Pada saat usia mencecah alam dewasa, pastinya persoalan jodoh
merupakan salah satu perkara yang amat mengusutkan fikiran kita.
Soalan-soalan yang dilontarkan oleh insan sekeliling biarpun secara
gurauan terasa sangat menyentap perasaan. Bila berseorangan, kita rasa
kurang keyakinan, rasa serba kekurangan, malu dan tertekan...
Ketika berkumpul bersama kawan-kawan, ramai antara mereka yang sudah
menimang cahaya mata, sedangkan kita hanya mampu memandang dan
bermonolog dalam hati, "Bilakah waktunya untuk aku mengalaminya juga..."
Hati rasa lebih tersentuh apabila ibu dan ayah kita memeluk dan mencium
anak orang lain. Kita faham itu petandanya mereka sangat mendambakan
cucu mereka sendiri...
Tapi itu semua kehendak Allah, bukan kehendak kita. Tiada siapa pun
dalam dunia ini yang mahu hidup berseorangan. Namun kita harus akur
dengan takdir Allah yang masih belum mengizinkan kita untuk bertemu
jodoh. Kita harus berikhtiar, bersabar dan jangan sesekali berputus asa.
Kerana jodoh itu rahsia Allah. Bila, siapa, di mana dan bagaimana, itu
semua hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Dalam menghadapi saat ini, usahlah diturutkan sangat dengan tekanan
perasaan dek sindiran insan sekeliling. Tapi cubalah ikhtiar dan
muhasabah diri kita. Adakah sudah cukup usaha dan ikhtiar kita dalam
mencari jodoh? Adakah kita pernah minta pada Allah supaya diringankan
jodoh pada setiap kali sujud kepadaNya? Berapa kali kita bangun dan
bersolat hajat pada malam hari memohon dipermudahkan jodoh? Pernahkah
kita solat sunat Dhuha, memohon limpahan rezeki berupa jodoh yang baik
dan keluarga yang sakinah? Berapa kali kita solat taubat, memohon
keampunan agar doa kita untuk mendapat jodoh tidak terhalang disebabkan
dosa-dosa silam kita? Dan cukupkah ikhtiar kita dengan solat istikharah
agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan pilihan hanya kerana
terdesak?
Selain itu, cuba kita muhasabah diri kita. Adakah ikhtiar kita selama
ini menepati syariat yang digariskan oleh Allah? Adakah kita sudah
menahan diri daripada bergaul bebas dengan mereka yang bukan mahram?
Adakah kita sudah menjaga diri daripada berhias berlebih-lebihan hanya
untuk menarik perhatian kaum lelaki? Seandainya sudah menepati syariat
tapi masih gagal, redha dan yakinlah bahawa Allah telah merancang yang
terbaik buat kita. Teruskan usaha dan bersabarlah...
Namun di sebalik ikhtiar dan kesabaran, kita juga haruslah mengkaji
apakah hikmahnya ujian Allah terhadap kita yang lambat jodoh. Mungkin
kita hanya memandang kelebihan orang yang cepat jodoh; dapat menjadi ibu
dan bapa lebih awal dan dapat melaksanakan sunnah lebih awal. Tapi
sedarkah kita yang lambat jodoh masih juga punya kelebihan? Saat inilah
masanya untuk kita berbakti kepada ibu bapa kita. Bila kita sudah
berumahtangga, keadaan mungkin berbeza kerana terpaksa membahagi masa
untuk keluarga sendiri dan juga untuk ibu bapa. Saat ini jugalah masanya
untuk kita menimba ilmu sebanyak-banyaknya. Dalami ilmu agama, ilmu
untuk menguruskan rumahtangga dan ilmu untuk mendidik anak-anak agar
kita lebih bersedia apabila tiba saatnya nanti.
Akhir sekali, usahlah bersedih hati. Setiap yang berlaku ada
hikmahnya. Jaga iman dan hati agar tidak tertipu dengan hasutan nafsu.
Jaga maruah seorang wanita; jangan sampai nasibnya menjadi seperti epal
yang masak ranum di puncak pohon, tapi akhirnya gugur ke bumi lalu
membusuk dan tidak berguna hanya kerana tiada yang sudi memetiknya...
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment