Monday, March 12, 2012

Termakbulkah Doaku?

Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah.

Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas". (Surah al-'Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya.

Firman Allah:
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya juga:
"Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu". (Surah Ghafir, 60).



Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya.

Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah.

Sabda Nabi s.a.w:
"Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa" (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya.

Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa.

Sabda Nabi s.a.w : "Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah. Mereka bertanya: Apa itu tergopoh-gapah ?. Baginda menjelaskan : Orang yang tergopoh-gapah apabila dia berkata aku sudah berdoa! aku telah pun berdoa! tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa"(Riwayat Muslim).

Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya.

Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia. Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain.

Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut.

Sabda Nabi s.a.w : "Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya". (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih).

Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam.

Sabda Nabi s.a.w : "Doa itu adalah ibadah" (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak.

Firman Allah: (maksudnya): "Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka" (Surah al-Ahqaf, 5-6).

Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim.

Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

- Artikel iluvislam.com

Ditulis oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan dipetik daripada http://drmaza.com

Bagaimana Mencintai Secara High Class

Cinta high class bukan ekslusif milik sesiapa. Cinta high class berhak dimiliki oleh kita semua.

Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita mesti mencintai secara high class.

Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.

Err, apa itu cinta high class?

Cintamu mendaulatkan Allah nombor satu,Cintamu padaku kerana Allahmu yang satu,Cintamu bermujahadah menahan nafsu.

"Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)." (HR al-Tarmizi).
Saya terfikir, wanita dan lelaki saling tertarik. Itu biasa. Malah ketertarikan yang kuat ini turut dirasai oleh binatang jantan dan betina. Begitulah cara Allah menjamin berterusannya kehidupan di dunia.

Wanita dan lelaki saling jatuh cinta. Itu juga biasa. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah ini seperti merahibkan diri. Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah.

Wanita dan lelaki sanggup berkorban segala-galanya demi cinta. Itu luar biasa. Tapi boleh membawa binasa. Tanpa asas agama, maruah diri sanggup dikorbankan sekali. Islam menutup pintu-pintu yang membawa kekejian untuk melindungi lelaki dan wanita daripada punca-punca keghairahan dan pencetus fitnah.




Wanita dan lelaki bercinta selepas nikah, saling melengkapi agama pasangannya. Ini jauh luar biasa. Dan ini barulah high class. Jika belum menikah, cinta menjadi high class apabila teruna dan dara saling tinggi mujahadah. Bantu si dia memahami dengan mengurangkan perjumpaan dan komunikasi. Ianya atas dasar urusan dan keperluan sahaja dengan menjaga syarat dan batasan.

Jika di luar batas urusan, mintalah fatwa dari hati. Kebaikan itu apa yang tenang dalam hati. Dosa itu apa yang was-was dan syak dalam hati. Nikmatilah indahnya saat menahan, bila halal, penuh keterujaan.

Saya cuba memahami, mawar dan kumbang berbeza untuk saling melengkapi. Mereka saling jatuh cinta kerana perbezaan itu. Lelaki sukakan sifat kewanitaan seorang wanita. Wanita sukakan sifat kelelakian seorang lelaki.

Lelaki dan wanita bagaikan botol dan penutupnya. Bagaikan elektron dan proton. Bagaikan baju dan seluar. Bagaikan sepasang selipar. Saling memerlukan.

Bukti saling memerlukan ini akan menjadi luar biasa dan high class jika diluapkan kepada insan istimewa bernama suami atau isteri, bukan untuk teman wanita atau teman lelaki. Kenapa ianya high class?

Itu tanda patuhi Allah.Itu tanda jauhi fitnah.Itu tanda sebuah mujahadah.

'Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.' (Monolog Qani'ah Syumaila dalam novel Cinta High Class).

- Artikel iluvislam.com

Jangan Bersedih, Dunia Ini Terlalu Kecil Untuk Ditangisi

Kesedihan adalah satu fitrah yang Allah ciptakan kepada hambaNya.

Kadangkala kesedihan mampu membuat kita kembali kepadaNya, dan kadangkala juga kesedihan membawa kita jauh darinNya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul Izzati. Maka kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia?

