Saturday, May 8, 2010

Novel Saya 2-Alaf 21



KAU KEKASIHKU
“Dulu mak suruh masuk maktab, tak nak... berangan lagi
nak jadi secretary. Sekarang ni dah susah nak dapat kerja. Cuba
dulu kalau masuk maktab... keluar aje terus mengajar.”

Aku tergelak-gelak mengenangkan keluargaku yang bagaikan ingin menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya
turun-temurun. Lantaran itulah aku ingin mencuba bidang
lain, sementelah rasanya aku tidak ada ‘jiwa’ di bidang ini.

“Dhira memang tak minat nak jadi cikgu. Dahlah arwah atuk
dulu cikgu, ayah cikgu pencen… Along cikgu. Kalau mak pun
cikgu… hmm, dah sahlah, habis satu keluarga jadi cikgu!”

“Kerja ni mulia… orang akan ingat dan hargai sampai bilabila. Tengok ayah… sampai dah pencen pun, orang tetap panggil dia cikgu. Sekarang ni bila sakit sikit aje pergi hospital sebab
doktor kat Hospital Tapah tu bekas anak murid dia... dapat
layanan istimewa lagi,” jawab Kak Nisha.

Aku tidak menafikan hal itu, tapi rasanya aku tidak sesuai
hendak menjadi guru. Sama ada aku akan dibuli oleh pelajarpelajar atau aku yang akan ‘telan’ mereka. Tidak pasti yang mana
satu, tapi kebarangkalian yang pertama itu lebih besar rasanya.

“Tapi akak rasa Dhira memang tak ada tokoh jadi cikgu.
Lembik macam sayur rebus… buli dek budak-budak aje!” rumus
Kak Nisha. Tentulah dia membuat kesimpulan itu berdasarkan
pemerhatiannya tentang sikapku. Biarlah dia berkata apa saja.
Aku tidak mahu membela diri atau menyanggah.

“Sekarang ni susah nak cari kerja. Kerani dengan lab assistant
kat sekolah akak tu… graduate universiti. Tak ada pilihan… kesian tengok! Pulak tu dia cerita kawan dia yang satu
U dah lama grad, tapi mintak kerja tak dapat-dapat. Tunangnya
pun macam tu. Akhirnya dia orang kahwin… duduk kat kampung toreh getah!”



LAGU RINDU
Aku terus bangun dari katil dan segera mencapai tuala.
Walaupun mata masih didodoi rasa mengantuk, aku bergegas ke bilik mandi. Silap aku sendiri, sepatutnya aku tidak
tidur semula selepas menunaikan solat subuh tadi.

“Puteri Adalea! Cepatlah sikit. Nanti mengamuk pulak si
Remy. Agaknya dia dah lama terpacak kat bawah tu!” laung
Linda mengingatkan.

Aku hampir-hampir terlupa tentang janji yang dibuat dengan Remy untuk ke Malaysian Student Department Hall
(MSD) bersama. Kami juga telah berjanji akan turut serta
dalam sambutan Aidilfitri di rumah terbuka Profesor Razak.
Itu pun setelah meraikan hari raya di MSD.

Pejam celik, pejam celik, sekejap betul masa berlalu. Kali
ini sudah masuk kali ketiga aku menyambut hari raya di
negara asing. Mungkin juga ini yang terakhir memandangkan
pengajianku di University of Salford, Manchester akan berakhir tidak lama lagi. Aku bakal membawa pulang segulung
ijazah Jurusan Media, Language and Business. Itulah
impianku sejak dulu lagi.

Sesungguhnya dalam mendambakan ilmu, jarak telah meletakkan aku terpisah jauh dari keluarga dan saudara-mara.
Aku terdampar di United Kingdom bukan sekadar memenuhi
cita-cita, tetapi aku turut merantau membawa sekeping hati.
Bukannya merajuk. Tapi lebih tepat, aku sebenarnya perlukan
ruang untuk membuang kekecewaan di jiwa.

MASA terus berlalu. Namun, parut yang tergaris di hatiku
masih berbekas walaupun hampir tiga tahun telah berlalu.
Tidak mungkin dapat kulupa bagaimana seorang nenek begitu membenci cucu kandungnya. Seseorang yang mempunyai pertalian darah dengannya tetapi tidak sudi memberi
walaupun secebis kasih dan sayang.



PESONA RINDU
ANGIN malam menampar langsir tingkap yang masih terbuka. Najmah terjaga. Hakimi sedang lena di sisinya. Di luar, Najmah mendengar leteran Mak Bedah yang tidak henti-henti. Haji Wahid sesekali memujuk. Mak Bedah marah sangat apabila mendapat tahu Najmah dengan Nadirah ke chalet Ustaz Syakir siang tadi.

“Gatal! Dah tak nak, kenapa pergi jumpa dia? Ha, itulah. Cakap orang tak pernah nak dengar. Kalau kahwin dengan Syakir dulu, tak payah nak bermadu-madu macam ni,” marah Mak Bedah jelas kedengaran.
Memang salah Najmah berbohong. Katanya hendak ke Kilang Keropok Kak Pah tapi pergi ziarah bekas tunang. Eloklah sangat kalau ditengok orang, rungut Mak Bedah lagi.

Najmah bangun dan menutup daun tingkap. Laut jauh berbalam. Dalam samar tidak jelas alunan ombaknya. Tetapi nyanyian anginnya jelas terdengar membawa bau air laut yang pekat masin.
“Awak suruh aje Naj balik ke Kuala Lumpur. Makin lama dia kat sini, makin banyak olah dia nanti. Semua nak conteng arang ke muka kita. Awak suruh dia balik!”

Najmah tersirap. Sampai macam tu marah emaknya. Tetapi Najmah akur. Emaknya tidak pernah mahu menerima kepulangannya. Dengan status wanita bermadu, dia dianggap sudah membawa malu.
Najmah beku di atas katil. Kalau itu keputusan emaknya, dia akur. Najmah mencari telefon bimbitnya. Tangan teragak-agak menekan nombor. Patutkah dia menghubungi Fazlan tengah malam begini? Tentu Darina akan terkejut. Lebih-lebih lagi kalau Darina yang menjawab panggilan. Tidakkah mengundang persoalan? Niat menghubungi Fazlan dibatalkan.
Sebaliknya beg di bawah katil terus dicapai. Baju-baju yang tersidai di atas kerusi dikutip satu-persatu. Dia akan tinggalkan rumah ini awal pagi besok.

“ASSALAMUALAIKUM abah.” Suara garau membawa kejutan di awal subuh.
Haji Wahid menoleh. Para jemaah mula mengambil saf. Bilal sedang beriqamah. Haji Wahid terkejut melihat Fazlan menerpa dan mencapai tangannya. Sejuk hidung Fazlan menyentuh belakang tangannya.
“Bila sampai?” soal Haji Wahid.
“Baru aje abah.”

Pak imam sudah pun mengambil tempat dan mengangkat takbiratulikhram.
“Kita solat dulu,” ujar Haji Wahid.
Fazlan mengangguk. Dia merapatkan bahunya ke bahu Haji Wahid. Jemaah yang lain juga berbuat begitu. Agak berhimpit tetapi harus untuk mengelakkan syaitan mencelah di antara mereka. Takut solat tidak khusyuk.

Damai hati Fazlan mendengar bisik Haji Wahid menyebut nama ALLAH. Kesempatan ini tidak selalu datang. Sama-sama bertakbir, sama-sama rukuk dan sujud. Maha Besar ALLAH yang mencipta kedamaian ini.
“Kenapa kamu menangis?” Haji Wahid terkejut melihat Fazlan sedang menangis ketika mencium tangannya selepas pak imam selesai membaca doa.

“Saya dah banyak menyusahkan abah dengan mak,” ujar Fazlan terharu.
Haji Wahid merenung menantunya. Kesan mengantuk jelas di kelopak mata.
“Saya tak berlaku adil pada Naj dan Kimi.”
“Apa pulak menyusahkan. Kau menyenangkan hati Naj, menyenangkan hidup dia. Apalagi yang tak adilnya?” ujar Haji Wahid sambil melipat sejadah.

Fazlan masih melutut sambil mengesat air mata.
“Dahlah tu. Mari kita balik. Kimi dah rindukan kau,” pujuk Haji Wahid.
“Kau memandu sepanjang malam?” soal Haji Wahid ketika Fazlan memusingkan stereng kereta meninggalkan pekarangan masjid.
Fazlan mengangguk.
“Saya rindukan Kimi,” ujar Fazlan.
“Isteri tua kau tak tahu kau datang ni?”
Fazlan terkejut mendengar soalan itu. Haji Wahid tahu kepulangan Darina. Tentu Najmah yang bercerita. Fazlan akhirnya menggeleng.
“Kau kena beritahu dia. Nanti jadi suami yang tak adil pulak.”
Fazlan mengangguk. Tabir subuh disingkap jalur mentari di ufuk timur. Kereta Fazlan menyusuri ke halaman rumah. Mak Bedah terkejut apabila melihat kereta besar membawa suaminya pulang. Lebih terkejut kerana Fazlan yang keluar, membukakan pintu bapa mentuanya. Mak Bedah meletakkan raga ikan di pelantar. Kakinya ligat masuk ke dalam rumah. Fazlan melihat kelibat emak mentuanya. Tentu dia tidak suka Fazlan datang.

“Kak Naj, Kak Naj, Abang Lan sampai,” beritahu Nadirah.
Fazlan sampai? Kenapa dia datang? Nadirah telefon dia agaknya pasal Mak Bedah marah-marah semalam, detik hatinya.
“Dengan abah kak. Agaknya dia jumpa abah kat masjid,” ujar Nadirah lagi.
Najmah bersikap selamba. Di halaman, Fazlan teragak-agak hendak masuk ke rumah.
“Masuklah,” pelawa Haji Wahid.
Fazlan terpaksa mengekori bapa mentuanya walaupun emak mentuanya tidak suka dia datang. Di ruang tamu, sekali lagi dia teragak-agak hendak duduk atau apa?
“Ha, masuklah bilik tu. Naj kat dalam dengan Kimi,” ujar Haji Wahid sambil membuka songkok.
Fazlan mengangguk. Asing benar dia di rumah ini. Macam rumah orang lain sahaja. Najmah tidak terkejut apabila Fazlan memberi salam. Dia menyambut salam dan mencium tangan suaminya.
“Abang tahu pulak Naj nak balik hari ni? Irah telefon ke?”
Fazlan menggeleng. Dia memeluk bahu Najmah dan mengajaknya ke katil. Hakimi masih lena. Fazlan mencium pipi anaknya berkali-kali.
“Dia asyik sebut nama abang. Agaknya rindu sangat.”
“Naj kata seminggu, dah masuk sebulan kat sini... abang pun rindukan dia.”
“Abang dah izinkan, kalau tak... tentu Naj balik minggu lepas lagi,” ujar Najmah sambil melipat selimut.
Fazlan melihat beg tersusun di tepi dinding.
“Jadi mama nak buat majlis persandingan abang?” Soalan Najmah begitu selamba.

