Saturday, February 11, 2012
Dan Lelaki Baik Yang Bercinta
Lalu apa mahumu, wahai lelaki? Saya ini benarlah perempuan yang tidak tahu berfesyen, tidak tahu jenama make up apa yang sesuai untuk saya, dan tidak tahu serba-serbi, namun saya tetap juga seorang perempuan yang punyai hati bagi memberi cinta, tetap juga punyai hati bagi menerima cinta.
Namun lelaki ini pandai betul. Pada saat saya berkata begitu, ini pula jawabnya, "Cinta Tuhan itu juga yang dipinjamkan kepada hati kamu. Jadi, elok sangatlah sekiranya kamu dahulukan cinta Tuhan dan pasti kamu tidak akan kecewa. Malah cinta manusia juga yang akan menyusul. Ataupun mungkin sahaja, kamu boleh menjadi seperti Rabiatul Adawiyah."
Lalu diam sahajalah saya kerana, kata-kata lelaki itu adalah 'noktah' hati. Tidak ada salahnya pada kata-kata itu tetapi, untuk perempuan yang lemah seperti saya ini, bagi mencapai cinta Tuhan, perlukan bantuan, dan pastinya bantuan itu datangnya daripada seorang lelaki bernama suami. Tuhan tahu sekuat mana hamba-Nya, dan bantuan Dia tiba dalam bentuk cinta seorang lelaki.
Sekiranya tidak 'bantuan' yang Tuhan hantar itu, jadi bagaimana saya seorang perempuan yang lemah mampu memperoleh rahmat dan reda yang lebih daripada Allah? Lelaki juga tahu, perempuan yang taat kepada suami itu adalah perempuan yang menerima reda yang besar daripada Tuhan sehingga boleh masuk dari mana-mana pintu syurga yang perempuan itu mahu.
Jadi, mudahnya, saya ini tahu diri, saya adalah perempuan yang tidak kuat tetapi punya cita-cita besar bagi meraih cinta Ilahi. Lalu, para lelaki, bantulah saya ke arah itu. Namun, seperti kata saya tadi lelaki ini apa mahunya? Maksud saya, lelaki baik-baik ini, apa mahu kamu? Untuk lelaki-lelaki celaka di luar sana, tidak perlu tersenyum-senyum memberitahu mahumu. Jangan sampai ludahku, hinggap di wajah penuh nafsumu.
Soalan saya itu yang saya pendam-pendam dalam hati, sehinggalah pada suatu hari, saya mengerti juga, namun dalam bentuk yang membuat saya semakin bingung.
Ibu cantik
Begini sahajalah, biar saya ceritakan siapa saya, dalam satu ayat. Saya adalah perempuan yang berharap reda Allah, namun dalam masa yang sama saya adalah perempuan yang lemah. Itulah saya, dan lemahnya saya itu, adalah kerana tanpa sedar sering juga terpaut hati kepada lelaki baik itu dan lelaki baik ini dengan harap mereka menjadi suami saya.
Memanglah saya tidak melulu pergi kepada lelaki itu dan berkata "Kahwini aku", tetapi tetap juga saya berasa berdosa kerana mempunyai rasa seperti itu. Rasanya seperti, murah benarlah hati saya ini. Namun itulah yang saya beritahu tadi, saya lemah untuk urusan yang satu itu. Mujur juga saya masih kuat bagi menahan diri bagi tidak terlihat seperti perempuan yang murah.
Sehinggalah pada suatu hari, saya perempuan yang lemah ini sempat berbicara dengan seorang ibu yang sudah punyai lima anak, tetapi wajahnya tetap segar, muda dan saya takjub sekali dengan dia. Bayangkan sahaja, sudah punyai lima anak tetapi tetap disangka anak dara yang baru mekar. Luar biasa sekali.
Seperkara yang saya tahu, ibu itu keturunan yang memang sedia cantik dan awet muda, namun seperkara lagi, saya baru tahu pada hari itu dan melalui ibu itulah, saya semakin rungsing dengan cerita lelaki-lelaki baik ini.
Lelaki baik
Petang baru masuk bersama awan-awan yang berbentuk kasut mary jane. (Bentuk kasut yang saya baru belajar secara tidak sengaja dua hari lepas). Saya pula pada ketika itu dengan wajah yang baru dikesat minyaknya sedang duduk semeja dengan seorang ibu beranak lima yang cantik.
Memang sudah tugas saya, sebagai editor buku bagi bertemu dengan manusia-manusia yang mahu menulis, dan pada petang itu, saya bertemu ibu yang mahu menulis. Menurutnya, dia mahu menulis berkenaan mendidik anak gaya Saiditina Fatimah, dan untuk saya, itu sangat bagus bagi pasaran buku.