Acap kali, manusia itu bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal dalam peperikasaan kita akan bersedih. Ketika putus cinta dengan sang kekasih kita akan bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga pasti akan bersedih. Persoalannya, wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di mata kita, sebenarnya terlalu kecil disisi Allah Azzawajalla.



Dalam sebuah Hadith Sahih disebutkan:

Seandainya nilai dunia ini disisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi mnum kepada orang kafir walau seteguk air pun.

Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat sebenar nilai dan timbangan dunia ini disisi Allah. Lalu atas alasan apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah seorang ulama yang sangat masyur pernah mengatakan bahawa:

Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan,lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air.

dan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah juga pernah mengatakan bahawa:

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali Allah

Sakinah atau kebahagian adalah apabila anda merasa aman atas diri sendiri masa depan, keluarga dan kehidupan anda sendiri. Dan semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadapa qadha' dan qadhar serta diiringi oleh sifat qana'ah dan sabar.

Oleh itu kita harus kembali kepada hakikat hidup yang sebenar, jadikanlah kesedihan itu sebagai ruang untuk kita meraih pahala daripadaNya dan bukannya kita lemparkan dan luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini terlalu kecil untuk ditangisi

- Artikel iluvislam.com

Adi Putra Dan Nora Danish Dalam Aku Terima Nikahnya

Aku Terima Nikahnya (end 2012) lakonan Adi Putra dan Nora Danish and diarahkan oleh Eyra Rahman
Mengisahkan kepayahan dan ketabahan seorang isteri yang setia, kehidupan bahagia Arlisa (Nora) serta Johan (Adi Putra) ditimpa dugaan selepas Johan terbabit dalam nahas jalan raya. Akibat kemalangan itu, Johan disahkan hilang ingatan kerana menghadapi Selective Amnesia menambah lagi kerumitan kepada Arlisa. Tidak mahu berputus asa, Arlisa menguatkan semangatnya untuk berusaha menjaga Johan walaupun kini dia langsung tidak diingati suaminya itu.









Thursday, February 16, 2012

LUAHAN HATI SEORANG SUAMI YANG MEMBUATKAN KITA MENGALIRKAN AIRMATA

by Ustaz Nasir


ISTERI YANG TERBAIK....
SETIAP SUAMI MESTI BACA !!!!!!!!!!!!

**********************************************************************************

Assalamualaikum….

Kehadapan ustaz yg saya hormati…saya tidak tahu..di mana ingin saya mulakan bicara ini… tetapi saya mesti menceritakn kisah ini pada ustaz supaya hati saya tenang dan mungkin dapat meredakan rasa berdosa saya selama ini…ustaz mungkin tidak kenal saya namun saya mengenali ustaz..tak mengapalah kalau ustaz tak kenal saya pun….

Ustaz saya merupakan seorang lelaki yang mempunyai memori kehidupan lampau yg cukup menyedihkan.harap ustaz tidak bosan mendengarnya..

Saya merupakan seorang suami kepada seorang isteri yg amat baik dan setia.namun ustaz..,saya tidak pernah menghargai kasih dan sayangnya yang dicurahkan kepada saya kerana pada waktu itu mata hati saya terlalu buta untuk membezakan yang mana kaca dan permata.

Ustaz saya telah berkahwin dengan seorang wanita yang pada asalnya tidak saya cintai.dia seorang yang sederhana pada segi paras rupanya.,seorang yang tidak pandai bergaya.,tetapi kuat pegangan agamanya..,bertudung labuh,bersopan santun..,baik budi bahasanya.,Untuk pengetahuan ustaz perkahwinan kami ini segala-galanya diaturkan oleh keluarga dalam keadaan saya masih belum bersedia.

Ustaz terus terang saya katakan yang saya sudahpun mempunyai teman wanita yg jauh lebih cantik daripada isteri saya dan kami amat menyintai antara satu sama lain..cumanya saya akui teman wanita saya ini agak sosial sedikit dan tidak menutup aurat.Ustaz, selepas berkahwin dengan isteri saya itu jiwa saya menjadi kacau dan keliru.saya amat marah kepada isteri saya.kerana pada anggapan saya kerana dialah saya tidak dapat bersama kekasih saya yg amat saya cintai itu.

