"Saya telah bersedia sejak suami menyatakan hasratnya. Ini sudah rezeki saya," ujarnya.
Dalam diam, saya menyanjung sikap wanita ini. Dia menggunakan istilah
'rezeki'. Ya, rezeki itu sinonim dengan kebaikan dan keberkatan.
Ertinya, dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya dengan tabah
sejak awal lagi.
"Apa yang mendorong puan bertindak begitu?" tanya saya mendorong dia
meluahkan segala isi hatinya. Dengan meluahkan segala niat, azam dan
segala yang terpendam dalam jiwanya, insya-Allah dia akan lebih tabah
dan yakin.
"Ustaz, suami saya baik. Bertanggung jawab. Saya yakin dia tidak
bertindak sembarangan. Bukan kerana suka-suka. Saya yakin dia boleh
bertanggung jawab dengan baik terhadap dua orang wanita."
Sekarang giliran saya pula terdiam. Saya ingin belajar... Ingin
belajar erti tabah daripada seorang isteri untuk menghargai isteri
sendiri.
"Sejak awal lagi rumah tangga kami dibena atas cita-cita ingin
mencari keredaan Allah. Dia jawapan istikharah saya, dan saya jawapan
istiharah dia. Sebelas tahun berlalu, telah bermacam-macam-macam ujian
kami lalui. Istikharah itu pun diujikan? Begitu yang saya baca dalam
tulisan ustaz. Istikharah itu pun perlukan mujahadah. Alhamdulillah,
segala-galanya dapat kami harungi bersama. Sekarang... ujian poligami."
"Puan tidak rasa dieksploitasi?"
"Oh, tidak, "jawabnya dengan tegas, " tidak sekali-kali ustaz. Memang
ada lelaki yang ditakdirkan untuk memimpin lebih daripada seorang
isteri..."
"Dan ada wanita yang ditakdirkan mampu menerima wanita lain berkongsi kebahagiaan bersama dengan suaminya," pintas saya.
"Mengapa ibu-bapa dan ipar-duai saya bersikap begitu? Sedangkan saya
yang menanggung segala-galanya?" Dia kembali kepada permasalahan
asalnya.
"Itulah trauma masyarakat Melayu kita. Persepsi terhadap poligami
terlalu negatif. Poligami disinonimkan dengan penzaliman dan
penganiyaan. Padahal, poligami itu adalah satu perkongsian dan
pembelaan."
"Mungkin kerana pelaksanaan poligami yang begitu pincang selama ini," balasnya.
"Kalau begitu, perkahwinan yang monogami pun bermasalah. Statistik
terkini menunjukkan setiap 15 minit penceraian terjadi... apakah
penyebabnya poligami?"
"Masyarakat kita hanya mengikut sentimen. Bukan berdasarkan ilmu dan fakta, ustaz."
"Saya tidak nafikan, ada juga yang lelaki zalim yang berpoligami
hanya untuk berseronok-seronok, mengikis harta, berbangga-bangga, hanya
cuba-cuba, dan sebab-sebab lain yang tidak syar'ie. Mereka ini bukan
sahaja menzalimi isteri-isteri mereka tetapi turut mencemarkan kesucian
hukum Islam!"
"Jadi saya perlu biarkan sahaja sikap negatif ibu-bapa, mertua dan ipar-duai saya?"
"Selagi puan tabah, selagi suami puan berlaku adil dan bijak
mengemudikan rumah tangga, insyaAllah semuanya akan reda dengan
sendirinya."
"Sunyi juga. Terasa kehilangan."
"Inilah hikmah besar poligami puan. Supaya kita kukuh dan teguh
meletakkan cinta pertama dan utama kita kepada Allah. Ini jalan yang
ditakdirkan untuk puan untuk akrab dengan Allah. Kadangkala kehilangan
akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!"
"Saya akan kehilangan cinta suami?"
"Tidak. Dengan mencintai Allah, puan akan lebih mencintai kerana
Allah dan dicintai oleh orang yang mencintai Allah. Doakan agar suami
puan mencintai Allah."
"Saya tidak pandai ustaz. Saya bukan ustazah. Hanya seorang suri
rumah biasa. Tapi saya terus belajar dan mendengar. Saya 'pelajar' yang
sedang bermujahadah!"
Itulah kunci segala-galanya. Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah.
Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun
ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai
hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau
oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa
oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang
tiada batasan... Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan
mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita... kerana bahagia itu
ditempa oleh derita!
"Kekadang datang juga rasa cemburu... bagaimana?" kembali suara itu mengocak lamunan saya.
"Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas
syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Puan punya banyak masa
sekarang?"
"Begitulah ustaz. Ketika bukan giliran saya, ada banyak masa untuk
melaksanakan amalan-amalan sunat, membaca Quran, dan buku-buku yang
tangguhkan membacanya sejak dulu."
"Itulah hikmahnya. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri
sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan
oleh suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri," dorong saya.
"Seperti mana perkahwinan pertama dahulu diuji, begitulah perkahwinan
kedua ini, pasti diuji. Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru,
bahagia itu bila diuji," ujar saya perlahan.
"InsyaAllah ustaz, doakan saya tabah. Bukankah selalu ustaz
pesankan... jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah
untuk menghadapinya!"
No comments:
Post a Comment