Lalu cepat-cepatlah saya bertemu janji dengan dia, dan mulanya, terus-terang sahajalah di sini, saya menyangka akan bertemu perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata, dan membuat saya berasa menjadi anak kepada dia.
Sangkaan saya itu benar pada perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata tetapi dia tidak membuatkan saya berasa menjadi anak kepada dia. Malah, saya berasa dia seperti rakan sebaya walaupun anaknya sudah lima. Semuanya gara-gara wajahnya yang segar itu.
Mulanya hajat mahu berbincang berkenaan buku yang dia mahu tulis, tetapi kerana kagumnya saya kepada dia, saya lebih banyak cuba mencungkil rahsia berkenaan dirinya. Bertanya itu, bertanya ini dan kemudiannya, sampailah saya kepada soalan yang membuat saya rungsing.
Soalan
"Yakin saya, Puan ini tetap muda kerana air wuduk yang tidak pernah sempat batal," kata saya cuba memancing rahsia.
Ibu beranak lima itu hanya tersenyum sopan, dan yakin saya lelaki yang melihat senyumannya itu, adalah lelaki yang paling bertuah di dunia.
"Tidaklah sampai air wuduk itu tidak sempat batal, dan malah kebanyakkan waktu, air wuduk saya batal," kata ibu muda itu pula.
Belum sempat saya memikir lanjut sebab air wuduknya sentiasa batal, terus ibu cantik itu menyambung, "Sekiranya ada waktu yang sempat, jangan pernah gagal bagi menyentuh suami mu. Paling tidak cuit lengannya, itu pun sudah cukup. Sentuhan-sentuhanlah yang menjadikan bahagia itu tetap hangat. Dan lebih utama, suami yang baik, juga pasti mengerti aturan itu."
Ibu cantik itu kemudiannya tersenyum-senyum malu. Mungkin kerana sudah berasa terlanjur menceritakan tips paling rahsia berkenaan kebahagian rumahtangganya. Saya pula, daripada memikirkan berkenaan ibu cantik itu, terus saya terbayangkan lelaki bertuah yang menjadi pasangannya.
"Bertuahnya lelaki itu," kata saya, spontan.
"Sebenarnya, sayalah yang bertuah," jawab ibu cantik itu pula.
Waktu itulah, saya berasa hairan. Mengapa pula ibu cantik itu yang berasa dirinya bertuah? Sedangkan, untuk saya ibu cantik itu, yang sebenarnya mendatangkan tuah lalu saya bertanya, "Lelaki yang bagaimana membuatkan Puan pula yang menjadi bertuah?"
Ibu cantik itu, tersenyum-senyum malu sebelum berkata, "Dia lelaki baik. Untuk perempuan, cukuplah itu yang mereka dapat dalam hidup mereka, iaitu lelaki baik, dan selepas itu, dunia seisinya sudah menjadi miliknya. Jadi, boleh kamu bayangkan betapa bertuahnya saya dengan hanya seorang lelaki saya sudah memperoleh dunia dan seisinya?"
Berdebar-debar dada saya saat mendengarkan jawapan ibu cantik itu. Sehingga begitu sekali? Lalu bertanyalah saya kepada soalan yang membuat saya menjadi rungsing.
"Bagaimana mahu mencari lelaki baik seperti itu?"
Ketika itu jugalah, ibu cantik tadi mula terlihat serius dan akhirnya berkata, "Lelaki yang baik akan sentiasa menjauhi diri kamu."
Saya diam, dan saya langsung tidak nampak di mana logiknya.
"Saya tidak faham. Adakah maksud Puan lelaki baik tidak akan suka kepada saya?" Saya juga mula ikut serius.
"Lelaki yang tidak suka kepada kamu akan menjauhi mu, dan lelaki baik yang menyukaimu, juga akan menjauhi diri mu," jelas ibu muda itu dan membuat saya semakin bingung.
"Adakah Puan ini ahli sufi?" telah saya, kerana untuk persoalan sebegitu, biasanya hanya sufi-sufi yang mampu membuatkan manusia terbingung-bingung.
Ibu cantik itu ketawa kecil dan berkata, "Saya bukanlah ahli sufi, tetapi itulah hakikatnya, dan biarlah saya terangkan sebabnya."
Saya mengatur duduk saya supaya semakin baik, saya diam dan saya sedia mendengarkan kata-kata ibu itu.
"Untuk lelaki yang tidak menyukai kamu, memang jelas dia akan menjauhi kamu atas alasan, dia tidak suka kamu. Manakala untuk lelaki biasa, yang menyukai kamu, dia akan cuba mendekati kamu, dan ini pasti kamu tahu. Cuma lelaki yang benar-benar baik, apabila dia menyukai kamu dia akan menjauhi diri dari kamu dan inilah yang saya mahu ceritakan."
Jauh
"Lelaki yang baik itu, tidak akan menyentuh kamu. Tidak akan sesekali cuba menyentuh kamu. Bukan sahaja tangan halus kamu, bukan juga 'menyentuh' mata bening kamu, tetapi yang lebih utama, dia tidak akan 'menyentuh' hati lembut kamu. Mereka tidak akan menyentuhnya selagi mana mereka tidak bersedia, dan pada ketika dia sudah bersedia, dia akan menikahi kamu dan pada saat itulah, barulah dia berani 'menyentuh' hati kamu. Lalu bagaimana mungkin lelaki baik tidak 'menyentuh' hati kamu sekiranya dia tidak menjauhkan diri daripada kamu? Sedaya upaya dia akan cuba menghindar, kerana dia tahu, pada ketika dia membuka mulutnya bagi berbicara, pada ketika itulah, bicaranya yang baik-baik akan 'menyentuh' hati kamu, dan 'mencengkam' hatinya pula. Terjadi rindu dan kamu pun tahu maknanya rindu kepada bukan mahram itu sangat halus sempadannya, antara rindu baik dan zina hati. Sangat-sangat halus, dan lelaki baik tidak mungkin mahu mengambil risiko itu."
Mendengarkan sahaja penjelasan itu, saya menelan liur. Bagaimana mungkin sehingga begitu sekali? Lalu, bagaimana nasib saya bagi berjodoh dengan lelaki yang baik sekiranya mereka menjauh dari saya?
"Lelaki baik itu, akan mendekatimu dengan niat mahu bernikah. Jadi pada ketika ada lelaki, yang berkata mahu menjadikan kamu isteri, dan pada ketika itu hati kamu terus berasa bahagia tanpa ragu-ragu, ketahuilah itulah lelaki baik, kerana kamu bahagia untuk perkara yang sudah kamu tahu. Bahagia itu bukan datangnya tanpa sedar, pasti sedikit-sedikit kamu tahu juga berkenaan lelaki baik di sekeliling kamu, dan tanpa sedar, kamu ada menaruh hati kepada dia. Lalu pada ketika lelaki yang kamu tanpa sedar suka itu, mengajak kamu nikah, kamu tidak akan ragu-ragu, malah kamu akan bahagia kerana kamu sudah tahu siapa dia," sambung ibu muda cantik itu lagi.
"Jadi, maknanya sebagai perempuan saya tidak punya peluang untuk berusaha bagi memperoleh lelaki baik, dan sekadar mengharapkan mereka tiba-tiba datang?" soal saya dengan hati yang sudah gusar.
"Siapa kata tidak perlu berusaha? Kamu taat pada perintah Tuhan, kamu patuh pada larangan, ibadat kamu tidak pernah berhenti, dan semua itu adalah usaha. Jodoh itukan misteri Tuhan, selain mati dan rezeki. Jadi, usahakan sahaja apa yang termampu, dan itulah antara usaha saya. Selain itu percayakan ibu bapa kamu sekiranya mereka mahu memberi jodoh, percayakan rakan-rakan yang kamu yakin bagus telahan hatinya kerana ibadatnya, bagi mencadangkan jodoh dan mencarikan jodoh. Selain itu berdoa dan terus patuh juga taat kepada Allah. Cuma sahaja, perlu jugalah kamu ingat, patuh dan taat kepada Allah itu, bukan atas urusan mahu jodoh yang baik, tetapi ikhlas mahu memperoleh reda-Nya. Kerana pada ketika kamu diberi jodoh yang sangat bertentangan dengan diri kamu, segeralah bandingkan diri kamu dengan Asiah yang bersuamikan Firaun, dan Nabi Noh yang beristerikan perempuan yang tidak percaya kepada Tuhan. Itulah tujuan kamu taat dan patuh kepada Tuhan, iaitu bagi mengikhlaskan ujian yang diberikan-Nya, kerana mungkin sahaja jodoh kamu dengan lelaki baik tidak di dunia ini, tetapi ditangguh sehingga ke akhirat."
Saya diam, dan saya akui saya rungsing hanya kerana memikirkan, adakah saya cukup kuat untuk semua perkara ini? Ah... lelaki baik apabila bercinta....
- Artikel iluvislam.com
Ciri – Ciri Lelaki Yang Meluatkan
1. Meninggikan Suara
Tahulah mereka dikurniakan suara yang ‘macho’ tapi kalau nak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego, tak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.
2. Mengongkong
Itu tak boleh, ini tak boleh, sikit-sikit nak kontrol. Segala gerak-geri kekasih dikawal, sampaikan nak berpakaian pun harus ditentukan. Kalau nak keluar ke kedai pun kena repot dulu, kalau tidak mulalah tercetusnya pertengkaran kerana hal sekecil itu.
Tetapi, mereka akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti mereka di soal siasat oleh kekasih mereka. Haa macam mana tu?
3. Cemburu Buta
Orang kata cemburu tandanya sayang, tapi kalau cemburu tak tentu pasal dan memanjang saja cemburu, tentu rasa tak selesa juga. Agaknya lelaki yang kuat cemburu ni takut kekasihnya terlepas ke tangan kumbang lain kot. Harus diingat, bukan semua perempuan suka kekasihnya kuat cemburu.
Tapi, ada juga sesetengahnya suka apabila teman lelakinya cemburu kerana seolah-olah teman lelakinya amat menghargai dirinya. Jangan cemburu buta sudahlah, malas jugak nak layan kadang-kadang!
4. Panas Baran
Aduiii… masalah yang boleh menimbulkan fobia terhadap seseorang gadis apabila mendapat kekasih yang panas baran. Pantang silap sikit, mahu dihambur segala kemarahannya. Ada juga kesilapan bermula dari diri sendiri tetapi tetap menyalahkan orang lain.
Setakat kena tengking boleh lagi diterima walaupun sebal satu badan tapi, bagaimana kalau siap sepak terajang? Kalau nak sepak terajang carilah mereka yang sepadan dan janganlah berlawan dengan kaum yang lemah bang! Di mana sifat bertanggungjawab dan kepimpinan yang ada? Cuba-cubalah kawal kerana setiap dari kita ada barannya, cuma kena pandai-pandai mengawallah. Kalau dah tak terkawal sangat, tak payah bercintalah cik abang oiii!!!
5. Kaki Merokok
Ini satu lagi sifat kaum lelaki yang melemaskan wanita. Asyik berasap sana sini, naik lemas dengan bau dan asap rokoknya. Dalam sehari adakalanya habis sekotak rokok. Kalau habiskan duit dengan makan benda berfaedah tak apa juga, ini tidak… asyik menyedut asap yang tidak menyehatkan.
Kalau asap tu membawa kesan pada diri sendiri saja tak apa juga, ini tidak… membawa kesan juga pada orang sebelah menyebelah. Kadang-kadang teman wanita menegur bukannya apa, dia sayangkan kita juga dan tak mahu kita jatuh sakit. Lagipun mereka juga tak nak teman lelaki mereka membazirkan duit dengan merokok.
6. Ego
Ini merupakan masalah paling ketara dan merimaskan kaum wanita. Keegoan dan lelaki memang tak dapat dipisahkan. Tetapi ada kalanya lelaki menjadikan keegoan sebagai alasan untuk mereka bertindak tanpa mempedulikan perasaan si gadis.
Keegoan membuatkan lelaki mempunyai kuasa veto dalam kehidupan mereka termasuklah memimpin kaum wanita. Tidak salah mempamerkan ego tetapi biarlah kena pada tempatnya.
7. Menipu
Masalah yang ketara apabila lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tak munasabah. Sanggup memungkiri janji dan memberikan alasan yang mereka mempunyai masalah yang tak dapat dielakkan padahal sebenarnya mereka enggan melaksanakan janji mereka sendiri.
Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Berterus-teranglah wahai kaum lelaki kerana kaum wanita lebih menghormati mereka yang memiliki sifat berterus-terang ini. Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini lama kelamaan akan membuatkan semua gadis akan menjauhi anda.
8. Main Kayu Tiga
Bab main kayu tiga ni masalah paling besar. Walaupun dah ada kekasih, mereka sukar untuk setia. Apatah lagi kalau digoda, terus disambar tanpa mempedulikan perasaan kekasihnya.
9. Suka ‘Cuci Mata’
Kebanyakan lelaki sukar mengawal mata (mata keranjang). Pantang jumpa perempuan cantik dan seksi mulalah mata tu macam nak terkeluar. Walaupun sedang bersama kekasih, si dia tidak akan peduli. Bagi mereka tidak salah kalau sekadar mencuci mata tetapi hati kekasih kenalah jaga juga cik abang!
10. Perasan Terlebih
Aduhaiii…lelaki ini cepat perasan terutamanya jika mereka ini berkerjaya baik, berpenampilan menarik dan mempunyai wajah yang hensem. Boleh tu mengaku merekalah yang menjadi lelaki idaman para wanita. Tapi, mungkin pada pandangan seorang wanita mereka ini sederhana sahaja tapi mereka ini yang suka perasan lebih.
