Friday, December 10, 2010

Harapan & penerimaan

jika kamu memancing ikan
setelah ikan itu terlekat di mata kail
hendaklah kamu mengambil ikan
jangan sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja
kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu
& mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup
begitu juga...

setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang
setelah ia mula menyayangimu
hendaklah kamu menjaga hatinya
jangan sesekali kamu meninggalkannya begitu sahaja
kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu
& mungkin tidak dapat melupakanmu segalanya
selagi dia mengingatimu...

jika kamu menadah air,biarlah berpada
jika terlalu mengharap pada takungan nya &
janganlah menganggap ia begitu teguh
cukuplah sekadar keperluan
apabila sekali ia retak
tentu sukar untuk kamu menampal semula
akhirnya ia di buang..
sedangkan jika kamu cuba memperbaiki mungkin ia masih dpt digunakan lagi..

begitu juga jika kamu memiliki seseorang
terimalah seadanya
janganlah kamu terlalu mengaguminya & jgn lah kamu menganggapnya begitu istimewa
anggaplah dia manusia biasa
apabila sekali dia melakukan kesilapan
bukan mudah untuk kamu terimanya
akhirnya kamu kecewa & meninggalkannya
sedangkan jika kamu memaafkan
boleh jadi hubungan kamu akan terus
hingga ke akhirnya..

jika kamu telah memiliki sepinggan nasi
yang kamu pasti baik untuk dirimu
mengenyangkan...berkhasiat..
mengapa kamu berlengah cuba untuk mencari makan lain..
terlalu ingin mengejar kelazatan
kelak nasi itu akan basi & kamu tidak boleh makan..
kamu akan menyesal.

begitu jiga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan.
yang pasti membawa kebaikan kepada dirimu..
menyayangimu..
mengasihimu..
mengapa kamu berlengah
cuba membandingkan dengan lain.
terlalu mengejar kesempurnaan
kelak kamu akan kehilangannya
apabila..
dia menjadi milik orang lain..
mengapa kamu berlengah cuba untuk mencari makanan lain..
terlalu ingin mengejar kelazatan...
kelak,nasi itu akan basi &

Isteri Luar Biasa


Berkahwin dan memiliki sebuah keluarga sentiasa menjadi keinginan seorang wanita.

Jika ditanya pula pada seorang wanita yang baru mendirikan rumahtangga, kebanyakannya ingin menjadi isteri yang baik kepada suami dan ibu yang baik kepada anak-anaknya.

Antara lain harapan yang diletakkan ialah ingin mengekalkan kebahagiaan hingga ke anak cucu, malah ada yang ingin kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.

Sekalipun matlamat dan harapan cukup jelas, ramai yang gagal meramal atau menjangka laluannya tidak semudah yang disangka.

Alasannya cukup mudah, jika yang diinginkan ialah kebahagiaan, sudah tentu yang diuji adalah ketahanan dan pengorbanan setiap individu yang inginkan kebahagiaan tersebut.

Bahagia tidak datang secara percuma, juga bahagia bukan sesuatu yang boleh diperturunkan oleh sesiapa kepada sesiapa.

Kebahagiaan perlu diusahakan.

Laluannya perlu difahami, teknik dan strategi perlu dipelajari, rintangan dan halangan perlu dijangka lebih awal, persediaan mental, fizikal dan kejiwaan perlu sentiasa dibina dan ditingkat, kemahiran asas dan tambahan perlu dipelajari, petua dari yang orang yang berjaya dan berpengalaman perlu sentiasa dituntut dan yang penting sekali perhubungan dengan Yang Maha Berkuasa perlu sentiasa dihidupkan.

Bagi seorang wanita yang ingin menjadi isteri yang solehah, mereka perlu jelas dengan apa yang dinyatakan tadi.

Isteri solehah di sisi Allah selayaknya diberi ganjaran syurga. Sementara syurga itu adalah tempat orang yang juga mendapat tempat disisi Allah.

Orang yang mendapat tempat disisi Allah pula bukanlah orang yang sembarangan, bukan orang yang kalah bila diuji, yang melatah bila ditimpa kesusahan dan putus asa bila diuji dengan kesabaran.