Fazlan tersentak.
“Buat kat hotel jugak ke?” soal Najmah lagi.
Fazlan menggeleng. Dia menarik bahu Najmah rapat ke dadanya namun Najmah terasa asing.
“Kita jangan cakap pasal tu,” ujar Fazlan.
Najmah menjauhkan dirinya. Sentuhan tangan Fazlan juga terasa lain.
“Naj, jangan seksa abang macam ni,” ujar Fazlan.
Najmah tersenyum nipis.
“Apa abang cakap ni?” Najmah pura-pura tidak mengerti.
“Kak Naj, Abang Lan... mak ajak minum.” Suara nyaring Nadirah di sebelah pintu mengejutkan mereka. Hakimi juga menggeliat dan merengek. Kakinya menendang-nendang.
“Ha, dah basahlah tu,” ujar Najmah.
“Assalamualaikum... sayang papa dah bangun?” soal Fazlan merenung Hakimi.

“Pa!” Hakimi bingkas bangun, memeluk leher Fazlan.
Fazlan mencium anaknya sepuas hati. Rindu sangat.
“Kak Naj, abang... cepat ya ke dapur.”
Rupa-rupanya Nadirah masih berada di depan pintu.
“Yalah... Kimi baru bangun,” jawab Najmah.
“Abang ke dapur dulu. Naj nak salin Kimi,” pinta Najmah.
Fazlan keberatan.

“Pergilah bang, mak tengah okey tu,” pujuk Najmah.
Fazlan tersenyum. Kemudian menghadiahkan ciuman di pipi. Najmah tergamam. Tidak sempat mengelak. Pantas dia menyapu pipinya. Tidak mahu ada bekas. Hidung itu telah menyentuh pipi Darina.
Mak Bedah tidak memandang Fazlan. Najmah muncul ketika Haji Wahid sedang membaca doa. Diaminkan semuanya dengan rasa syukur. Mak Bedah pura-pura bersikap selamba. Menyenduk nasi dagang untuk suami dan kemudian menghulurkan pinggan untuk Najmah.
Suasana sepi seketika. Nadirah menjeling-jeling Mak Bedah. Menanti kalau-kalau Mak Bedah hendak cakap apa-apa tetapi Mak Bedah tetap membisu seribu bahasa. Kalau marah dengan Kak Naj takkan dengan Abang Lan pun mak tak tegur, hati Nadirah berbisik.
Haji Wahid memang senyap ketika makan. Jarang mahu bercakap kecuali isu penting sahaja. Fazlan merasakan keluarga mentuanya tidak mesra. Dia berasa begitu janggal dan sangat terasing.
“Maafkan saya mak. Saya memang selalu menyusahkan mak,” ujar Fazlan merendah diri.

“Nak minta maaf apa? Kau ada buat salah ke?” Mak Bedah memperli.
“Kahwin dua tu tak salah. Poligami tu harus.” Haji Wahid segera membetulkan kekeliruan isterinya.
“Soalnya, lelaki boleh adil atau tak, kan?” Mak Bedah menempelak. “Mana lelaki boleh adil dalam soal poligami? Rasulullah pun bermasalah dengan isteri-isteri dia. Aishah tu bukan main cemburu dengan Khadijah. Tak boleh Rasulullah menyebut kebaikan Khadijah di depannya.” Mak Bedah mula bersyarah.

“Kalau perempuan tak cemburu, tak ada langsung masalah poligami. Kita tahulah itu fitrah perempuan. Tetapi bila nafsu jadi raja, akal terus mati,” ujar Haji Wahid.
“Saya berpoligami bukan kerana nafsu. Saya cintakan Naj.” Fazlan menjelaskan.
Sarapan pagi mula menjadi majlis berbahas tentang poligami. Nadirah tersengih-sengih mendengar bahas emak dan abahnya.
"Apa kempen terbaru persatuan wanita awak? Kempen satu isteri satu suami dah batal, kempen kurung suami dalam rumah pulak,” perli Haji Wahid.
Mak Bedah tarik muka masam. Fazlan merenung tenang wajah emak mentuanya. Akhirnya Mak Bedah bangun dan mengangkat pinggan ke sinki. Tiba-tiba air matanya gugur. Pandangannya jadi kabur.



SAAT CINTA BERSEMI
Seminggu lamanya Nur Dhuha terperuk di dalam rumah. Bukan sahaja dia menyembunyikan diri daripada jiran-jiran, malah dengan Maya pun dia tidak mahu bertemu. Dia juga telah mengambil cuti daripada menonjolkan dirinya di Hotel Sari Astana. Dia malu mahu memperlihatkan kesan lebam dan luka di seluruh wajah dan tubuhnya.
Keadaan itu hanya akan menimbulkan umpatan dan persoalan di bibir mereka yang memandang. Sudah beberapa kali Maya mencarinya di rumah. Tetapi Nur Dhuha lebih rela mendiamkan diri. Jiran-jiran di sebelah rumahnya juga sentiasa bercakap-cakap mengenai Badrul membuatkan Nur Dhuha jadi segan untuk berdepan dengan orang ramai. Apatah lagi dengan keadaan dirinya yang masih lemah dan sakit-sakit akibat pukulan Badrul seminggu yang lalu. Nur Dhuha tunduk.
Membayangkan pukulan Badrul membuatkan dia sering dihantui rasa gelisah. Memang Nur Dhuha akui yang dia sudah lali dengan pukulan dan hentakan itu, tetapi ketakutannya tetap ada. Kesakitannya masih terasa. Dia juga manusia biasa yang dapat merasa apa itu kesakitan. Dia bukannya manusia luar biasa, yang hanya mampu menyepikan diri apabila diri dihentak dan diterajang sesuka hati. “Sampainya hati Abang Bad pukul aku macam tu.
Abang Bad tak sayang aku ke? Bukan ke aku saja adik dan saudara dia yang tinggal?” Hati Nur Dhuha dipagut rasa pilu yang dalam. Hatinya sebak tiba-tiba. Entah mengapa air matanya kembali menerjah ke kelopak mata. Dia gagal untuk menahan.
“Sampai bila aku harus menderita dengan keadaan ini? Sampai bilakah aku perlu melalui keperitan hidup sebegini?” Soal Nur Dhuha sendirian.
“Aku perlu mengubahnya! Aku perlu mencari di mana silapnya dan memperbetulkan kesalahan yang telah abangku lakukan.” Tekad Nur Dhuha sungguh-sungguh. “Tetapi di mana harus aku mulakan?”
“Dhuha! Oh, Dhuha!” Nur Dhuha tersentak apabila terdengar namanya dilaung dari luar rumah. Nur Dhuha kenal benar dengan suara itu. Perlahan-lahan dia menghayunkan langkah menuju ke tingkap bilik sebelum menyelak sedikit langsir untuk mengintai keluar. Tepat seperti yang dijangka. Maya sedang berdiri tegak di hadapan pintu pagar rumahnya.

“Kenapa Maya cari aku? Kalau aku keluar, mesti Maya nampak aku macam ni. Apa aku nak jawab?” “Dhuha! Aku tahu kau ada kat dalam. Bukak pintu ni! Aku nak masuk!” Nur Dhuha mengintai lagi. Kali ini Maya sudah pun terpacak di hadapan pintu rumahnya. Cepat-cepat Nur Dhuha menjauhi tingkap bilik. Dia berundur ke katil. Masih memikirkan jawapan yang wajar diberikan kepada Maya. Mujurlah Badrul tiada di rumah waktu itu. Sejak pagi dia sudah menghilangkan diri. Nur Dhuha malas mahu mengambil tahu lagi! “Dhuha!” Nur Dhuha melabuhkan punggungnya ke atas katil. Sejenak kemudian, dia bingkas kembali ke tingkap bilik. Namun kelibat Maya sudah tiada lagi di situ. “Dah balik kau Maya!” bisik Nur Dhuha perlahan. Dia mengeluh kecil. Sedikit lega dengan keadaan itu.

“Kenapa kau tak buka pintu? Kau nak sembunyikan apa daripada aku?” Tiba-tiba sahaja suara Maya menyergahnya dari arah belakang. Nur Dhuha tersentak. Dia segera memusingkan tubuh lalu terpandangkan Maya yang sedang bercekak pinggang di muka pintu biliknya. Baru dia teringat yang pintu rumahnya memang tidak berkunci. Maya yang jelas pada awalnya cuba menahan marah terus menghampiri. Sebaik terpandang wajah Nur Dhuha yang dipenuhi lebam dan luka-luka kecil, dia terkejut. “Kenapa ni Dhuha?” soal Maya sambil tangannya cuba menyentuh wajah Nur Dhuha. Nur Dhuha pantas menggeleng dan mengelak.

“Tak ada apa-apalah,” jawabnya.
“Kau cakap betul-betul. Kau kena pukul lagi ya?”
“Tak adalah!”
“Baik kau cakap. Abang Bad pukul kau lagi, kan?” “Tak!”
“Habis, macam mana muka kau boleh lebam-lebam macam ni? Minggu lepas, aku tengok muka kau tak ada apa-apa pun.” Maya masih tidak berpuas hati dengan jawapan Nur Dhuha.
“Lebam-lebam ni?” Jari telunjuk Nur Dhuha dihalakan ke wajahnya sendiri. Maya mengangguk. Dia memandang hairan Nur Dhuha yang tersenyum. “Aku terjatuh dalam bilik air dua hari lepas. Kau tak payah risaulah,” jawab Nur Dhuha dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat.
“Kau jangan nak tipu akulah Dhuha! Aku bukannya bodoh. Lebam-lebam ni bukan kesan jatuh. Nampak macam kesan kena pukul aje! Kalau terjatuh, takkan teruk sampai macam ni sekali!”
“Kenapa kau cari aku ni?” soal Nur Dhuha sambil cuba menjauhkan dirinya daripada Maya. Dia mengorak langkah ke muka pintu. “Kenapa kau nak sembunyikan perangai Abang Bad lagi, Dhuha? Dia dah teruk seksa kau, tau tak? Kau tak boleh biarkan dia buat macam ni lagi. Ini dah kes mendera namanya!” Langkah Nur Dhuha terhenti di pintu bilik. Dia berpaling ke belakang menghadap Maya yang masih berdiri tegak di tengah-tengah biliknya.