Bukan semua wanita memandang pada paras rupa, kalau dah terlebih-lebih perasan tuu…ada wanita yang lebih suka mengutuk dari memuji…hahaha sedarlah!
11. Mementingkan Diri Sendiri
Susah juga kalau dapat yang mementingkan diri sendiri ni. Lelaki selalunya tidak mahu mengalah dan ingin menegakkan pendapat sendiri tanpa mempedulikan luahan pasangannya.
Mereka juga suka mendahulukan kemahuan mereka dan jarang hendak mementingkan perasaan kekasih…egolah katakan! Tidak semestinya pendapat kaum wanita ni tak boleh diguna pakai tau.
12. Kurang Memberikan Perhatian
Lelaki kadangkala suka bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian tidak kira dalam apa jua urusan. Tetapi kalau urusan yang berkaitan dengan dirinya sendiri, pantas pula melaksanakannya. Jika berkaitan teman wanita, alamatnya… mereka kurang mengambil perhatian.
Mengapa ya? Kaum wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tetapi cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya kerana sifat semulajadi seseorang wanita itu yang ingin bermanja dan dimanjakan.
13. Mata Duitan
Jangan tak tahu ada juga lelaki mata duitan atau pun gelarannya ‘lelaki spedo’. Mereka tak kisah nak kikis duit kekasih dengan 1001 macam alasan yang adakalanya tidak logik diterima dek akal fikiran.
Kalau kisah perempuan mata duitan kita sudah biasa dengar, tapi kalau lelaki pula yang mata duitan… apa cerita ni?? Takkan masa-masa macam ni keegoan lelaki hilang pulak?!!
14. Terlalu Komited Dengan Kerjaya
Susah kalau dapat teman lelaki yang terlalu komited dengan kerjaya. Mereka ni selalu sangat memberi banyak alasan kerja apabila diajak keluar. Kalau keluar bersama, selalu pula bercerita tentang kerja dan merungut sering dibebani kerja yang menimbun.
Bukanlah tidak boleh lelaki mementingkan kerjaya tetapi pandai-pandailah membahagikan masa bersama teman wanita. Paling tidak pun, seminggu sekali luangkan masa menemaninya dan lupakan segala hal berkaitan kerja. Bukannya kaum wanita ni tidak memahami kalau teman lelakinya pandai membahagikan masa…
15. Pengotor
Ada segelintir lelaki sukar nak menyedari diri mereka ni ada yang pengotor. Terutama bab meludah atau membuang kahak merata-rata. Yarkkk!!! Ada juga yang jarang basuh seluar, pakai baju yang sama berulang kali, tidak memakai deodarant dan macam-macam lagi sampaikan badan sudah berbau semacam pun dia tak sedar.
Tidakkah mereka ini terasa segan apabila menyedari badan sudah berbau?? Entahlah… hanya kaum lelaki yang bersifat pengotor ini saja yang dapat menjawabnya.
16. Gelojoh
Kalau bab makan, lelaki ni agak gelojoh. Macam ‘food machine’. Mereka lemas melihat teman wanita mereka makan terlalu sopan tetapi mereka tidak sedar cara mereka makan yang gelojoh juga melemaskan kaum wanita. Sepatutnya, samada lelaki mahupun wanita patutlah makan dengan bersopan. Buat apa terkejar-kejar?
17. Pentingkan Kawan-kawan Sendiri Saja
Sanggup membatalkan temujanji semata-mata hendak bermain bola sepak ataupun menonton WWF bersama kawan-kawan. Lelaki juga selalu mementingkan kawan-kawan dalam banyak hal.
Sekali-sekala bolahlah, jangan pula selalu saja memberi alasan hinggakan masa bersama teman wanita tiada langsung semata-mata untuk menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Apa guna bercinta kalau macam tu gayanya? Kalau ada masalah pula, kawan-kawan sebagai tempat mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan si dia.
Kalau dah memilih si dia sebagai kekasih, mungkin satu hari si dia juga akan menjadi isteri anda, jadi takkanlah anda selalu hendak merahsiakan sesuatu dari dia. Tak eloklah berbuat demikian, nanti si dia terasa seolah-olah dirinya tidak penting buat anda pula.
Sebenarnya banyak kes pergolakan @ konflik rumahtangga yang terjadi disebabkan oleh perkara ini. Jadi para lelaki semua, terutamanya suami, sila ambil perhatian tentang perkara ini ya.
18. Tidak Tahu Menghargai
Sukar untuk bertemu lelaki yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Mereka seboleh-bolehnya mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap meghargai mereka ini.
Kalau setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan tu, alamatnya mereka akan berpura-pura tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap anda yang menghargainya di atas apa yang cuba dilakukannya terhadap anda seperti memberi hadiah kecil. Setidak-tidaknya ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba berbuat sesuatu untuk anda.