Ustaz sepanjang kehidupan kami.,saya selalu sahaja mencari jalan untuk menyakitkan hatinya.dengan harapan kami akan bercerai setelah dia tak tahan dengan kerenah saya.,namun rupanya ustaz…isteri saya ini adalah wanita yang penyabar.pernah saya tidak balik ke rumah..dengan tujuan isteri saya akan membenci saya.tetapi selama mana lambat sekalipun saya balik.,dia akan tunggu saya dan bila saya masuk ke dalam rumah.dia menyambutnya dengan mesra dan bertanya:“Abang dah makan…? Nak saya panaskan lauk dan hidangkan makanan?”

Ustaz…pernah suatu hari saya menampar mukanya.apabila dia bertanya pada saya…”Abang dah solat?...abang tak pernah solat ke? Paannggg..!!satu tamparan kuat saya berikan di pipinya.perasaan geram.,marah., dan rasa terhina bercampur ego yg menggila…Bengkak pipinya., dia menangis terisak-isak.saya ingatkan mungkin dia akan membenci saya..tetapi rupa-rupanya…..dia bersabar dan melayan saya sebagai suaminya.

Ustaz pernah suatu hari.,dia ingin bermanja dengan saya,membawa sepinggan nasi goreng yang digoreng untuk saya.pada masa itu saya sedang berbual mesra dengan kekasih saya di dalam handphone..ketika dia ingin menyuapkan nasi kemulut saya,saya tolak pinggan sehingga jatuh berkecai bersama nasi goreng yang digoreng khas untuk saya., dengan linangan air mata dia mengutip setiap butiran nasi goreng yang berhamburan ke lantai…

Ustaz saya bertambah lupa daratan…saya habiskan masa berhibur dan berlibur dengan kawan-kawan di luar dengan harapan isteri saya akan lebih sakit hati dan meninggalkan saya rupanya dia tetap tabah dan bersabar..pernah juga saya menendang badannya kerana dia menasihati saya supaya tidak mencari hiburan dengan jalan yang dimurkai Allah.

Ustaz….pernah suatu ketika apabila keluarganya datang bertanyakan khabar dia kata dia amat bahagia bersama saya…tapi sebenarnya hanya saya yang tahu dia berbohong.

Ustaz suatu hari saya telah diberikan balasan oleh Allah.dan saya kira itu adalah balasan apabila saya terlibat dengan kemalangan…tulang paha saya patah dan dan sememangnya saya tidak berdaya utk bangun.hampir lima bulan saya terbaring tidak berdaya..,ketika itulah isteri saya menjaga saya dengan setia sekali.berak kencing saya dia tadahkan dia basuhkan tanpa ada rungutan atau perasaan genyi mahupun geli.

Dialah yang memandikan saya…menggosok badan saya dan memakaikan pakaian utk saya..bila saya mengerang sakit kerana kaki yang bengkak di tengah malam berdenyut-denyut sakitnya dialah yang bangun dalam keadaan mengantuk dan terhoyong hayang kerana tidak cukup tidur..dia datang kepada saya dan menyapukan ubat krim dan memberi saya ubat penahan sakit sehingga saya rasa lega dan tertidur..tetapi isteri saya tidak tidur hingga ke pagi.., risau saya mengerang kesakitan lagi.

Ustaz isteri sayalah yang menyuapkan saya makan., dia sendiri tidak akan makan melainkan setelah saya kenyang.dia akan membuatkan makanan dan minuman mengikut kehendak dan selera saya. Bila saya kenangkan kembali.,sewaktu saya terlantar sakit tiada siapa pun dari teman-teman yang setia berjoli dengan saya dahulu datang menghulurkan bantuan apatah lagi melawat.kekasih saya..lagi lah..apabila dapat tahu saya kemalangan dan tidak boleh bangun dia tidak mahu lagi menghubungi saya malah meminta hubungan kami diputuskan..kononnya saya suami orang..huhu..

Sekarang baru dia kata saya suami orang.dulu.,dialah yang menghasut dan memberikan harapan pada saya untuk membenci isteri saya..ketika itu barulah saya sedar betapa besarnya kesilapan dan dosa yang telah saya lakukan.Ustaz…..saya…kasar..kejam dan zalim kepada isteri yg menyayangi saya.besarnya dosa saya.,amat menyesal rasanya.