“Apa kau cakap ni? Kan aku dah cakap yang aku tak apa-apa. Aku cuma terjatuh dalam bilik air. Itu aje!” balas Nur Dhuha masih mahu menyembunyikan perkara sebenar dari pada pengetahuan Maya.
“Aku tak percaya! Seminggu kau berkurung dalam rumah. Aku banyak kali cari kau kat sini, tapi kau tak nak keluar. Kenapa?” Suara Maya sudah meninggi. Dia benar-benar marah dengan tindakan Nur Dhuha yang menyembunyikan perbuatan zalim Badrul itu. “Masa kau datang, aku tengah tidur agaknya!” Nur Dhuha memberi alasan. Maya mendengus kasar.
“Aku tak peduli! Kalau kau tak nak laporkan pada rukun tetangga taman kita ni, aku akan laporkan bagi pihak kau. Tak pun, aku terus laporkan pada polis!” ugut Maya dan terus menyusun langkah untuk keluar dari situ. Nur Dhuha tersentak. “Maya!” Nur Dhuha sempat menarik pergelangan tangan rakannya dari terus berlalu. “Maya, tolonglah jangan laporkan pada sesiapa!” Pandangan mata Nur Dhuha dihala tepat ke anak mata Maya.

Maya terdiam. Terserlah kesayuan di mata Nur Dhuha. “Aku merayu pada kau Maya! Jangan laporkan pada polis. Tolonglah...” rayu Nur Dhuha lagi. Maya melepaskan keluhan berat. Tangan Nur Dhuha yang melekap di pergelangan tangannya digenggam.
“Sampai bila kau nak biarkan Abang Bad terus-terusan buat macam ni? Kau menyeksa diri sendiri, Dhuha.”
“Abang Bad yang jaga aku sejak kecil, Maya. Aku tak sampai hati nak biarkan dia ditahan. Kau bayangkan Maya, mak aku meninggal dunia sejak aku dilahirkan. Ayah aku pulak... entahlah! Kalau Abang Bad tak ada masa tu, entah apa yang dah jadi kat aku sekarang ni...” Nur Dhuha tertunduk. Dia berasa sayu dengan kata-katanya sendiri. Biarpun Badrul selalu menyeksanya, tidak pernah terlintas di hati kecilnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap abangnya itu. Nur Dhuha masih tetap sayangkan Badrul. Selama ini, lelaki itulah yang berusaha memberinya pendidikan, makan, pakai serta keperluan-keperluan lain. Cuma sikapnya sahaja yang panas baran. Bukankah perkara itu boleh diubah? Nur Dhuha cuba menyedapkan hatinya sendiri. “Susah hati aku dengan sikap kau ni, Dhuha! Bukan sekali dua Abang Bad buat kau macam ni! Dah berkali-kali, tau tak?” rungut Maya. Nur Dhuha terdiam. Biarlah. Walau apapun yang Maya cakap, dia sudah tidak kisah! Lebam-lebam itu pasti akan hilang. Lama-kelamaan, tidak akan memberikan sebarang kesan di wajahnya selain... Jari-jemarinya meraba-raba dahi. Terasa ada bonjolan parut yang panjang di situ. Yang pasti, parut tersebut bukan angkara Badrul.
“Kau tak kerja hari ni?” tanya Maya sambil mendekati Nur Dhuha. Nur Dhuha memandang jam yang tergantung di dinding kamarnya. Tepat pukul 7.30 pagi. “Dah hampir seminggu aku tak masuk kerja. Hari ni, cadangnya aku nak pergilah...” Nur Dhuha menjawab lemah. “Lebam-lebam kat muka kau tu masih nampak lagi. Nanti apa pulak kata kawan-kawan kerja kau!” Maya diburu rasa bimbang.
“Kalau dibedak-bedakkan, tak nampaklah lebam ni kot!” “Muka kau tu tak pernah dibedak, Dhuha! Kalau tiba-tiba kau berbedak semata-mata nak tutup kesan lebam tu, janggal pulak orang tengok nanti.” Maya sempat menyindir. Memang sejak dia mengenali Nur Dhuha, jarang sekali dia melihat gadis itu menepek bedak yang tebal-tebal di mukanya. Bagi Maya, kelicinan kulit Nur Dhuha sudah semulajadi. Tidak perlu ditambah-tambah dengan solekan kerana dia tahu tanpa mekap pun, gadis itu tetap menarik.
Sewaktu di sekolah dahulu, kecantikan Nur Dhuha tidak begitu menyerlah. Kebanyakan pakaiannya ikut “dan” sahaja! Cantik atau tidak pakaiannya, Nur Dhuha tidak pernah ambil peduli. Tetapi setelah meningkat dewasa, keadaan fizikal Nur Dhuha sudah banyak berubah. Lain benar! Perubahan yang benar-benar telah menjadikannya seorang anak gadis yang mempunyai kecantikan tersendiri. Tubuhnya yang dahulu agak gempal dan rendah, kini berubah tinggi dan langsing. Jerawat yang dahulunya agak penuh di seluruh kulit muka, semakin lama semakin menghilang dan berubah bersih dan cantik.
Cuma yang masih kekal di wajah Nur Dhuha ialah parut sepanjang jari di dahi. Parut yang disebabkan oleh rakan sekolahnya dahulu! Pun begitu, ia tidak langsung mencacatkan anggota wajahnya. Nur Dhuha tetap cantik. “Habis? Aku nak buat macam mana ni?” Nur Dhuha menyoal. “Cutilah dua tiga hari lagi,” saran Maya kemudiannya.
“Eh, tak boleh. Aku kena pergi kerja jugak hari ni.” Cepat-cepat Nur Dhuha memintas percakapan Maya. Nur Dhuha tidak mahu memikirkan apa-apa alasan lagi selain bersiap-siap untuk ke Hotel Sari Astana. Dalam masa 15 minit lagi, dia akan berjalan kaki dan menaiki bas. Dia akan sampai di hotel tempatnya bekerja dalam masa 10 minit. Nur Dhuha benar-benar bersyukur kerana jarak rumahnya dengan hotel itu tidaklah begitu jauh.

SEPERTI selalu, Nur Dhuha terkocoh-kocoh berlari ke dewan perjumpaan. Dia sudah terlewat 15 minit. Ketika dia memasuki dewan, semua pekerja sedang diberi taklimat. Nur Dhuha dapat menangkap sorotan mata Tee Keong yang memandangnya. Cepat-cepat Nur Dhuha mengambil tempatnya seperti biasa. “Kau pergi mana cuti lama-lama ni, Dhuha?” Hazlela berbisik halus di sisinya. Tidak sempat dia hendak membetulkan uniformnya yang agak tidak kemas hari itu. Nur Dhuha mengerling Hazlela seketika sebelum meletakkan anak matanya ke arah Tee Keong yang sedang menerangkan sesuatu di hadapan pekerja-pekerja lain. “Aku cuti. Tak sihat.”
“Tak sihat? Kau sakit ke? Serius?” Nur Dhuha menggeleng. “Tak sihat sikit aje. Sakit-sakit biasa!” balas Nur Dhuha masih berbisik. “Cuti sampai seminggu kau cakap tak serius? Kau biar betul!” Nur Dhuha hanya diam mendengar komen Hazlela. Dia malas mahu menerangkan sebab sebenar dia tidak dapat datang bekerja beberapa hari yang lalu. “Eh, kenapa muka kau lain macam aje aku tengok? Ada lebam-lebam...”

“Tak adalah. Mana ada...” Nur Dhuha menepis pantas tangan Hazlela yang sudah hampir ke wajahnya. “Dhuha, habis taklimat nanti, saya nak bercakap dengan awak sekejap!” Suara Tee Keong yang kuat itu sedikit menyentap hati Nur Dhuha. Hazlela yang ingin menyambung kata terus menyepikan diri. Nur Dhuha terkedu. “Nak jumpa aku? Habislah...!” Hatinya risau tiba-tiba. Sempat anak matanya dan anak mata Hazlela bersabung pandang. Selepas semua pekerja bersurai, Nur Dhuha melangkah menghampiri Tee Keong.
“Kenapa Tee Keong?” Nur Dhuha bertanya lembut. Sejak hari pertama dia bekerja di hotel itu, Tee Keong sendiri tidak kisah jika dia memanggil dengan nama sahaja. Lelaki itu nampak baik biarpun usianya kelihatan tua beberapa tahun daripada Nur Dhuha.
Tee Keong ialah seorang pengurus yang mementingkan kebajikan pekerja di bawah seliaannya. Tee Keonglah yang banyak menegur jika dia melakukan kesilapan sejak mula dia bekerja di hotel tersebut. “Awak ambil MC tu, ada bukti daripada doktor panel kita tak?” Tee Keong bertanya. Nur Dhuha dan Tee Keong jalan beriringan menyusur keluar dari dewan perjumpaan.

“Bukti? Kena ada ke?” Berkerut-kerut dahi Nur Dhuha menyoal lelaki di sisinya itu. Terfikir-fikir kepentingan surat MC yang sepatutnya dititikberatkan. Ê Tee Keong mengeluh kecil. “Semalam bos dah marah sebab awak masih seorang pelatih. Prosedur hotel ni... seorang pelatih tak boleh bercuti selagi belum confirm sebagai pekerja yang sah,” jelas Tee Keong lembut dan penuh diplomasi. Nur Dhuha menggeleng tanda tidak faham dengan penjelasan lelaki Cina itu.

“Silap saya sebab tak beritahu awak awal-awal lagi. Sepatutnya, selepas tiga bulan awak bekerja di sini, bos akan membuat penilaian berdasarkan disiplin, kecekapan dan cara komunikasi awak selama bekerja sebagai pelatih sebelum bos menetapkan untuk mengambil awak sebagai pekerja tetap atau tidak.”

“Jadi?” “Tak tau bagaimana saya nak cakap, Dhuha. Bos nak jumpa awak pukul 10.00 nanti di biliknya.” Nur Dhuha mula didatangi resah. Bos hendak berjumpa aku? Apa hendak aku katakan pada bos nanti? Sudahlah itu kali pertama mereka bersua. Apa pula tanggapan bos dengan disiplin kerjanya. Entah mengapa hati Nur Dhuha diburu debaran dan gementar.

“Tak apalah. Kalau bos panggil nanti, saya akan temankan awak,” ujar Tee Keong untuk menyedapkan hati Nur Dhuha biarpun dia tahu bosnya itu tidak mungkin akan membenarkan dia masuk untuk mendengar penjelasan daripada seorang pekerja. Itu memang sudah menjadi prinsip bosnya!