19. Putar Belit
Lelaki ni ramai yang pakar memutar-belitkan kenyataan walaupun ternyata sememangnya merekalah yang bersalah. Bagi mereka, putar belit ini tak mengapa asalkan si dia mempercayai alasan tersebut dan mereka akan terlepas dari kesalahan sendiri.
Sekiranya anda benar-benar menyintai pasangan anda, perkara begini seharusnya tidak berlaku kerana apa akibatnya sekiranya si dia mengetahui juga tipu helah anda suatu hari nanti. Kalau anda tak pandai menyelamatkan keadaan, melepaslah anda! Jujurlah pada pasangan anda.
20. Terlalu Kontrol Macho
Perrghh! Nak dikatakan macho, ada juga yang tak. Hancur je yang lebih kot! Terutama bab sikap, mahu lebih gentleman, berketrampilan dan hensem. Seboleh-bolehnya mereka mahu menampakkan yang diri mereka lelaki sejati dan ada elemen HERO.
Tak perlulah nak merasakan diri anda macho kerana wanita sahaja yang layak membuat penilaian terhadap anda. Sekiranya anda rasa diri anda macho, tetapi pada mata wanita tersebut anda tidaklah semacho yang disangkakan, tak guna juga!
7 TIPS & CARA MENJATUHKAN EGO LELAKI
1.BERSABAR
Untuk menjinakkan ego seorang lelaki perlukan kesabaran yang tinggi kerana lelaki juga sukar diduga. Anda perlu bersiap sedia untuk disakiti, dimalukan, apatah lagi diperbodoh apabila segala usaha anda tidak berhasil dan hanya sia-sia.
2. FAHAMI DIA
Fahami dia dalam erti kata lain ialah anda belajar menjadi stalker. Fahami dia adalah kunci kejayaan anda. Sedangkan dalam berperang, tentera juga perlu memahami strategi musuhnya untuk menang, jadi gunakan taktik yang sama! *Haish…Kuat berimiginasi aku nih…*
3.HORMATI DIA
Pertama sekali ialah belajar menghormati dia. Jika anda berharap si dia menghormati anda, anda perlu hormati dia dulu. Namun berbeza bagi setiap lelaki itu untuk belajar menerima apa yang anda cuba lakukan. Ada sesetengah lelaki akan beranggapan sudah menjadi lumrah alam perempuan tunduk dan patuh padanya. Malahan ada juga yang memahami dengan membalas kembali apa yang diberi. Apapun, menghormati itu adalah kunci kepada langkah yang seterusnya.
4.JANGAN BERTEKAK DENGAN DIA
Berhenti daripada mewujudkan suasana tegang antara anda. Jikalau anda rasakan dia tidak boleh menerima pendapat anda semata-mata untuk dia merasakan maruahnya tidak tercalar, biarkan saja. Biar dia saja yang rasa betul. Akhirnya nanti, dia akan dimalukan oleh perangai egonya sendiri sehingga tercalar egonya. Siapa tahu, mungkin dia akan sedar dan belajar merendahkan egonya. Apa yang penting, jangan sentiasa berharap untuk menang dalam setiap perbalahan dengan lelaki. Kerana ada hanya akan meninggikan egonya.
5. HARGAI DIA
Tahukah anda, kita di Malaysia ini terlalu disogokkan dengan cerita-cerita cinta yang terlalu kompleks sehinggakan terikut-ikut dengan cerita tersebut. Anda tak perlu bersusah payah terkejar-kejarkan si dia. Apa yang anda perlu ialah hargai dia. Jadikan tiap-tiap hari adalah hari untuk menghargai dia bukan hanya satu hari saja seperti yang dilakukan mereka yang menyambut Valentine’s. Ucapkan terima kasih sudah memadai. Penghargaan ibarat racun yang meracun diri secara halus tetapi amat berkesan!
6.SAYANGI DIA
Cuba renungkan kembali kenapa anda ingin jatuhkan ego si dia.. Adakah kerana cinta? Atau adakah kerana anda telah tercinta si dia? Tanpa anda sedar, sebenarnya anda telah sayang pada dia. Ada sebabnya kenapa ego si dia diciptakan mempunyai ego, kerana si dia telah mewarnakan hidup anda. Jadi, anda mempunyai dua pilihan, jika anda ingin menjatuhkan ego dia semata-mata anda benci dia, baik anda menjauhkan diri anda daripada dia, kerana kelak apabila si dia sudah tiada, pasti anda akan teringat pada dia. Atau anda teruskan menyayangi si dia dengan menunjukkan kasih dan sayang anda pada si dia. Biarkan si dia tidak mengerti, lama kelamaan pasti si dia juga akan mula sayangkan anda. This is law of attraction! Apabila satu hati mencintai yang lain, satu lain tidak mencintai sebagaimana dia dicintai.