Isteri yang solehah boleh dikatakan sebagai isteri yang luar biasa pada masakini.

Pada masa ini terdapat lebih ramai isteri yang biasa-biasa saja dari segi ketaatan dan kepatuhan kepada suami juga biasa-biasa sahaja dari segi ketahanan jiwa dan mentalnya dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Sesuai dengan apa yang diceritakan oleh Nabi dalam Isra' baginda dimana kebanyakan dari penghuni neraka adalah wanita, termasuklah wanita yang derhaka kepada Allah dan suaminya.

Jika sudah itu kenyataannya sudah tentu di dunia kini kita dapat melihat banyak wanita yang bergelar isteri mempunyai ciri-ciri ahli neraka. Juga pada masa yang sama jika terdapat golongan wanita yang mempunyai ciri-ciri ahli syurga sudah tentu sedikit bilangannya.

Maka dari kiraan statistiknya kumpulan yang terkeluar dari populasi yang ramai atau yang biasa dinamakan sebagai kumpulan yang luar biasa.

Dalam konteks sebuah perkahwinan, kedudukan wanita atau isteri di sisi suaminya adalah sebagai pembantu atau suri dalam kehidupan. Jika suami ibarat raja yang boleh bertitah dan mengeluarkan perintah, isteri pula umpama menteri yang menerima segala arahan dan wajib mentaati serta merealisasikan perintah tersebut.

Dalam ertikata yang lain, isteri bertanggungjawab mentaati perintah suami.

Dalam Al-Quran jelas menyatakan perkara tersebut dimana isteri wajib mentaati suami selagimana perintah suami tidak bercanggah dengan perintah Allah Taala.

Isteri yang luarbiasa perlu lulus segala ujian. Ujian seorang isteri terletak dibawah kemampuannya mentaati perintah Allah dan juga perintah suaminya. Isteri yang ingin lulus dengan jayanya perlu mengetahui beberapa perkara yang menjadi kunci atau asas kejayaan.

01.Pertama, isteri perlu meletakkan Allah sebagai pusat ketaatan yang tertinggi dan utama atas segala-galanya.

Sementara suami wajib ditaati selagi apa yang diperintah tidak menyalahi atau membelakangi ketaatan isteri kepada Allah.

Dalam ertikata lain, isteri perlu tahu dan faham bahawa ketaatan beliau kepada suami adalah kerana Allah memerintahkan beliau untuk berbuat demikian, bukan kerana suami yang mengkehendaki sedemikian.

Adalah penting untuk isteri memahami perkara ini kerana kebanyakan isteri yang 'biasa-biasa' mudah merasa putus asa untuk terus mentaati apa yang dikehendaki oleh suami terutama apabila keinginan suami bercanggah dengan keinginan sendiri atau suami tidak membalas ketaatan dan kebaikan yang isteri lakukan.

Isteri yang luarbiasa mempunyai matlamat yang juga luarbiasa atau yang tidak dapat dilihat oleh isteri yang 'biasa-biasa'.

Jika isteri yang 'biasa-biasa' melihat hubungan antara suami dan isteri sebagai interaksi antara pasangan bercinta, isteri yang luarbiasa melihat hubungan tersebut dan interaksi antaranya sebagai ibadah kepada Allah Taala.

Maka tidak kiralah samada suami membalas atau tidak kebaikan yang dilakukan, isteri sebegini tidak akan berhenti dari terus melaksanakan kewajiban yang ditetapkan oleh Allah Taala.

02.Kedua, isteri perlu sentiasa menjana kekuatan mental dan spiritualnya.

Tanggungjawab seharian seorang isteri sangat mencabar kekuatan jiwa. Apatah lagi jika isteri tersebut bekerjaya. Tuntutan tanggungjawab yang berterusan mudah menekan perasaan naluri isteri yang secara fitrahnya sememangnya lembut dan halus.

Lebih mencabar lagi jika isteri tersebut mempunyai suami yang kurang sensitif atau kurang bertimbangrasa dalam hal-hal berhubung tanggungjawab di rumah.

Walau apapun keadaannya, apa yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada seorang isteri akan kekal sebagai tanggungjawab yang bakal disoal di akhirat kelak.

Dalam ertikata yang lain, sekalipun isteri tersebut bekerja, tidak sekali-kali dia terkecuali atau dikurangkan dari tanggungjawab asasnya terhadap rumahtangganya.

Dalam keadaan ini jika tekanan tidak dapat dikurangkan seorang isteri yang luarbiasa akan sentiasa meningkatkan kekuatan mental dan spiritualnya melalui hubungannya dengan Allah Taala.

Semakin kuat tekanan, semakin rapat hubungannya dengan Allah. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasullullah s.a.w;

"Barangsiapa menjadikan semua kebimbangannya kepada satu kebimbangan (akhirat) Allah akan melenyapkan semua kebimbangan keduniaannya, dan barangsiapa yang membimbangkan tentang hal-hal keduniaan, Allah akan membiarkannya tenggelam dalam kebimbangannya"

Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman yang kira-kira bermaksud:

"Wahai anak Adam! Luangkanlah masa kamu untuk beribadah kepadaKu dan Aku pastinya akan memenuhi dadamu dengan kekayaan dan kesenangan (iaitu merasa puashati dan bebas dari kesusahan) dan membebaskan kamu daripada bergantung (pada orang lain untuk keperluanmu) tetapi sekiranya kamu tidak melakukannya maka Aku akan memenuhi dadamu dengan perasaan gelisah dan rasa bersalah dan tidak akan membebaskanmu daripada bantuanmu (dan keperluan)."

Dengan kata lain, semakin bertambahnya kekayaan, kamu akan bertambah bakhil dan kamu akan sentiasa dalam kebuntuan.

Isteri yang luar biasa menjadikan Allah sebagai tempat mengadu, tempat bergantung dan memohon kekuatan.

Dalam keadaan bebanan tanggungjawab yang semakin bertambah; melayan dan memenuhi keperluan suami, mendidik dan mengasuh anak-anak, mengurus kerja-kerja rumahtangga yang tidak pernah berkesudahan, kemudian di tambah lagi dengan tuntutan tanggungjawab kerjaya sudah tentu kudrat manusia biasa tidak termampu untuk menanggungnya sendirian, apatah lagi oleh wanita yang berjiwa halus dan berfizikal lembut.

Dalam keadaan ini hanya Allah sahaja yang mampu memberi kekuatan, tempat mengadu yang menyediakan pemahaman yang amat mendalam dan tempat menggantung doa serta harapan yang tidak pernah mengecewakan.

Isteri luarbiasa mempunyai pertalian yang luarbiasa dengan Penciptanya.

03.Ketiga, isteri luarbiasa jiwanya penuh dengan kasih sayang.

Kasih sayang tersebut sentiasa mendorongnya untuk memberi berbanding menerima, memahami berbanding menuntut orang lain memahaminya, mengutamakan berbanding diutamakan, berkorban berbanding mengharap orang lain berkorban untuknya.

Isteri sebegini sedar dimana beliau dapat menyalurkan kedukaan dan keluhan agar tidak sampai nampak pada pandangan suami apatah lagi menyusahkan suami.

Bagi seorang isteri yang luarbiasa akhlaknya, tanggungjawabnya lebih utama dari hak yang perlu dituntut. Tanggungjawab akan dikira di depan Allah berbanding dengan hak.

Isteri solehah lebih gusar jika tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak dipenuhi olehnya berbanding dengan hak yang perlu diterima.

Isteri solehah lebih gusar jika kemuraman dan kemasaman wajahnya menyusahkan suami berbanding menuntut suami melayani perasaan dan kekecewaannya. Dalam ertikata yang lain, isteri yang luarbiasa juga mempunyai ketahanan mental dan emosi yang cukup tinggi.

Bagi setiap wanita yang bergelar isteri, yang bercita-cita untuk menjadi isteri yang solehah, sebaiknya mengukur kemampuan dan kesanggupan diri sendiri untuk memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan tadi.

Jika belum mampu, pertingkatkan usaha. Menjadi seorang isteri merupakan anugerah yang cukup tinggi bagi seorang wanita. Memiliki suami umpama memiliki jambatan bonus untuk meniti ke syurga. Namun tanpa ketaatan terhadap suami umpama tidak menghargai peluang yang ada.

Mengenepikan suami atau menderhakai suami pula, umpama merobohkan jambatan tersebut dan memilih untuk berenang ke syurga. Arahnya sama, namun sayang kemudahan tiada. Isteri yang luarbiasa sahaja yang berjaya tiba ke syurga yang dijanjikan Allah padanya.

Syurga pula ganjaran tertinggi bagi hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Apa yang perlu diingat selalu, sesuatu yang bernilai tinggi tidak diberi secara percuma juga tidak murah harga dan nilainya.

Jangan Salahkan Cinta

Hati manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.

Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-'e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.

Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.

Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.

Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syari-'at aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.

"Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah..." rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.

Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.


Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.

Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama.

Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain. Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.

SEBELUM KAHWIN

Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.

Allah Taala berfirman, bermaksud: "...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)" (Surah An-Nur, 24:26)

Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.

Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;

Allah Taala berfirman, bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan..." (Surah An-Nisaa', 4:34)

Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.

Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.

Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.

Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.

Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.

Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.

Sanggupkah kalian bercinta?

Tidak Ku Pinta Mahar Yang Tinggi

Sayup-sayup kedengaran di luar sana. Kalau mahasiswa di Malaysia sibuk dengan pelbagai aktiviti. Ada yang sibuk bercuti dengan sahabat-sahabat, ada yang menziarahi sanak saudara, tidak kurang ada yang berprogram bersama kawan-kawan. Bercuti serata dunia.

Bagi yang ada kesedaran, ada yang mengikuti program "short sem" di pondok-pondok bertiangkan kayu jati bagi memperkukuhkan ilmu agama. Tidak rasa rugi dengan sedikit bayaran yang di kenakan. Sememangnya pondok-pondok di Malaysia sekarang sudah banyak upgrade dari segi sistemnya. Mereka mengetahui mahasiswa-mahasiswa perlukan mereka di kala cuti semester berlangsung.


Manakala bagi pelajar timur tengah mungkin sebahagiannya masih dalam peperangan exam yang belum selesai. Semoga Allah permudahkan semuanya.

Bujang Senang dan Bujang Belum Terlajak

Di hujung tahun sebegini sememangnya para 'bujang senang' mahupun 'bujang belum terlajak' mengambil kesempatan untuk mengadakan hari yang mungkin paling bahagia dalam sejarah hidup iaitu perkahwinan.

Mudah-mudahan dengan harapan sanak saudara dapat menjadi saksi akan pernikahan mereka disamping mengeratkan silaturrahim. Maklum lah masing-masing sibuk, menjadikan sanak saudara jarang bertemu. Setidak-tidaknya setahun sekali di kala hari raya. Itu pun seandainya ada cuti.

Walau bagaimanapun tidak ketinggalan masih ada yang tidak berkesempatan untuk meraikan hari bahagia tersebut dek kerana ketidakcukupan dana yang terkumpul untuk merealisasikannya. Mahu tidaknya sekarang semua barang naik. Kenapa barang naik? Saya tidak mahu jawab. Masing-masing tahu sebabnya. Masih belum terlambat untuk menurunkannya pada masa akan datang.

Kini mahar atau belanja perkahwinan menjadi bualan.

"Anak mak cik Limah tu SPM je, RM10k."

"Anak pak seman pulak RM1k je, murah kan. Tak patut betul ustaz tu."

"Anak saya kawin RM7k, tu pun dekat sepuluh kali minta diskaun."

Macam-macam orang cakap. Macam mahu jual barang. Hukum adat dan sifat berlumba-lumba di kalangan masyarakat hari ini semakin menjadi-jadi. Masing-masing ingin mengumumkan dan mengisytiharkan.

Anak Aku Paling Mahal

"Anak aku la paling "mahal" setakat ni dalam kampung kita, " dengan penuh bongkak dan takabur berbicara, tanpa menyedari hakikat mahar yang disyariatkan.

Masyarakat menjadikan Islam itu semakin sukar untuk diamalkan. Menyukarkan untuk melaksanakan tuntutan Islam sekali gus membuka pintu maksiat yang dilakukan oleh pasangan kerana sukar untuk berkahwin. Inilah barah yang kian melanda dewasa ini.

"Mak tak payah la letak mahal-mahal sangat, dia bukan keje tetap lagi," kata Lina.

"Hang gila ka apa? Aku bagi hang belajaq sampai MA, hang nak bagi kat dia RM2k jer. Baik hang cari orang lain yang lebih kaya kalau macam tu," balas Mak Andak pada Lina.

Anak hanya menunduk diam. Tidak berani membantah cakap ibu. Dikhuatiri akan terderhaka.

Kadang-kadang si anak memahami apa yang dikehendaki dengan perkahwianan, namun niat terhenti atas keinginan ibu bapa.

Macam-macam tanggapan masyarakat tentang belanja, mas kawin mahupun mahar. Terkadang seperti menjual anak pula. Kita lupa akan hakikat diri seorang insan yang bergelar wanita. Yang mana nilainya tidak ternilai dengan RM10k, RM100k dan sebagainya.

Martabat Wanita Di Sisi Agama

Sesungguhnya nilai seorang wanita itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Islam meletakkan martabat seorang wanita itu terlalu tinggi. Tidak dapat dibeli dengan segala jenis harta. Mahar yang diberikan hanyalah sebagai penghargaan dan kehormatan dari pihak lelaki kapada wanita tersebut kerana sudi menjadi teman hidupnya, berjanji berkongsi suka duka bersama hingga ke akhir hayat.

Mazhab Syafie dan sebahagian ulama tidak menetapkan kadar yang terendah dalam meletakkan nilai mahar. Selagi mana mempunyai nilai ia diterima sebagai mahar.

Kita kembali kepada sejarah yang mana Rasul s.a.w bertanya kepada sahabat yang ingin berkahwin berapakah mahar yang mampu diberikan kepada pihak perempuan. Kerana apa, kerana ia mengikut kemampuan si lelaki. Seandainya ditanya kepada pihak perempuan, sudah pasti ia akan menyukarkan pihak lelaki.

Suami Akan Lakukan Yang Terbaik

Kepada kaum muslimah tidak perlulah risau, kerana bakal suami anda akan memberikan yang terbaik untuk anda.

Pemberian yang lahir dengan penuh keikhlasan dalam hati lelakilah sebenarnya membawa keberkatan dan kebahagian dalam sesebuah keluarga.

Bilamana lelaki memberikan mahar yang diminta oleh pihak perempuan dalam keadaan tertekan, penuh bebanan dan sebagainya, inilah yang akan membawa kemudaratan di masa hadapan, nauzubillah min zalik.

Mungkin dengan mahar yang tinggi itu, si lelaki akan mengungkit itu dan ini di masa hadapan.

"Aku bayar sampai RM11k, ingtkan serba boleh. Goreng ikan pun tak masak betul, lipat baju pun tak pandai., masak kari pun masin dan bla bla bla...."

Pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.

Pesan Rasulullah s.a.w.

Kita lupa akan pesan Nabi s.a.w yang mana nabi menyebut,

"Pernikahan yang paling berkat adalah yang paling mudah perbelanjaannya."

"Sesungguhnya semulia-mulia perempuan itu ialah yang paling mudah urusan maharnya."

"Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah."

"Berilah mahar sekalipun sebentuk cincin daripada besi."

Ini menunjukkan Islam tidak mahu menyusahkan umatnya dalam melaksanakan syariat kerana dengan itu akan timbul pelbagai masalah yang lain.

Sedarlah kita bahawa kita perlu mengubah kembali persepsi masyarakat yang mengatakan, lagi tinggi harga mahar lagi tinggi darjat seseorang wanita. Ini salah sama sekali.

Saya masih ada seorang kakak yang belum berkahwin dan insyaAllah akan melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan. Sempat saya berpesan kepada mak sebelum kakak bertunang.

"Kakak nanti, mak jangan letak mahal-mahal. Ikut pihak lelaki tu nak bagi berapa. Kita bukan nak jual anak. Kalau mahal-mahal pun menyusahkan pihak lelaki je nanti, lagi masalah."

Pelbagai alasan dan sebab serta hikmah tentang perkahwinan sempat diceritakan kepada mak saya.

Alhamdulillah sekurang-kurangnya saya telah melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Selebihnya terpulang kepada mereka untuk melaksanakannya.

Semoga hubungan kakak saya dengan bakal suaminya berkekalan selamanya dan mendapat reda dari Allah. Amin.

Mari Aku Khabarkan Tentang Cinta


Aku khabarkan tentang cinta kepada kalian dan juga untuk tatapan diriku. Cinta yang memang tidak pernah putus-putus. Lantas kebahagian, cinta diraih lalu impian disulam bersemadi. Tidak akan terputus dari susunan kata yang terungkap indah lalu diikat rapi dengan terbuktinya melalui perlakuan sang pencinta itu sendiri.

Keunikan Cinta.

Dengan cinta, suka boleh menjadi duka. Cinta juga, cuka boleh menjadi madu yang manis. Dengan cinta, impian bersama cuba digapai. Keburukan ternyata dilihat menjadi amat menawan. Segala yang terungkap pada setiap kata-kata yang manis. Lalu kita membicarakan tentang cinta. Di sini, didefinisikan makna cinta dan dikatakan setiap helaian kamus anda akan menjumpai makna disebaliknya. Setiap jarak dari jasadmu kau akan jumpa pengertiannya. Bila kita berbicara tentang cinta seolah-olah kita arif bagai kita yang mencipta segala cinta yang tercipta. Diungkapkan madah-madah cinta seperti kita sang pujangga yang hebat?

Apakah cinta itu pada hubungan Adam dan Hawa dan kisah-kisah manusia lantas hangat dibicarakan dengan dengan penuh kasih kononnya disaluti bait-bait ilmunya. Aku tidak mampu menjelaskan apa itu cinta tapi aku cuba fahami melalui jelas sifatnya cinta itu sendiri. Analogi cinta sebagaimana Iman, tersembunyi dalam hati terbuktinya pada setiap tindakan dan kata. Pada setiap langkah yang dipacakkan dan nafas yang dihembus. Iman yang dipahatkan bersulamkan takwa dan hati seorang hamba.

Cinta Dipahat pada Jalur Pengorbanan.

Sifatnya terukir pada sebuah pengorbanan. Pengorbanan yang dilihat tidak ada jelas bezanya untuk sesiapa pun. Jadi cinta itu sebuah pengorbanan lalu Juliet dan Romeo terkorban. Majnun menjadi tidak waras dan gila kerana Laila. Cinta si ibu kepada anaknya tidak terhingga untuk membesarkan anaknya dan seorang ayah sanggup berhujan berpanas memberi kehidupan yang selesa kepada sebuah keluarga.

Pada cinta itu wujudnya sebuah kenikmatan yang agung. Kenikmatan Yusuf a.s. memilih kehidupan di penjara kerana dilihatnya nikmat sebenar di sana. Dan kerana cinta Rasul diutuskan dan diwahyukan setiap kata-katanya daripadanya diambil untuk panduan dan bekalan kita semua. Oleh sebab nikmat jugalah pejuang teragung Muhammad s.a.w. tidak pernah berhenti berjuang.

Bicarakan tentang Cinta.

Maka ada bezanya antara cinta sang jejaka dan Syed Qutb. Aku cuba jelaskan bezanya di sini. Apabila kau baca lihat makna cinta, lantas kau lontarkan hanya ada kepada seorang manusia. Dan aku jarang mendengar tentang cinta teragung yang pernah dunia dan isinya melihatnya .Cinta yang dahsyat dipamerkan sebagai bukit kecintaan hakiki kepada Penciptanya yang Agung.