Novel Saya 1

-alaf 21


Sinopsis : ADAM & HAWA
AIN HAWANI, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela.

Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Adam yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya. Ah... Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata.

Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan pintu Majidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan sekian lama. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang ditunggu.

Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarpun lapan tahun lagi...




FRAGMEN NOVEL :

BADAI DI HATI
“ADLI, laungkan azan nak.” Lembut permintaan Hj. Nurzuki kepada anak bongsunya itu.
“Baik ayah,” jawab Adli lalu dengan akur menunaikan tugasnya sebagai muazim dalam solat kali ini. Dirapatkan ibu jari dan jari telunjuk ke cuping telinga. Ditariknya nafas sekali dua.
ALLAHUAKBAR... ALLAHHHHUAKBAR...
Ya TUHAN... terpaut tangkai iman tatkala mendengar gemersiknya suara Adli melaungkan kalimah agung itu.
Semua jemaah tertunduk. Khusyuk dan tawaduk. Tenggelam bersama penghayatan kepada yang Maha Esa. Diikuti pula dengan iqamat yang dilafazkan oleh Mukhriz. Tambah membenamkan perasaan ini ke dunia ukhrawi.
Kemudiannya Haji Nurzuki sendiri yang mengimamkan solat Maghrib itu. Panjang doa yang dipanjatkan olehnya malam itu. Memohon keredaan, keberkatan serta ketenangan dunia dan akhirat bagi seluruh ahli keluarganya. Memohon agar majlis yang akan berjalan esok lancar dan terhindar dari kemungkaran.
Setiap lafaz doa yang tersingkap dari celahan bibir Haji Nurzuki kemudiannya diaminkan sepenuh hati oleh ahlul jemaah. Rasa syahdu nan mulus mendamaikan setiap jiwa di malam itu.

SEJAK lepas Isyak tadi, Haji Nurzuki lebih banyak termenung. Wajah murungnya tidak mampu diselindungkan lagi. Risau Natilly melihat tingkah ayahnya. Sesekali dia saling berpandangan dengan Adli. Natilly tahu gelojak hati Adli juga serupa dengannya. Akhirnya mereka saling mengangkat bahu. Tiada jawapan yang singgah di fikiran masing-masing.
Perlahan Adli mendekati Natilly. “Akak, kenapa dengan ayah tu? Adli tengok macam something wrong somewhere aje. Akak tak perasan ke?”
“Akak pun nampak. Tapi entahlah... akak pun tak tau kenapa ayah jadi gitu. Agaknya ayah risau pasal kenduri akak esok, kot.” Natilly cuba membuat telahan. Tetapi hakikatnya dia sendiri tidak pasti.
“Tapi kalau pasal kenduri akaklah, kenapa baru hari ni aje ayah nampak risau semacam? Selalunya tak adalah macam ni. Lagipun semua saudara-mara kita dah sampai pun. Semua persiapan dah pun siap. Apa lagi yang ayah nak risaukan?”
Adli masih keraguan. Baginya tidak mungkin persiapan untuk kenduri yang membuatkan Haji Nurzuki bermurung. Pasti ada sebab lain. Sebab yang tidak terjangkau oleh pemikirannya yang setahun jagung itu. Adli yang kini berada di sebelah kakaknya memaut tangan Natilly sambil menggoncang-goncang tangan kakaknya.
“Akak, akak tanyalah ayah. Adli risaulah tengok ayah macam tu.”
Benar. Bukan hanya adiknya itu yang risau dengan tingkah ayah mereka malah hatinya turut gelisah. Biasanya jika ada majlis-majlis keramaian begini, ayahnya yang nombor satu. Dekah ketawanya akan membelah keriuhan orang lain. Lebih-lebih lagi majlis ini di rumahnya sendiri. Tetapi mengapa tidak kali ini?
“Laaa... akak ni nak tunggu sampai bila ya? Akak tanyalah sekarang. Adli risaulah, kak.”
“Adli, biarlah ayah tenangkan fikiran dulu. Beri ayah ruang. Nanti tiba waktu yang sesuai, akak akan tanya ayah. Adli jangan risau, okey. Eloklah Adli pergi tolong apa yang patut di luar tu dulu.”
“Tapi kak...”
“Adli, dengar cakap akak.”
Anggukan Adli tidak sepenuh hati. Berat nampak adiknya itu melangkah meninggalkan ayahnya yang masih merenung jauh. Entah ke mana dan apa yang menarik pandangan dan entah apa yang merunsingkan ayahnya, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.

DI BALAI, jiran tetangga mula riuh. Di sebelah meja santapan pengantin pula, pasukan marhaban telah mula memalu kompang mengiringi zanji dan qasidah mereka. Cukup meriah.
Namun semua itu bagaikan angin lalu yang menyapa pendengaran Haji Nurzuki. Dia bagaikan tenggelam di alam lain. Keceriaan dan kemeriahan suasana langsung tidak terkesan ke hatinya. Hanya jasad yang hadir sedangkan fikiran dan perasaannya sibuk membuat perhitungan mencari penyelesaian.
Ah... akhirnya dia mengambil keputusan. Segalanya harus diselesaikan malam ini juga.

“ILLY, Adli mana?”
“Dekat luar, ayah. Ayah nak jumpa Adli ke? Nanti Illy minta Shariman panggilkan.”
Haji Nurzuki hanya mengangguk sambil matanya masih juga tidak beralih dari merenung Natilly. “Ayah nak jumpa Illy sekali. Ayah tunggu dalam bilik, ya”
“Sekarang ayah? Tapi...”
“Iya, sekarang.” Pantas Haji Nurzuki memotong cakap. Langkahnya kelihatan amat lemah. Sesekali tampak seperti terhuyung-hayang.
Natilly semakin risau. Setelah meminta sepupunya memanggil Adli, tanpa menunggu lagi, dia terus menuju ke bilik ayahnya. Terpandang Haji Nurzuki sedang duduk di birai katil sambil kedua tangannya menekup muka.

“AYAH, ayah sakit ke?” tanya Natilly sambil menggosok-gosok belakang ayahnya penuh kasih.
Haji Nurzuki agak tersentak dengan gosokan lembut itu. “Eh, Illy? Tak adalah. Ayah penat sikit aje ni.”
Natilly tahu benar sikap ayahnya. Selagi boleh ditahan dan diselindung, pasti dia akan menafikannya.
“Mana Adli? Tak masuk lagi.”
“Kejap lagi dia dat...”
“Assalamualaikum ayah, kak. Ayah panggil Adli ke?”
Belum sempat Natilly menghabiskan perkataan ‘datang’ nya, Adli sudah memberi salam sambil mengetuk daun pintu yang sedia terkuak itu.
Sekali lagi Haji Nurzuki mengangguk. Kini kedua-dua anaknya telah ada di depan mata.
“Duduk dulu Illy, Adli. Ayah ada hal penting nak beritahu kamu berdua.”
Natilly yang sejak tadi berdiri, menarik kerusi malas di pinggir katil ayahnya lantas melabuhkan punggung menghadap wajah tua itu. Adli pula terlebih dahulu ditarik oleh Haji Nurzuki untuk duduk di sebelahnya. Lembut tangan tua itu mengusapi kepala si bongsu.
Seketika Haji Nurzuki mengesot sedikit ke belakang lalu dengan susah payah mengeluarkan kotak kecil dari laci katilnya.
“Illy...” Hanya sepatah nama itu yang disebut. Kemudian mengorakkan senyuman.
Natilly membisu. Keliru dengan perlakuan ayahnya.
“Illy, ini adalah barang kemas tinggalan arwah mak. Ayah rasa inilah masa paling sesuai untuk diserahkan kepada Illy, nak,” ujar Haji Nurzuki sambil menghulurkan kotak kecil bertatah bunga perak di atasnya.
Perlahan dan penuh hati-hati, Natilly membukanya. Bulat matanya memandang barang-barang kemas itu.
Haji Nurzuki tersenyum lagi. Tahu gejolak perasaan anak gadisnya itu. Hati mana yang tidak terharu dan tersentuh apabila memegang barangan berharga tinggalan arwah emak.
“Tapi ayah, Illy...” Suara halus itu tersekat di kerongkong. Sebak.
“Illy, amanah mak mintak ayah serahkan pada Illy lepas hari pernikahan Illy. Tapi ayah rasa lebih baik kalau ayah serahkan malam ni. Sekurang-kurangnya Illy boleh pakai untuk esok.”
Natilly terdiam. Beberapa detik dia berbicara dari hati ke hatinya sendiri. Kalau sudah emaknya minta diserahkan barang itu selepas hari pernikahan, mengapa pula ayahnya menyerahkan barang kemas itu sekarang.
“Illy... Illy...” Haji Nurzuki menggoncang lembut bahu Natilly.
“Ya... ya... ayah. Terima kasih, ayah,” ucap Natilly gugup bila tersedar ayahnya sudah berulang kali memanggil.
Selepas itu Haji Nurzuki mengeluarkan buku simpanan dari kocek baju melayunya.
“Ini pula untuk Adli. Arwah mak ada buat simpanan untuk Adli. Semua simpanan ini adalah untuk perbelanjaan pelajaran Adli.” Haji Nurzuki menarik tangan Adli lalu buku simpanan itu digenggam kemas ke dalam telapak tangan anaknya itu.
“Ayah, kenapa ayah bagi Adli buku simpanan ni? Kan ke lebih baik kalau ayah yang simpankan untuk Adli?”
“Tak apalah Adli. Simpanlah buku ni baik-baik. Lagipun ini kan pemberian arwah mak untuk Adli.”
Pandangan Haji Nurzuki jauh menyorot ke dalam renungan Adli. Ditenung dan dielus pipi mongel si bongsu penuh kasih.
“Ayah?” Hampir serentak Natilly dan Adli memanggil.
Cepat-cepat Haji Nurzuki melarikan pandangan. Bimbang ladungan air matanya dikesan.
“Ayah, kenapa ni ayah? Kalau ada apa-apa salah silap kami, ayah beritahulah. Kalau ayah ada masalah pun, beritahulah kami. Mana tahu kalau-kalau Illy boleh tolong,” pujuk Natilly.
Baik atau buruk, sedih atau gembira biarlah mereka harungi bersama. Tidak sanggup dia membiarkan ayahnya terus-terusan dirundung kesedihan sedemikian rupa.
“Entahlah Illy, ayah pun tak tau apa yang merunsingkan ayah. Tapi malam ni ayah rasa sayu sangat. Tambahan lagi bila mengenangkan Illy yang akan tinggalkan ayah bila dah kahwin nanti.”
“Ayah... walau apapun yang akan terjadi, Illy tak akan tinggalkan ayah dan Adli. Ke mana saja kami berpindah, ayah dan Adli akan bersama. Ayah jangan risau. Illy dah bincang dengan Nasrul dan memang begitulah perancangan kami.”
Haji Nurzuki seakan tidak mendengar pengakuan Natilly itu. Dia terus melayarkan kata-katanya.
“Ayah ni dah tua Illy. Entah esok atau lusa, ayah pun akan ikut arwah mak. Nanti kalau ayah dah tak ada, Illy jaga Adli ya, nak. Kesiankanlah adik Illy ni.”
“Apa yang ayah lalutkan ni? Ayah, tolonglah... jangan cakap yang bukan-bukan macam ni. Kesiankanlah kami.”
Air mata Natilly tumpah meruah. Resah hatinya kian memuncak. Adli terkedu. Mulutnya bagaikan terkunci. Hatinya tiba-tiba menjadi kecut. Sedangkan Haji Nurzuki pula tampak bersahaja dan ada kelegaan yang bertandang ke wajah tua itu. Mungkin terlepas sudah segala bebanan perasaan bila kerunsingannya sudah diluahkan.
Sekali lagi Haji Nurzuki mengusap kepala Adli. Anak remaja itu terpaku. Bagaikan bermimpi dengan apa yang didengarnya. Sebak di hati makin membungkam rasa.
“Illy, Adli... anggaplah Abang Riz tu pengganti ayah dan mak. Ayah percaya, Abang Riz mampu memberi perhatian yang sebaiknya pada kau orang berdua.”
“Ayah...”
Hanya sepatah itu sahaja yang mampu dizahir oleh Natilly. Kata-katanya kian karam dalam suasana tidak keruan itu. Luluh jiwanya mendengar pesanan si ayah.