7. JANGAN MEMALUKAN DIA
Kalau anda benar-benar menjatuhkan ego dia, malukanlah dia dihadapan orang ramai. Ya, kemungkinan besar dia akan berlalu pergi daripada tempat itu malahan mungkin juga akan menangis. Mungkin itu yang anda ingin lihat sebagai seorang perempuan. Ops…Bukan perempuan, perempuan murahan. Kerana apabila anda menjatuhkan ego si dia apatah lagi menjatuhkan maruah dia di khalayak ramai, anda juga telah memalukan diri anda sendiri. Tetapi ingat, hidup anda tidak akan aman lagi kerana dibayangi oleh si dia yang pada bila-bila masa akan membalas kembali apa yang anda lakukan. Mungkin si dia akan kembali untuk meragut nyawa anda, atau mungkin orang yang anda sayangi. Siapa tahu, ego lelaki mampu bertindak lebih daripada segalanya!
Sebab Lelaki Tidak Tertarik Pada Diri Anda
1) Kurang keyakinan diri
Lelaki adalah kaum yang lebih pemalu dari perempuan. Mereka mungkin hebat dalam beberapa perkara, namun sifat pemalu adalah tinggi dalam beberapa perkara. Jika anda kurang keyakinan diri dan kurang bergaul dengan dia, dia tidak tahu anda berminat pada dia. Di sebabkan malu juga, dia tidak akan menegur anda jika anda bersikap tidak mesra kerana dia takut anda tidak akan layan dia semasa dia menegur anda.
2) Anda tidak cool
Cepat marah, melenting dan selalu merungut akan menyebabkan lelaki takut untuk menghampiri anda. Lelaki paling takut jika berhadapan dengan wanita yang penuh dengan sikap di atas. Anda perlu tenangkan diri dan sentiasa bersikap matang apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Melalui kematangan yang anda tunjuk, lelaki akan lebih mudah untuk jatuh cinta pada anda.
3) Penampilan diri yang tidak menarik
Lelaki selalunya akan jatuh cinta pada wanita yang jaga penampilan dirinya. Menjadi satu kebanggaan bagi lelaki apabila dia berjaya berdamping dengan seorang wanita yang tampil dengan penampilan yang menarik. Anda perlu jadi seorang wanita yang ceria dan sentiasa jaga pemakaian anda supaya sentiasa menarik.
Lelaki Nakal Lebih Diminati
Antara 5 sebab lelaki nakal lebih diminati:
1. Lelaki Nakal Lebih Yakin
Keyakinan yang terdapat pada diri mereka membuatkan perempuan tertarik. Mereka tidak kisah dengan pandangan orang lain terhadap mereka. Mereka pandai mengurat dan tidak takut untuk mendekati perempuan. Tidak seperti lelaki baik, mereka akan teragak-agak untuk mendekati perempuan.
2. Lelaki Nakal Lebih Tahu Berkomunikasi
Mereka sentiasa dapat membuat perempuan gelak ketawa dan tidak bosan berbual bersama mereka. Mereka selalu bualkan perkara yang lain dari yang lain bukan seperti pelajaran, politik dan perkara lain yang orang sudah tahu dan agak membosankan. Mereka ada sahaja perkara menarik yang ingin dikongsikan bersama orang lain.
3. Lelaki Nakal Lebih Suka Cabaran
Semua orang sukakan cabaran dan cabaran mempunyai pelbagai jenis. Lelaki nakal lebih sukakan cabaran yang dapat menunjukkan kehebatan mereka seperti seorang hero atau pahlawan. Perempuan memang sukakan seorang lelaki yang mempunyai sifat hero atau pahlawan ini kerana mereka berpendapat bahawa lelaki seperti ini dapat melindungi mereka yang bersifat lemah.
4. Lelaki Nakal Lebih Romantik
Lelaki nakal ini selalunya mereka mesti pandai bermain alat muzik. Mereka dapat mencairkan hati perempuan dengan permainan jari jemari mereka itu. Mereka juga pandai berkata-kata sehinggakan perempuan tidak keruan mendengarkannya.
5. Lelaki Nakal Lebih Pandai Bergaya
Kebersihan dan penampilan seseorang adalah amat penting bagi mata perempuan. Lelaki nakal lebih pandai bergaya kerana mereka mahu di lihat seperti hebat dan segak. Sudah tentu perempuan akan tertarik dengan penampilan lelaki tersebut.
Bagaimana seorang lelaki menguji seorang perempuan?