Ustaz….ketika saya boleh berjalan sedikit demi sedikit dan saya beransur pulih.,isteri saya jatuh sakit.badannya menjadi kurus kering.,tiada selera makan..,terbaring..tak bermaya..kata doktor yang merawatnya isteri saya jadi begitu kerana terlalu letih dan susah hati….hati saya menjadi sebak kerana saya tahu sayalah puncanya.

Ustaz kesihatan isteri saya makin teruk..mukanya makin pucat…tetapi dia tetap senyum.saya menangis sepuas-puasnya memohon ampun dan maaf di atas kejahatan yg pernah saya lakukan terhadapnya.dia hanya tenang dan menjawab dia telah lama maafkan saya….”Abang saya dah lama maafkan abang…saya sayangkan abang”.berderai airmata saya hancur hati saya.,pilu bercampur sebak yang amat sangat diikuti dengan perasaan menyesal.

Ustaz selepas itu isteri saya di masukkan ke dalam wad kecemasan.,saya menjaganya setiap hari.saya belai rambutnya saya kucup dahinya…sambil airmata ini tidak berhenti—henti mengalir.

”Jangan menangis bang….bukan salah abang…..mungkin saya ni yang tidak pandai mengambil hati abang…” Berdentum….seolah-olah hati saya disambar halilintar…saya menangis lagi sehingga keluarga yang datang melawat terpaksa menenangkan saya..malah ada yang memuji saya kerana beranggapan saya suami yang amat menyayangi isteri…ternyata pujian itu bagaikan sumpahan utk saya.

Ustaz…..isteri saya ada berkata.,dia meminta maaf kerana tidak dapat melahirkan zuriat untuk saya kerana masanya utk menghadap ilahi semakin hampir.saya meraung..merayu kepadanya agar tidak meninggalkan saya.tapi katanya.,setiap yang hidup pasti akan mati dan dia meminta saya menjaga diri baik-baik kerana dia tidak boleh lagi menjaga saya.ustaz..saya menangis …sehingga saya menjadi lemah apabila dia mengucapkan kata kata terakhir itu.

Ustaz…tepat jam 3.00 ptg setelah dua minggu berada di hospital…isteri saya telah pergi meninggalkan saya selama-lamanya..dengan bebanan dosa dan jutaan kesalan yang menerjah hati ini saya meraung semahu-mahunya….menyesal di atas kekasaran yg pernah saya lakukan.

Ustaz jiwa saya tak tenteram…apakah Allah akan mengampunkan dosa saya ini...? apakah kekasaran dan kejahatan serta layanan buruk saya kepada isteri akan diampunkan Allah….tolonglah ustaz saya amat menderita…..jiwa saya terseksa…..

Mungkin ini hukuman yang patut saya terima.Masih terngiang di telinga saya pesanan akhir isteri saya..”abang…jagalah diri baik-baik….jangan lupa tunaikan solat..,berbuat baik..,takutlah kepada Allah….dan jika bertemu dengan insan bernama isteri….jangan berkasar dengannya sayangilah dirinya.”

Ustaz sebelum isteri saya menghembuskan nafas terakhir…dia ada meninggalkan satu nota dan sebuah lagu untuk saya dengar dan hayati.lagu itu adalah harapan yang dia impikan dari saya tetapi tidak sempat dia nikmati..kasih sayang yang terkandung dalam lagu itu dia harapkan dari saya….

Di dalam nota itu dia menulis “Abang..dengarlah lagu ini dan ingatlah saya selalu…Dahulu...saya senantiasa menanti abang pulang ke rumah…Saya teringin sangat nak makan bersama abang…..mendengar cerita abang….menyambut abang pulang dari kerja….bergurau dan bermanja dengan abang…..memeluk abang ketika tidur…..tetapi semuanya mungkin tidak sempat bagi saya…jaga diri…sayang abang….selamanya."

Ustaz..saya harap ustaz tak marah saya meluahkan perasaan begini panjang pada ustaz….kerana inilah pesan isteri saya sekiranya saya merasa terlalu sedih…ceritakanlah pada ustaz dia tahulah apa nak buat utk tenangkan abang…

Ustaz….saya harap cerita saya ini dijadikan teladan bagi mereka yg bergelar suami….sayangilah isteri anda….selama mana anda berpeluang utk berbuat begitu…janganlah terjerumus dengan kesilapan yg saya lakukan…pasti anda akan menyesal tak sudah….