MALAM kian larut. Haji Nurzuki masih terkebil-kebil memandang siling. Hatinya sungguh sayu malam ini. Dan rasa sayu itu silih berganti dengan kerinduan terhadap arwah isterinya. Sudah empat tahun Hajah Rina pulang ke rahmatullah. Namun begitu, kasih dan sayangnya tidak pernah pudar.
Entah mengapa, malam ini rindunya terhadap arwah isterinya membuak-buak. Dengan tangan yang terketar, Haji Nurzuki mencapai gambar dari meja di sisi katil. Diusapnya dengan hujung jari telunjuk.
‘Ina, esok Illy akan bernikah. Makin sunyilah rumah ni nanti bila Illy pindah ikut suami dia.’
Haji Nurzuki bermonolog sendiri. Melepaskan keluhan resah seorang ayah. Esok tanggungjawab yang dipikulnya sejak 23 tahun akan berpindah tangan. Alhamdulillah... selama ini dia telah menyempurnakan amanah ALLAH dan isterinya itu memberi didikan dan kebahagiaan dunia akhirat kepada Natilly. Dia telah melakukan sedaya upaya dan sebaik mungkin.
Masih jelas di ingatan Haji Nurzuki pesanan terakhir arwah isterinya agar dia memberi kasih sayang sepenuhnya terhadap Natilly dan Adli. Disebabkan itu jugalah dia bertekad untuk tidak berkahwin lain walaupun kesepian sering kali mengujinya.
‘Insya-ALLAH Ina, abang janji akan tunaikan amanah ini dengan sebaik mungkin.’
Itulah amanah yang dipegangnya hingga ke saat ini. Janji-janji itu bagaikan baru semalam dilafazkannya. Dan alhamdulillah... dia telah pun menunaikannya.









Sinopsis : CINTA MARISSA
Marissa meninggalkan keluarganya setelah putus cinta. Dari seorang gadis yang lembut dan penyayang, Marissa berubah menjadi kasar, degil dan pemarah. Pelbagai kisah suka dan duka menimpanya.



GELORA JIWA
HARI Khamis berikutnya, Fairus selamat sampai ke rumah dari Johor Baharu. Wajahnya agak pucat. Gerak lakunya sedikit pantas, kasar dan agresif. Tanpa memberi salam ketika masuk ke rumah, tanpa menyapa emak yang sedang duduk di hadapan TV sambil melipat kain, dia terus meluru masuk ke biliknya dengan wajah bermasalah.
Aku dan emak berpandangan. Kami hairan melihatnya.

“Adalah halnya adik kau tu.” Emak sekadar memberi komen bersahaja. Mungkin dia sudah terbiasa dengan kerenah anak-anaknya sehingga tingkah Fairus yang berbeza ketika itu sudah menjadi perkara biasa padanya.
Aku hanya menggeleng sambil tersengih. Bila emak seakan tidak ambil pusing, aku terus menyambung semula pembacaanku yang tergendala tadi.
“Kau pergi tengok adik kau tu Intan. Balik dari Johor, macam ada masalah aje,” tegur emak.

Aku mengerutkan dahi. “Biarkanlah dia macam tu mak. Orang tengah penat. Kejap lagi, eloklah dia.”
“Pergilah sekejap. Kalau mak, tentu dia kata tak ada apa,” desak emak lagi.
Aku diam. Mengeluh tidak, cuma malas mengulit diri. Patuh dengan arahan emak, aku meletakkan majalah di atas meja kopi dan meluru ke biliknya.
“Yus?” panggilku.

Fairus diam. Tiada jawapan.
Aku melangkah masuk ke biliknya. Dia sedang baring di atas katil. Wajahnya kelihatan seperti memikirkan sesuatu.
“Apahalnya kau ni? Semacam aje?” tegurku.
Dia mengalih pandangannya kepadaku. Tajam renungannya. “Berapa lama akak kenal kawan akak tu?”
Aku terkejut sedikit. “Kawan yang mana satu ni?”
“Alah!” Nada suaranya sedikit keras. “Yang mana lagi.”
Adakah Hanif yang dimaksudkannya? “Kenapa tanya?”
“Jawab ajelah.” Suaranya masih tidak berubah.
Aku semakin pelik dengan sikap Fairus. Aku amati wajahnya. Aku lihat, dia cuba mengawal perasannya. “Eh, kenapa nak marah-marah orang ni?”
Wajah Fairus terus mencuka.

Aku mula tidak senang hati. “Apahal dengan kau ni? Kenapa tiba-tiba nak tahu pasal akak dengan dia?”
“Akak tahu tak siapa dia yang sebenarnya? Akak dah kenal siapa dia? Dia ada beritahu akak tak siapa diri dia yang sebenarnya?”
Kerisauan mencengkam ketenanganku. Perasaanku sedikit terganggu. “Kenapa cakap macam tu? Apa dah jadi dengan Hanif?”
Fairus mengeluh panjang. Dia kembali duduk. Rambutnya kelihatan sedikit kusut. Dia bangun semula dan berjalan ke arah tingkap. Memerhati jauh ke luar jendela sebelum berpaling menatap wajahku.
Rumit benarkah masalah yang dihadapinya?
“Yus jumpa dia di sana.”

Aku terkejut lagi. “Oh, iya ke?”
Dia mengangguk memandangku tajam. “Dia beritahu akak dia ke Johor?”
Aku termangu-mangu dengan soalannya itu.
“Ada tak dia beritahu?” tekan Fairus.
“Mana ada,” jawabku tetap kabur dengan maksudnya. “Sejak kebelakangan ini kami dah jarang call.”
“Yus jumpa dia di sana.” Dia mengulangi kata-katanya. Sedikit marah.
“Dia sihat ke? Kat mana kau jumpa dia? Dia nampak kau?” tanyaku tanpa sedikit pun menyembunyikan perasaan riangku daripada Fairus.
Fairus mendengus. “Yus nampak dia tengah beli barang. Belum sempat Yus nak approach dia, ada budak panggil dia dari dalam kereta.”
Aku melihat wajah Fairus. Sedikit demi sedikit rasa tidak senang hati mula menjalar dalam diri.
Fairus terus menambah. “Akak nak tahu apa budak tu panggil dia?”
Aku diam, tapi terus menunggu.
“Daddy!”

Aku tersentak. Berguraukah Fairus ni? Atau telingaku yang tidak berapa jelas. Atau bukan Hanif yang dipanggil daddy oleh budak yang diceritakan oleh Fairus itu.
Fairus menunggu reaksiku. Mungkin kerana memikirkan aku agak lama untuk mempercayai kata-katanya, dia mengulangi kenyataan itu dengan lebih tegas.
“Hanif Kak Intan tu, dah ada anak. Yus nampak dia dengan anaknya kat JB dengan dua biji mata Yus ni!”
Saat itu, aku terasa langit bagaikan runtuh menghempap tubuh. Lutut jadi lemah serta-merta. Degupan jantung seakan terhenti. Tapi aku perlu bertahan untuk memastikan yang telingaku memangnya tidak silap mendengar apa yang dijelaskan oleh Fairus tadi.
“Anak saudara dia kot?” Aku cuba mengalih tanggapan Fairus. Dia memandangku sambil menggeleng.
“Budak tu panggil si handsome tu, daddy. Daddy tu apa maknanya dalam bahasa Melayu?” tanya Fairus sinis akan kebodohanku. Dia benar-benar marah.
“Betul ke kau tak silap dengar, Yus?” soalku dengan perasaan hancur dan luluh.

Fairus menggeleng perlahan. “Rasa macam nak sergah dia waktu tu,” dengusnya marah.
“Entah-entah pelanduk dua serupa tak?” Aku masih mengharapkan yang dia tersilap orang. Namun saat itu, setitis air mata sudah jatuh ke pipi.
“Terpulanglah kalau akak nak menyedapkan hati akak. Tapi demi Allah, Yus tak silap orang, kak. Memang itu dia. Kereta dia, Waja, warna kelabu. Betul, kan?”

Saat itu, air mataku tumpah tanpa henti. Aku tidak mampu bertahan lagi. Tanpa segan silu, aku terduduk di mana aku berdiri. Longlainya tubuhku sehingga hendak bernafas pun, aku sudah tidak tahu. Aku bingung. Aku sudah tidak berdaya. Terasa nyawaku sudah dibawa pergi.
Apa sudah jadi dengan diriku? Kenapa bila separuh dari nyawaku menjadi miliknya dan separuh dari nyawanya menjadi milikku, hakikat yang sebenar baru terserlah? Kenapa tidak dahulu lagi kebenaran ini menguji aku, sebelum rasa sayang terhadapnya terbit dalam hati ini?
Fairus meluru mendapatkan aku. “Jangan macam ni, kak. Bangun... mesti ada penjelasan untuk semua ini,” ucap Fairus sambil cuba mengangkat tubuhku ke katilnya.
Aku tidak berdaya lagi untuk berdiri, apatah lagi untuk berjalan ke arah katil bujangnya.