Sering menjadi persoalan kebanyakan kaum lelaki. Untuk mengetahui sejauh mana tahap materialistik anda, mereka akan menguji dengan cara ini:
Memberi hadiah murah
Reaksi kamu: Sering bertanyakan soal harga, jenama, di mana membelinya dan tidak mahu sesekali menyimpan barang tersebut. Kamu gagal.
Reaksi kamu: Gembira dengan pemberian yang amat bermakna dan terus memakainya. Kamu lulus.
Mengajak menikmati hidangan yang murah
Reaksi kamu: Menolak ajakannya, tidak mahu menikmati hidangan yang disediakan dan menunjukkan rasa marah. Anda gagal.
Reaksi kamu: Tidak keberatan menunaikan permintaannya dan menikmati hidangan dengan penuh selera. Anda lulus.
2. Perkara yang melemahkan perasaan wanita apabila diuji tahap cemburu
Sesetengah golongan lelaki sentiasa ingin mengetahui sejauh mana perasaan cemburu kekasihnya. Sama ada berat mahupun tidak, dia akan menguji dengan cara ini:
Mengenalkan kepada kamu bekas teman wanitanya
Reaksi kamu: Mula mempamerkan wajah yang muram dan sering menanyakan tentang hal berkaitan keperibadian perempuan itu sebaik sahaja diperkenalkan. Anda gagal.
Reaksi kamu: Sentiasa menghulurkan senyuman bahkan memuji perempuan itu di hadapannya. Anda lulus.
Menelefon wanita lain di hadapan kamu
Reaksi kamu: Marah dan mengatakan bahawa kamu tidak suka dia menelefon perempuan lain. Anda gagal.
Reaksi kamu: Bersikap tenang seolah-olah hal itu bukan suatu masalah yang besar. Anda lulus.
3. Hubungan bekas teman lelaki
Rasa ingin tahu sejauh mana hubungan kamu dengan bekas teman lelaki adalah cara dia mengetahui sejauh mana cinta kamu terhadapnya. Ia akan menguji dengan cara ini:
Bertanyakan khabar bekas teman lelaki
Reaksi kamu: “Oh, dia semakin sihat, kami baru saja berjumpa pada minggu lepas”. Anda gagal.
Reaksi kamu: “Kenapa saya perlu mengetahui tentang khabar si dia, sedangkan hati saya telah dimiliki”. Anda lulus.
Adakah kamu masih menjalinkan hubungan dengannya?
Reaksi kamu: Marah sambil mengutuk keburukan bekas kekasih. Anda gagal.
Reaksi kamu: “Kami masih berkawan, tetapi tidak serapat seperti dahulu”. Anda lulus.
4. Mengukur tahap kesetiaan
Demi menginginkan kejujuran dan kesetiaan daripada insan yang paling disayangi, si dia akan menguji kesetiaan kamu dengan cara berikut:
Pergi melancong
Reaksi kamu: Tidak pernah menghubungi si dia atau tidak pernah bertanyakan tentang dirinya dan lebih memberi keutamaan kepada teman-teman lain. Anda gagal.
Reaksi kamu: Menghubungi si dia setiap masa dan saling mengotakan janji. Anda lulus.
Meminta bantuan temannya untuk menggoda kamu
Reaksi kamu: Menerima pujukan temannya dan keluar makan bersama. Anda gagal.
Reaksi kamu: Menolak godaan temannya dan mengatakan kamu tidak tertarik dengan pujuk rayu itu. Anda lulus.
Tanda-Tanda Lelaki Tidak Bersedia Untuk Berkahwin
1. Terus ‘tutup mulut’ apabila anda bertanya kepadanya mengenai kesediaannya untuk berumahtangga.
2. Tidak pernah ada niat untuk menemui orang tua anda walaupun anda sudah berusaha untuk mempertemukan dengan orang tua anda.
3. Tidak pernah memegang janji. Melupakan dan membatalkan janji dengan anda bukan perkara yang menganggu fikirannya.
4. Tidak pernah benar-benar memerlukan orang lain. Mungkin dia banyak teman atau sanak saudara, tapi tidak ada yang benar-benar akrab dan dekat dengannya. Jadi, dia memang tidak mengerti makna ‘ikatan’
5. Jarang memperkenalkan anda kepada kenalannya.
6. Mudah bercinta dengan wanita lain.
7. Tidak pernah membincangkan masalah peribadinya dengan anda. Juga tidak mengizinkan anda untuk mengetahui masalah peribadinya dengan anda.
8. Terlalu menganggap bahawa segala-galanya mesti sempurna.
9. Berulangkali dia menceritakan mengenai keburukan-keburukan dirinya kepada anda.