Aku punya pendapat dan pandangan sendiri. Bagiku cinta itu bezanya pada dasarnya. Pada apa yang kita cuba usaha untuk pegangi. Sebagai contoh Cinta Romeo dan Juliet dipegang pada dasar manusiawi. Maka matinya Romeo, matilah Juliet. Begitu juga cinta Majnun dan Laila, ditolaknya Laila cinta si Majnun, gilalah Majnun.

Dilihat pada situasi yang lain di mana cinta itu dihamparkan. Pada segenap keindahan noktah Penciptanya. Pada Dia Pemilik dan Pencipta cinta. Pada Dia yang menganugerahkan setiap rasa dan pada naluri. Maka Syed Qutb berdiri berani berhadapan ke tali gantung kepada Tuhannya. Dan kerana cinta itu pada kuncinya adalah satu, hanya kepada Allah. Yang tidak terjangkau oleh masa. Dia ingin berikan hadiah yang paling terbaik kepada Kekasihnya. Hatta, nyawa, jasad, hartanya, kekuatannya dan segala apa yang dimiliki olehnya adalah pinjaman daripada Pencipta. Kekasihnya yang hakiki dan cinta abadi. Letakkan cinta pada tempat yang seadil-adilnya.

Kembali aku kepada nilai kehidupan yang kujalani, lantas aku bertanya adakah semuanya kulakukan bagai seperti apa aku katakan? Adakah selama ini benar kuletakkan cinta yang agung pada Tuhanku dan Nabiku?

Aku juga tidak membantah apatah lagi menentang kecintaan kalian pada manusia kerana aku juga punya cinta itu pada hatiku. Akan tetapi aku mahu aku dan kalian juga meletakkan cinta pada tempat yang benar dan hak. Itulah yang selayaknya kerana aku tahu cinta yang wujud dalam diri adalah daripada cinta Penciptanya jua. Cinta yang kekal selama-lamanya adalah cinta dari Dia. Dia Maha Penyayang dan lagi Maha Mengasihani.

Tuesday, December 7, 2010

Jangan Ditangisi Apa yang Bukan Milikmu

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

Anda Gelisah?

Hidup ini tidak pernah sunyi daripada ujian Tuhan. Andai pegangan Islam tak kuat, mungkin ada yang mengambil keputusan terburu-buru untuk bunuh diri. Alhamdullilah Allah temukan saya dengan ayat Al-Quran yang saya nak sangat nak kongsikan ini.

(18) Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).
(19) Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah.
(20) Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut.

Allah yang cipta kita, maka semestinya dia tahu kelemahan kita. Dan ditulis juga dalam surah Al-Maarij ini, ciri-ciri manusia yang tidak merasa resah dan gelisah.

Nak cakap kat sini, mengikut tafsiran saya, (maaf kalau salah dan mohon betulkan), segala resah gelisah yang ada ini semua kerana kita juga. Kerana tidak melaksanakan apa yang Allah perintah.

(21) KECUALI orang-orang yang mengerjakan sembahyang.
(22) Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.
(23) Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum.
(24) Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
(25) Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya).
(26) Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya.
(27) Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya.
(28) Dan mereka yang menjaga kehormatannya.
(29) Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
(30) Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.
(31) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.
(32) Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi).
(33) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.
(34) Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan.

Penggunaan kata "kecuali" itu membawa makna yang sungguh berat dalam diri saya. Ibaratnya Allah hendak memberi tahu kita, manusia ini memang suka mengeluh, berkeluh kesah, rasa gelisah KECUALI kalau kita amalkan apa yang disuruh. Maka, adakah selama ini kita berkeluh kesah dan mengeluh kerana amalan kita tidak cukup untuk menguatkan keimanan kita untuk menerima setiap takdir dan dugaan Allah?

Maka jika kita :

1. Menjaga solat
2. Mendermakan harta
3. Percayakan hari kiamat
4. Takut akan balasan Tuhan
5. Menjaga kehormatan
6. Menjaga amanah dan janji
7. Memberi keterangan lagi adil

InsyaAllah hati tidak akan resah gelisah.