“Kak, tolonglah jangan macam ni. Mungkin Yus yang silap. Mungkin Yus salah dengar. Mungkin itu anak saudara dia aje. Mesti ada penjelasannya, kak. Sekarang ni, akak jangan fikir yang bukan-bukan. Telefon dia dan tanya baik-baik,” pujuk Fairus. Dia cemas melihat perubahan mendadakku.
Aku menakup wajahku. Cuba menghalang titisan air mata yang terus mengalir. Entah kenapa, cerita Fairus itu bagai mencucuk-cucuk perasaanku. Jiwaku tidak dapat menerima, tapi ada sesuatu yang membuatkan diri ini tidak mampu menolak kebenaran yang Fairus jelaskan.
“Calllah dia, kak,” pinta Fairus.
Aku menggeleng sahaja. Tidak dapat berkata-kata. Malah aku tidak dapat berfikir apa-apa pun saat itu.
Fairus terus berada di sisiku. “Nah, ambil telefon ni. Cakap dengan dia. Mana tahu ke, budak yang Yus jumpa, anak angkat dia ke. Boleh jadi jugak tu!”

Anak angkat? Aku melihat wajah Fairus dengan fikiran yang kosong. Mungkin juga budak perempuan itu hanya anak angkatnya sahaja. Ya, mungkin.

Namun, entah kenapa tiba-tiba sahaja ada sesuatu yang menarik-narik ingatanku terhadap ceritanya dahulu. Tentang kawannya yang berkahwin dengan seorang wanita yang menjadi mangsa rogol lalu mengandung. Tentang bagaimana gadis malang itu menemui ajal. Tiada siapa yang mahu bertanggungjawab untuk mengambil bayi tersebut untuk dijadikan anak angkat. Tiada siapa yang mengasihani bayi tersebut hanya kerana bayi itu tidak sempurna sifatnya.
Atas dasar perikemanusiaan dan agama, lelaki ini tidak mahu mempersia-siakan kelahirannya. Dia sanggup bersusah payah membela bayi itu bagaikan anak sendiri.

Aku menatap wajah Fairus sekali lagi. Perasaanku bercampur-baur.
“Apa?” tanya Fairus terkejut. Wajahnya cemas. Mungkin dia melihat diriku yang agak kaku sebaik mengetahui sesuatu yang ‘lebih’ dari cerita yang disampaikannya tadi.
“Mungkin itu memang anak dia.”
Melopong mulut Fairus. “So, selama ni, akak dah tahu background diri dia?”
Aku menggeleng. Titisan air mata tetap mengalir deras. Semuanya masih kabur. Tapi tetap mengandungi sesuatu yang pasti buatku. Aku beristighfar akan kebesaran ALLAH yang Dia tunjukkan kepada hamba-Nya yang kerdil ini.

“Kenapa ni?” Fairus semakin kalut melihat perubahanku yang tiba-tiba ini.
Aku kembali menakup wajahku dengan kedua tapak tangan buat seketika waktu. Aku sungguh-sungguh tidak percaya apa yang sedang aku fikirkan terhadap Hanif.
“Kenapa ni?” Fairus sudah mendekati diriku.
“Yus, kalau benar apa yang akak fikirkan ini betul, maknanya Hanif bukan orang lain dengan kita, Yus,” kataku dengan perasaan yang lebih bererti. Malah buat seketika, jiwaku terasa gembira terutama pada mak long.
Fairus terpinga-pinga.

“Dia abang sepupu kita. Anak mak long yang menghilangkan diri selama ni. Dia Hanif Ashman, abang pada Azman sendiri.”
Fairus terus terpinga-pinga. Saat itu, aku semakin yakin bahawa lelaki yang bernama Hanif Ashman itu adalah saudara lelaki kami.
“Kita dengan dia sepupu. Bersaudara!” tegasku.
“Biar betul,” ucap Fairus. Mulutnya terlopong. Terkejut!
Aku mengangguk pantas. Mengiakan apa yang aku sangkakan. Dan saat ini aku semakin yakin dengan sangkaanku itu. Aku rasa puas dengan teka-teki yang sudah terjawab. Walaupun jiwa terasa luka, namun aku turut terkedu dengan kesimpulan ini.

Aku mundar-mandir di dalam bilik. Apa yang perlu aku lakukan jika Hanif Ashman itu memang benar anak mak long dan pak long?









IMPIAN KASIH
Pagi-pagi lagi Hazita sudah bertembung dengan Amer. Walaupun dia ingin mengelak, tapi Amer segera menahannya. Amer tahu Hazita marah dengannya kerana tidak melayan panggilannya sejak semalam. Sebenarnya, Amer ingin menjelaskan hal itu pada Hazita. Cuma dia tidak tahu bagaimana hendak memulakannya.

"Zita, kita ke kafe sekejap."
"Ni kan waktu kerja, mana boleh buang masa kat kafe?" ujar Hazita.
"Tempat lain tak ada privacy. Saya kena cakap sekarang jugak," kata Amer seakan mendesak.

"Amer, kalau hal peribadi, kita tangguh sampai malam ni. Awak tu kan Pengurus JSM. Janganlah tunjukkan contoh tak baik. Kalau awak sering mengkritik orang lain agar tidak menggunakan waktu pejabat untuk melakukan urusan peribadi, awak pun mestilah patuh," sindir Hazita.
Meskipun marah dengan kata-kata Hazita itu, Amer akui kebenarannya. "Kalau dah macam tu cakap awak, baiklah. Malam ni. Jangan lupa. Saya jemput awak jam 8.00."

Dia tahu Hazita sengaja mengenakannya kerana marah dengan perubahan sikapnya. Amer segera berlalu menuju ke biliknya. Fikirannya terus berserabut. Dia bimbang kalau Hazita tahu mengenai rahsia yang selama ini disimpannya. Jika hal itu berlaku, pastinya hubungan mereka akan hancur di tengah jalan. Sedangkan dia sudah berkira-kira untuk melamar Hazita secepat yang mungkin.

MALAM itu, Hazita dan Amer menikmati hidangan di Restoran Tarbush di Jalan Bukit Bintang. Hazita melangkah masuk ke restoran itu buat kali pertama. Fikirannya terasa aman seketika. Satu fenomena baru yang amat menyegarkan. Ruang restorannya membawa pengaruh Timur Tengah dengan gabungan hiasan dalamannya. Pilihan perabot yang berwarna coklat muda dan bersaiz sederhana menjadikan restorannya nampak mewah. Kemudian, mereka naik ke tingkat atas untuk mendapatkan suasana lebih privacy.
Di tingkat atas lebih menarik dan ruangnya agak lapang. Dindingnya menggunakan rona kuning yang diselang-seli dengan penataan warna merah dan biru.

Amer menuju ke sudut yang agak terlindung. Hazita hanya mengekori langkah lelaki itu tanpa banyak kerenah. Tiba di sudut yang dirasakan sesuai, Amer mempersilakan Hazita duduk.
"Kita lihat menu ya, pilih aje mana yang berkenan," kata Amer sambil memandang ke arah Hazita.

Pandangan tajam itu membuatkan Hazita tidak keruan. Memang mata itu yang dirinduinya sejak beberapa hari lalu. Tapi kerinduan itulah yang telah menyeksa dirinya. Menyebabkan dia cuba mencampak jauh perasaannya agar tidak sarat dalam fikirannya. Namun, apakan daya. Pelariannya tidak kesampaian kerana dia tidak mampu mengelak dari bertemu dengan lelaki itu.

"Kalau hujung minggu, penuh restoran ni," tambah Amer apabila mendapati Hazita masih mencari menu yang ingin dicubanya. Belum pun sempat Hazita bersuara, seorang pelayan wanita menghampiri mereka. Amer segera mengalihkan perhatiannya pada pelayan itu. Hazita hanya memerhatikan Amer membuat pesanan.

"Saya nak Shish Tawook, Tobouleh dan teh Lebanon," balas Hazita sambil melarikan pandangannya ke persekitaran restoran. Terdapat lima meja yang penuh dengan pelanggan. Manakala yang lain masih kosong. Mungkin hari kerja menyebabkan restoran ini tidak penuh.
"Biasa datang sini?" soal Hazita lagi.

Dia menatap wajah Amer setelah berusaha mengumpul kekuatan sejak tadi. Dia tidak mahu perasaan cinta yang memenuhi jiwanya sekarang melemahkan dia. Hazita sedar yang dia perlu tegas dengan lelaki ini. Dia tidak mahu cintanya dipermainkan untuk kali kedua. Tetapi penjelasan yang betul-betul konkrit, perlu Amer berikan padanya malam ini.
"Adalah dua tiga kali, dengan kawan-kawan lama."
"Semalam, awak keluar dengan kawan lamalah ya?" Hazita tidak mampu menutup lagi gejolak perasaannya sejak semalam. Dia mahukan kepastian daripada lelaki itu sekarang juga!
"Itulah yang saya nak jelaskan pada awak pagi tadi," kata Amer cuba bersikap jujur.

"Okey, apa pulak penjelasan awak kali ini?" soal Hazita yang mulai bosan untuk mendengar penjelasan demi penjelasan daripada Amer. Dalam hatinya kuat mengesyaki yang Amer sedang merahsiakan sesuatu daripadanya.
"Sebenarnya, pagi semalam, saya mendapat berita yang mengejutkan. Ibu saudara saya meninggal dunia. Jadi, saya pergi ziarah kubur dia." Amer memulakan pembelaannya dengan tenang. Dia yakin dia berada di pihak yang benar. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukannya. Wajahnya sengaja dikeruhkan sedikit agar kelihatan lebih dramatik.
"Oh, Innalillahiwainnailaihirajiun..." Spontan perkataan itu keluar dari mulut Hazita.
"Saya rasa terkilan sebab tak dapat menatap wajahnya pada saat akhir."
Tiba-tiba sahaja timbul rasa simpati pada lelaki itu. Mahu sahaja diraih tubuh Amer untuk meminta maaf atas salah fahamnya sebelum ini. Tapi, dia tahu hubungannya dengan Amer masih terbatas.
"Kenapa tak beritahu saya? Kalau tidak bolehlah saya menziarahi keluarganya," ujar Hazita penuh simpati.
"Saya tak mahu susahkan awak. Lagipun, masanya tak sesuai," jelas Amer.
"Sakit atau meninggal mengejut?" soal Hazita cuba mengambil berat.
"Kanser payu dara, dah lama," jawab Amer perlahan. Di ruang matanya terbayang semula wajah Hafsah.
"Kesian... Anak dia berapa orang?"
"Seorang, perempuan."
"Dah kahwin?"