Terima kasih ustaz….doakan saya…….

**********************************************************************************

Sedih dan sebak bila baca luahan perasaan hamba Allah ini….memang saya banyak beri ceramah motivasi dan mendengar banyak masalah masyarakat yg dihantar pada saya dan inilah yang paling sedih.yg pernah saya baca… tambahan pula lagu yg telah ditujukan isterinya itu bila dengar bertambah sebak…..dengarkanlah senikatanya…….tapi tak boleh upload lagu tu dibawah copyright..

P/s dr saya: kita cuma akan menghargai sesuatu bila kita dah kehilangannya..hargailah ia sementara masih ada....

Semoga roh isterinya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, sungguh berbahagia penduduk langit menyambut kehadiran isteri solehah sepertinya..Semoga si suami itu mendapat ketenangan sakinah yang ia cari selepas ini..amiin ya Rabbi.. :)

AMBIL IKTIBAR, SAYANGI ISTERI2 ANDA..

Saturday, February 11, 2012

Ayat memujuk supaya lelaki cepat masuk meminang

1-Solat hajat 2 rakaat dan panjatkan doa kepada ALLAH

Pada saya, ni adalah tips yang PERTAMA dan PALING UTAMA. Sebab apa? Sebab ini adalah arahan ALLAH dan suruhan NABI SAW.

Dalam fatihah yang kita baca sekurangnya 17 kali dalam solat pun, kita sentiasa berikrar “Iyya kana’budu waiyya kanasta’iin”. Hanya ALLAH kita sembah, dan hanya pada ALLAH kita mohon pertolongan. Habis kenapa kita tak minta pada ALLAH apa saja hajat kita?

Tunaikanlah solat 2 rakaat, tadah tangan kepadaNya, mengadu dan mintalah pada ALLAH. Bukankah Nabi SAW dah ajar kita bahawa, kalau kita mengalami apa-apa kesulitan atau kalau kita ada apa-apa hajat, kerjakanlah solat. Bukankah ALLAH ada berfirman dalam Quran…

Lihat surah al-Baqarah ayat 45 : “Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat….”

Dalam sebuah hadith disebutkan bahawa, apabila seseorang itu mengkehendaki sesuatu hajat, samaada hajat duniawi atau hajat ukhrawi, yang berkaitan dengan ALLAH SWT atau dengan manusia, hendaklah dia mengambil wudhuk dengan sempurna, MENDIRIKAN SOLAT 2 rakaat, kemudian memuji ALLAH SWT dan berselawat ke atas Nabi SAW. Selepas itu berdoalah pada ALLAH SWT mohon hajat diperkenankan.

Itulah ajaran Islam pada kita. Ada hajat, ada masalah, terus minta
dengan ALLAH. Solat 2 rakaat, puji ALLAH, selawat atas Nabi SAW, mengadu dan merintihlah pada ALLAH supaya menolong dan menentukan yang terbaik buat kita. So, mengapa kita tak buat apa yang diperintahkan oleh ALLAH dan disuruh oleh Nabi SAW ni pada kita?

Ramai diantara kita, hanya menjadikan solat hajat dan doa ini sebagai cara atau jalan terakhir kita meminta sesuatu. Apabila dah tak berjaya,apabila dah tiada makhluk lain yang dapat menolong kita, barulah nak terhegeh-hegeh berdoa dan mohon pertolongan ALLAH. Patutkah begitu?

Pada saya cara macam tu silap. Sebetulnya, apa2 pun, perkara pertama yang perlu kita buat dulu ialah, SOLAT 2 RAKAAT & BERDOA PADA ALLAH dulu. Mohonlah sungguh2 pada ALLAH supaya menunaikan hajat dan permintaan kita. Kemudian, usaha lah dengan apa cara sekalipun dalam mencapai hajat kita.

Masalahnya sekarang, sudahkah kita solat 2 rakaat minta hajat kita
diperkenankan? Sudah berapa kali kita berdoa agar ALLAH memperkenankan hajat kita? Tepuk dada, tanyalah diri sendiri…

2-Ajak jumpa dan perkenalkan lelaki atau pakwe dengan mak ayah kita

Tunjukkan bahawa anda serius dalam perhubungan anda dengan dia. Kalau anda belum pernah perkenalkan lelaki atau pakwe anda pada mak ayah anda, maka lakukannya segera.