"Belum, baru habis UiTM."
"Jadi, sekarang dia tinggal dengan ayah dia ajelah!"
"Entahlah. Sebenarnya cerita Mak Su saya tu agak sedih sikit. Dia berpisah dengan suaminya ketika anak dia masih kecil lagi. Lepas tu mak saya bawa mereka tinggal dengan kami. Selepas mak saya meninggal, dan saya ke Korea, saya serahkan rumah itu pada Mak Su dan anaknya. Tapi tak sangka umur Mak Su tak panjang. Tak tahulah sama ada sepupu saya tu nak tinggal terus di rumah itu atau berpindah ke rumah ayahnya," jelas Amer.
"Jadi... hubungan anak dengan ayah taklah putus?"
"Dulu ya, tapi masa Mak Su saya dah tenat, sepupu saya, Safrina cari ayahnya sebab Mak Su nak jumpa buat kali terakhir. Lepas itu, ayahnya pujuk Safrina tinggal dengannya."
"Namanya Safrina. Hmm... sedap nama tu. Mesti cantik orangnya.” Rasa cemburu mulai merayap di hati Hazita.
"Memang cantik, tapi awak lagi cantik," balas Amer mahu menyenangkan hati Hazita.

"Ya lah tu. Eh... Mak Su awak tak wasiatkan apa-apa ke? Misalnya suruh jaga anak dia dengan baik. Atau kahwin dengan anak dia?" Entah mengapa, terpacul kata-kata nakal itu daripada mulut Hazita. Dia sengaja ingin menduga. Walaupun pada Hazita kata-katanya itu tidak mengandungi sebarang maksud, namun pada Amer kata-kata itu menyentap perasaannya.
Hazita tahukah hubungan aku dengan Safrina? Tapi macam mana dia boleh tahu? Ah, mungkin dia main serkap jarang aje, bisik hati kecil Amer lagi.
"Tak adalah. Mak Su tahu yang saya anggap anak dia macam adik sendiri."
"Ya ke? Tapi kadang-kadang hati perempuan ni sukar diduga. Bila ada lelaki yang tunjuk baik atau mengambil berat, dia mudah jatuh hati. Atau setidak-tidaknya mengandaikan yang lelaki itu sukakan dia. Macam awak dengan Rohaina dulu," ujar Hazita selamba.

Sebenarnya dia sengaja menimbulkan kemungkinan itu kerana yakin bahawa Amer mempunyai hubungan yang lebih istimewa dengan Safrina kerana sikap Amer merahsiakan kematian ibu saudaranya sebelum ini agak aneh bagi Hazita. Jadi, dia cuma mahu memastikan apakah Amer ada menyimpan perasaan pada sepupunya itu.
"Eh, tak adalah. Awak ni pandai-pandai aje nak serkap jarang. Kami membesar bersama dan hubungan kami hanya sebagai adik dan abang, tak lebih daripada itu. Lagipun saya memang nak bawa awak jumpa dia malam ni. Itu pun kalau awak sudi," jelas Amer lagi.
"Dia dah tahu pasal saya ke?"
"Belum. Tapi apa salah kalau bakal kakak ipar berkenalan dengan adik ipar. Tak gitu?" ujar Amer sambil mencuit hidung Hazita. Lega sungguh hatinya kini apabila melihat Hazita tertawa riang. Wajahnya yang muram tadi sudah lenyap entah ke mana"Saya bukan apa. Cuma orang lelaki selalunya tidak tahu atau pura-pura tak tahu hendak memahami hati wanita. Dah terhantuk baru nak terngadah."

"Amboi, tak baik tuduh lelaki macam tu," bantah Amer pura-pura merajuk.
"Bukan tuduh, tapi kenyataan. Lelaki bijak menyusun kata-kata tapi kurang bijak dalam menilai implikasi yang bakal timbul hasil daripada kata-katanya itu. Kadang-kadang mereka tak dapat bezakan antara perkara serius dan perkara main-main. Soal cinta adalah serius bagi perempuan tapi kadangkala tidak bagi lelaki." Hazita memberikan pandangannya. Dia bukan berniat untuk menuduh Amer tetapi sekadar mengingatkannya.
"Aduh, ini serangan peluru berpandu Amerika atau Iraq?" Amer berseloroh sambil tertawa.
"Tak, ini baru peluru pistol buatan China. Kalau nak rasa peluru berpandu, awak buatlah hal. Bukan setakat peluru berpandu, bom atom pun saya boleh gugurkan," komen Hazita sambil tergelak.
Meskipun kata-kata Hazita itu berbaur gurauan namun mempunyai mesej yang mendalam. Dia menerima penjelasan Amer malam itu sebagai sebuah penjelasan yang ikhlas tapi dia tidak akan maafkan Amer andainya lelaki itu membohonginya untuk melepaskan diri.
"Eh... makanlah. Nanti sejuk tak sedap," ujar Amer bersahaja walaupun dalam fikirannya masih bimbang andainya Safrina masih marahkan dia dan enggan menerima kehadiran Hazita nanti. Atau Safrina akan menceritakan kepada Hazita tentang hubungan mereka dulu.
"Sedapnya 'Shisi Tawook' ni. Macam ayam percik pun ada. Tapi cara panggang dan sosnya lain," ujar Hazita yang baru pertama kali merasa ayam panggang Lebonan itu.

"Memang sedap, tapi saya lagi suka makan Sharwarma with hommos chicken ni. Rasalah..." kata Amer sambil mengunyah makanannya perlahan-lahan. Lupa sebentar dia tentang masalah dalam kepalanya.
Tepat jam 9.30 malam mereka meninggalkan restoran itu. Mereka perlu bergerak segera kerana hendak singgah di rumah Safrina. Amer bimbang kalau Safrina sudah tidur. Hazita pula lebih banyak bermain dengan perasaan sendiri sepanjang perjalanan itu. Dirinya antara percaya dengan tidak malam ini, untuk julung kalinya dia akan berkenalan dengan saudara Amer.

Dia tertanya-tanya bagaimana penerimaan sepupu Amer nanti. Entah kenapa nalurinya bermain dengan anggapan yang bukan-bukan. Hazita risau andainya Safrina tidak dapat menerima kehadirannya. Manalah tahu, kalau Safrina terlalu berharap pada Amer setelah ibunya meninggal dunia.











SEPI TANPA CINTA
HAziqah berjalan mundar-mandir di ruang tamu. Suasana bising di segenap sudut rumah langsung tidak menarik minatnya. Dia gelisah. Sudah berkali-kali dia cuba menghubungi Yusri. Namun, tidak berjaya. Dia risau seandainya ada perkara buruk yang berlaku di saat perkahwinan mereka hampir tiba dua hari lagi. Tetamu yang datang di rumahnya untuk merewang sudah semakin ramai. Malah majikan tempat ibunya, Aminah yang bekerja sebagai pembantu rumah juga turut hadir untuk membantu menyediakan persiapan sebelum pernikahan. Puan Haryati memang baik. Apa sahaja keperluan Haziqah semua disediakan walaupun kini ibunya sudah berhenti kerja.

“Macam mana Ziqa? Dapat tak kau hubungi Yusri?” Sumaiyah kawan Haziqah muncul dari muka pintu.
“Manalah Yusri pergi ni? Aku risaulah,” adu Haziqah bersama keluhan kecil. Emaknya, Aminah yang sedang sibuk menyiapkan bunga telur bersama jiran-jiran di satu sudut rumah sekadar memandang ke arah mereka. Kemudian dia menyambung kembali kerja-kerja menyediakan barang hantaran. Di hati Aminah, perasaan risau turut bertandang. “Aku cuma berharap Yusri ada di waktu pernikahan kami nanti.” Kata-kata Haziqah kedengaran perlahan.
“Kau jangan main-main Ziqa! Majlis pernikahan kau sekarang ni cuma tinggal dua hari saja lagi.”
“Aku tahu!” “Habis tu? Kau kena cari Yusri hari ni jugak. Sekurang-kurangnya kau tahu kat mana Yusri berada!”
“Betul ke Yusri tu ikhlas ajak kau kahwin ni? Entah-entah Yusri tu...”
“Entah-entah apa?”
“Dari dulu lagi aku pernah cakap yang aku tak suka kau berkawan dengan Yusri. Kau ingat, kan?”
“Bila Yusri mula melamar kau, aku dah mula syak yang Yusri tu tak serius. Aku rasa Yusri tu sengaja ambil kesempatan sebab kau popular kat kampung kita ni.” Haziqah kembali duduk di kerusi. Gelisah dan resah berbaur menjadi perasaan yang sukar digambarkan.
“Macam mana kalau tiba-tiba Yusri buat perangai sebelum majlis kau ni berlangsung? Apa kau nak buat?”

“ASSALAMUALAIKUM. “Waalaikumussalam.”
“Kak Ziqa, ada tak Kak Sue?” “Ada kat dalam. Kenapa?”
“Abang Yusri kirimkan Kak Ziqa bungkusan dan surat ni.” “Mana Abang Yusri?” Ijat hanya menjungkitkan bahu.
“Habis, Ijat ambil barang-barang ni daripada siapa?”
“Ada orang suruh hantarkan.”
“Siapa?”
“Entah... Ijat tak kenal.”
“Hmm... tak apalah.” Sumaiyah meneliti sepucuk surat di tangannya dan bungkusan kecil yang berbalut kemas itu sebelum menapak masuk ke dalam rumah.
“Siapa Sue?” Tiba-tiba Haziqah muncul. Sumaiyah menunjukkan surat dan bungkusan kecil itu. “
" Untuk siapa?” tanya Haziqah.
“Kau.”
“Daripada siapa?”
“Yusri.” Dengan rasa berdebar dia mencapai. Hatinya rasa tidak menentu. Gementar, risau dan gundah mula bercampur menjadi satu.

Ziqa,
Memang payah untuk Yus membuat keputusan. Berjaya mendapat cinta Ziqa adalah satu anugerah yang terindah buat Yus yang akan Yus kenang sampai bila-bila. Tapi... maafkan Yus. Perkahwinan ini tidak dapat diteruskan. Bohonglah seandainya Yus katakan yang Yus sanggup menerima Ziqa di atas apa yang telah berlaku.

Yus bukan lelaki yang sanggup menerima kelemahan orang lain. Apa yang Yus mahukan adalah kesempurnaan dan Yus tak dapat menerima kenyataan seandainya isteri yang bakal menghuni dalam hidup Yus sebenarnya sudah tiada serinya lagi. Cukuplah sampai di sini hubungan kita. Anggaplah Yus menolak Ziqa kerana kita masih muda dan mentah. Tidak mampu meneraju sebuah bahtera perkahwinan yang murni itu bersama...