Ajak la lelaki atau pakwe anda jumpa dengan mak ayah anda. Lagi baik kalau anda minta lelaki atau pakwe anda tu bawa mak ayah dia jumpa mak ayah anda sekali.

Cuba tengok apa reaksi dia bila anda cadangkan perkara ini dengan
dia. Kalau reaksi dia OK dan macam excited jer, maknanya lelaki atau pakwe anda tu serius dengan anda. Kalau dia cuba berhelah dan bagi macam2 alasan, maknanya dia mungkin masih belum bersedia untuk menikahi anda. Atau mungkin juga dia tidak serius dan nak main2 saja dengan anda.

Pada saya, sebelum anda memujuk dia masuk meminang, apa-apapun, anda kena pastikan betul-betul dulu adakah lelaki atau pakwe anda tu betul2 serius dalam perhubungannya dengan anda. Kalau dia sendiri tak serius dan hanya nak main2 dengan anda, adakah orang yang macam itu anda harapkan untuk masuk meminang anda??

So, kenalpasti dulu, pada tahap mana lelaki atau pakwe anda tu serius dalam perhubungannya. Kalau dia betul-betul serius, barulah anda boleh pujuk dia. Kalau dia nampak macam nak main2 saja dengan anda, pada saya,tiada gunanya pun anda pujuk dia. Sebab dia hanya akan bagi macam2 alasan dan helah untuk tidak masuk meminang anda, apatah lagi nak menikahi anda. Nasihat saya, kalau ada lelaki atau pakwe yang macam tu, tinggalkan saja dia. Dan cari lain sajalah. Kumbang bukannya seekor kan?

Abang, jomla kita jumpa papa dan mama I…

3-Berterus terang sajalah

Pada saya, tiada jalan lain yang paling bagus dan berkesan bagi memujuk lelaki untuk masuk meminang melainkan, anda kena berterus terangdengannya. Ajaklah dia berjumpa di mana-mana dan berterus teranglah sajalah dari hati ke hati dengannya. Luahkan semua perasaan dan rancangan anda pada dia.

Kemudian, minta dia luahkan perasaan dan perancangannya pula. Saya yakin, kalau dia betul-betul serius dengan anda, maka dia akan dapat berbincang sesuatu yang positif tentang status perhubungan dan perancangan masa depannya dengan anda. Masa tu, kalau dia kata dia masih belum bersedia, tanya pada dia, agak2 bila dia akan jadi bersedia?

Suruh dia berikan tentatif atau perancangan kasarnya. Saya yakin,
kalaupun dia masih belum bersedia, tapi perancangan secara kasarnya pasti dia boleh cerita. Setidak-tidaknya, anda tahu apa yang dia fikirkan tentang perhubungannya dengan anda. Apa-apapun, pada saya, yang paling pentingnya sebelum anda pujuk seseorang lelaki tu masuk meminang anda ialah, anda kena tahu setakat mana atau sejauh mana dia serius dalam perhubungannya dengan anda dulu.

Kalau dia tak serius dan hanya bertujuan nak main-main dan suka-suka saja dengan anda, maka apa gunanya anda pujuk dia? Kalau mungkin pun ada berjaya pujuk dia, apakah anda akan berasa yakin dan percaya pada dia selepas anda kahwin degnan dia nanti?

Cinta? Diamkanlah..

Diam itu lebih baik. Itu yang ingin saya kongsikan pada post kali ini. Topik 'cinta' sangat famous dalam kalangan remaja. Jadi, saya mengambil peluang untuk berkongsi serba sedikit tentang cinta dan bagi saya, andai kita mencintai seseorang maka, diamkanlah. Serahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T.

Jika dirimu jatuh cinta, maka diamkanlah. Ini kerana syaitan cuba menyelinap masuk untuk jadikannya cinta bernafsu. Jika dirinya, bukan untukmu, redhailah kerana Allah S.W.T pasti menyediakan seseorang yang lebih beriman untukmu.

DIAM ITU LEBIH BAIK.

Diamku, bukan kerana membenci kehadirannya tetapi ingin menjaga kesuciannya. Hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui.

Kita diam bukan bermakna kita membenci sesuatu, tetapi mungkin kita ingin menjadikan ia lebih baik. Pernahkah kita terfikir, jika kita hanyut dalam cinta tanpa ikatan yang sah, ia bakal menjadi satu masalah untuk kita kerana kita sentiasa bergelumang dengan dosa.

Apakah yang akan berlaku pada rumahtangga kita? Anak-anak kita?

Adakah kalian masih ingat tentang kisah cinta antara Saidina Ali & Saiditina Fatimah Az-Zahra?

Kedua-dua mereka menyimpan perasaan antara satu sama lain, tetapi mereka lebih memilih untuk mendiamkan hal ini dari pengetahuan orang lain. Dengan izin Allah S.W.T, mereka berdua telah di satukan dengan ikatan yang sah.

"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

"Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah sanggup untuk menikah, maka menikahlah, sesungguhnya menikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara kamu belum sanggup untuk menikah, berpuasalah, karena sesungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya."

Ramai yang berkata, jika kita diam, bagaimana si dia hendak tahu tentang perasaan kita?

Ingat, setiap apa yang berlaku di dunia ini, semuanya telah di aturkan oleh Allah S.W.T. Jangan risau jika mereka tidak tahu tentang perasaan kalian, tetapi risaulah andai dirimu tidak berupaya untuk menepis dan mengawal perasaan tersebut terhadap seseorang yang tidak halal bagi dirimu.

Jika benar cinta itu kerana Allah S.W.T, maka biarkanlah ia mengalir mengikuti aliran Allah S.W.T kerana hakikatnya ia berhulu dari Allah S.W.T maka ia pun berhilir hanya kepada Allah S.W.T.

Tetapi, ingatlah..Cinta Allah, adalah cinta yang kekal abadi. Kejarlah cinta Allah S.W.T dahulu kerana kita pasti tidak akan kecewa andai kita berjaya mencintai Allah S.W.T dengan sepenuh hati. Bagaimana kita hendak mencintai seseorang andai kita tidak berusaha untuk kenal dan cintai Sang Penciptanya.

Banyak lagi tugas kita di dunia ini terhadap agama kita. Jangan disebabkan terlalu mengejar cinta manusia, tugas sebagai seorang pendakwah juga kita tidak peduli. Jangan terlalu asyik dengan kehidupan dunia kerana itu hanyalah sementara.

Utamakan akhirat, kerana ia akan kekal abadi. Jika betul-betul sudah bersedia maka kahwinlah.

Post ini adalah untuk peringatan bersama terutamanya untuk diri ini. Semoga kita semua sentiasa di lindungi oleh Allah S.W.T. Jangan pernah kecewa jika kita pernah putus cinta tetapi jadikan ia sebagai pengajaran dalam hidup kita. Berusahalah untuk menjadi hamba yang sempurna di pandangan Allah S.W.T bukan di pandangan manusia.

Untuk Hawa..

Apabila lelaki mengatakan dirimu seorang yang sombong, itu lebih baik kerana itu menandakan dirimu sukar untuk didekati dan kamu telah berusaha untuk menjaga dirimu dan dirinya juga.

Untuk Adam..

Mereka sombong kerana mereka ingin menjaga pergaulan mereka, dan mereka berusaha untuk menghindari dirinya serta dirimu bergelumang dengan dosa. Bersyukurlah kerana dia, anda terselamat dari melakukan dosa. Hormatilah keputusan mereka dan jagalah mereka mengikut peraturan yang telah di tetapkan di dalam Islam.

Bisik hatiku:

"Jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanamkan dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehahkan diriku."

"Sukar untuk mencari soleh dirimu andai solehahku tidak setanding dengan kesolehahanmu. Janji Allah pastiku pegang dalam misi mencari diri 'Lelaki yang baik untuk wanita yang baik."

Ya Allah...

Seandainya rindu ini suci maka kuatkanlah...

Seandainya ukhuwah ini kudus maka panjangkanlah...

Seandainya luka ini berhikmah maka biarlah...

Seandainya ingatan ini berfaedah maka teruskanlah...

-Artikel iluvislam.com