Yusri
KENAPA kau buat aku macam ni Yusri? Apa salah aku sampai kau sanggup fitnah aku sebegitu rupa? Aku malu! Sampainya hati kau! Haziqah merintih. Kerana fitnah yang kau cipta itu, maruahku mula dipersoalkan oleh orang kampung! Kesucianku pula diperkotak-katikkan! Sedangkan kau tahu aku tak mungkin akan menjadi perempuan semurah itu. Sanggup kau tinggalkan aku bersama dengan tanda tanya di benak semua orang. Emak! Emak seolah-olah tidak mempercayaiku lagi.

Emak jatuh sakit dengan kandungan surat tempoh hari. Dan kini, hidupku telah musnah. Tempat yang sepatutnya kau huni sebagai suami itu telah digantikan dengan orang lain. Aku terpaksa bernikah dengan lelaki yang aku tidak kenal hati budinya. Betapa terseksanya aku waktu ini! Kau sepatutnya tahu Yusri...

“PUASLAH hati kau! Kau beli jiwa mak aku, lepas tu kau suruh mak aku paksa aku kahwin dengan kau demi menutup malu keluarga kau!” Jeritan lelaki itu begitu memeranjatkan Haziqah yang sedang bersendirian di bilik. Air mata yang sudah kering, mula bertakung lagi. Haziqah berpaling perlahan. Fakrul nampak kusut walaupun lengkap berbaju Melayu Teluk Belanga yang dipakai sewaktu majlis akad nikah berlangsung tadi. “Perempuan murah!” jerkah Fakrul.
“Jangan tuduh saya macam tu!”
“Habis, apa yang kau nak aku cakap? Memang perempuan murahlah namanya kalau tunang sendiri tuduh yang kau dah tak suci!” Haziqah ingin berkata sesuatu tetapi tidak jadi apabila melihat Fakrul melangkah ke bilik mandi. Lantas kata-kata amarah emaknya dua hari lalu menerjah kembali ke ingatan.
“Mak tak sangka kau macam ni! Kau ingat diri kau tu apa Ziqa? Kita ni perempuan kampung. Kenapa kau sanggup gadaikan maruah kau?”
“Ziqa tak lakukan mak!”
“Jangan nak tipu mak! Kalau kau tak lakukan, Yusri takkan tinggalkan kau!”

“MACAM mana kita nak berdepan dengan orang kampung Ziqa?” Haziqah tidak mampu menjawab Hanya air matanya yang bergenang.
“Kau pergilah beritahu orang kampung yang majlis kau dah tak jadi. Pengantin dah putus tunang! Mak tak nak fikir apa-apa lagi. Mak dah terlalu malu dengan perangai kau ni!” “Mak!” “Tak baik cakap macam tu Kak Minah,” sampuk Puan Haryati cuba meredakan keadaan.
“Apa yang aku cakap tu, memang kenyataannya Yati. Aku malu nak mengaku dia sebagai anak!”
“Ziqa sanggup buktikan pada mak yang Ziqa masih suci!” Puan Haryati dan Tuan Fuad bertukar pandangan.
“Macam mana kau nak buktikan? Kau tu perempuan yang dah tak suci! Tak ada siapa pun sanggup bertanggungjawab terhadap kesalahan kau!”
“Kalau mak nak tahu sama ada Ziqa masih suci atau tak, Ziqa akan berkahwin jugak dua hari lagi! Majlis Ziqa akan tetap berjalan!” Bibir masing-masing terkunci. Menanti kata-kata Haziqah yang seterusnya.
“Ziqa akan berkahwin dengan sesiapa saja. Mak carikanlah calon suami untuk Ziqa.”
“Kau dah gila agaknya Ziqa! Kau ingat berkahwin ni main-main?”
“Ziqa tak sanggup nak terima tuduhan sehina itu. Ziqa tak nak orang kampung memfitnah Ziqa. Ziqa akan tetap berkahwin asalkan mak dapat tahu yang Ziqa masih suci!” Aminah melepaskan nafas deras.
“Kau jangan nak mengarut!” Haziqah berpaling pantas ke wajah Puan Haryati dan Tuan Fuad.
“Makcik, pakcik. Tolonglah Ziqa. Ziqa nak buktikan yang Ziqa tak bersalah. Makcik dan pakcik carikanlah seorang lelaki yang sanggup berkahwin dengan Ziqa.”
“Kau pergi masuk ke bilik Ziqa!” pintas Aminah lagi.
“Ziqa merayu. Carilah sesiapa pun. Ziqa tak kisah! Ziqa nak buktikan yang kata-kata Yusri tu hanyalah tuduhan. Ziqa masih suci makcik,” ucap Haziqah sambil melutut di hadapan Puan Haryati. Dia menangis tersedu-sedu.
“Ya ALLAH Ziqa! Bangun nak! Jangan melutut macam ni,” pujuk Puan Haryati. Namun, saat itu Haziqah sudah tidak menghiraukan apa-apa lagi. Dia hanya mampu menangis dan merayu-rayu. Meratap pilu.
“Tak reti kenang budi. Nama saja orang kampung tapi berlagak nak jadi macam orang bandar.” Lamunan Haziqah hilang. Dia tidak menoleh ke arah Fakrul walaupun sekali. Dia rasa bersalah dengan Fakrul dan keluarga Puan Haryati.
“Jangan ingat aku terima kau, sebab aku nak tolong kau! Pergi jahanamlah! Tak pernah terlintas langsung dalam hati aku ni yang perempuan kotor macam kau boleh jadi isteri aku. Kalau tak kerana umi aku, jangan haraplah aku nak terima kau!” Kasar kata-kata Fakrul.
“Kalau awak tak setuju... kenapa awak terima?” Kekusutan yang sedang melanda ditambah lagi dengan tuduhan dan jerkahan Fakrul. Dia semakin tertekan. Harapan hanya tinggal harapan.
“Aku tak boleh tinggal kat sini. Makin lama aku tengok muka kau, makin panas hati aku ni.” Fakrul segera mencapai beg pakaiannya. Baju-baju yang dibawa sejak semalam tidak terusik. Tanpa menunggu lama, Fakrul berlalu. Namun, sewaktu kakinya tiba di muka pintu, Fakrul kembali memusing.
“Aku rasa, hukuman gantung tak bertali memang sesuai aku gantungkan pada leher kau waktu ni! Ini satu hukuman supaya kau tahu betapa seksanya hidup apabila mempermainkan perasaan lelaki,” ucap Fakrul menyebabkan Haziqah berpaling. Tetapi ketika itu Fakrul sudah hilang di sebalik pintu. Ya ALLAH! Hukuman gantung tak bertali? Benarkah apa yang aku dengar tadi? Apakah begini berakhirnya kehidupan aku? Saat itu air mata Haziqah gugur lagi. Perlahan dan kemudian lebat bagai hujan yang mencurah-curah.

Fakhrul menekan brek sepantas mungkin. Honda CRV yang dipandu dengan kelajuan 150km/j menyebabkan keretanya hampir merempuh kereta Wira di hadapannya. Terkejut dan cemas hadir dengan tiba-tiba apabila bunyi brek kedengaran begitu kuat. Saat itu bunyi hon dari pelbagai sudut juga membingitkan suasana.

ARGHH! Bodohnya aku! Kenapa aku tak membantah permintaan umi? Kenapa aku biarkan hidup aku semakin kusut dengan menerima perempuan sehina itu sebagai isteri? Fakrul bagai menangisi penyesalan yang datang.

“Tolonglah umi, Rul. Umi merayu pada kau... terimalah Ziqa sebagai isteri. Bantulah Makcik Minah supaya keluarga mereka tidak mendapat malu.
” Fakrul mengenang kembali kata-kata uminya malam tadi. Perbualan singkat yang bermula dengan perbincangan akhirnya menjadi sejarah yang tidak mungkin dilupakan. “Umi nak kau gantikan tempat tunangnya, itu aje!” Kata-kata itu membuatkan Fakrul tersentak. Hampir tersedak air yang diminumnya.
“Kenapa Rul pulak yang harus berkorban? Dah tak ada lagi ke lelaki lain kat kampung tu?” soal Fakrul.
“Kita aje yang paling dekat dengan keluarga Makcik Minah. Majlis tu hanya tinggal esok aje Rul. Malu kalau dibatalkan. Orang kampung banyak dah mengata. Umi kasihankan Makcik Minah kau.”
“Ah, Makcik Minah tu hanya bekas orang gaji kita aje. Apa yang umi nak sibukkan?” pintas Fakrul kuat membuatkan Puan Haryati bingkas.
“Jangan kurang ajar, Rul! Umi tak pernah anggap Makcik Minah kau sebagai orang gaji.” Fakrul terdiam lama.
“Umi tak kisah! Apapun yang terjadi, esok kao kena kahwin dengan Ziqa! Kalau kau tak ikut cakap umi... umi akan anggap yang kau dah menderhaka pada umi.”
“MANA Ziqa? Kenapa kau tak bawa dia sekali, Rul?” tanya Puan Haryati sewaktu ternampak Fakrul terpacul di pintu banglo sederhana mewah itu.
“Rul, umi tanya ni. Mana Ziqa?” ulang Puan Haryati lagi apabila soalannya tadi dibiarkan sepi. Fakrul yang baru sahaja ingin menapak ke anak tangga terus terhenti di situ. Dia berpaling menatap wajah uminya.
“Rul dah pun ikut cakap umi. Sekarang ni, umi pulak yang kena ikut cakap Rul.” “Apa maksud kau?”

FAKHRUL memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan. Tetap gagal untuk melelapkan mata biarpun biliknya sudah ternampak raut Azura sedang tersenyum kepadanya. Dan apabila wajah Azura menghilang, dia teringatkan Haziqah pula.
“Ah, kenapa mesti rasa bersalah? Aku telah lakukan apa yang sepatutnya!” Fakrul cuba menyedapkan hati.
“Tak baik Rul! Berdosa seksa anak gadis orang macam tu.” Entah mengapa telinga Fakrul bagaikan terdengar ada suara orang berbisik-bisik. Fakrul bingkas. Memerhati sekeliling bilik yang sunyi sepi dan gelap itu.
“Haziqah dah sah jadi isteri kau! Kenapa mesti seksa dia lagi? Dia dah cukup menderita dengan keadaan yang menimpa! Kenapa harus ditambah lagi penderitaannya?” Bisikan itu makin hampir di telinganya.
“Dia dah tak suci!” “Kau pasti dengan tuduhan tu?” Fakrul diam seketika.
“Kalau tak tahu, kenapa harus menghukum Ziqa dengan tuduhan yang kau sendiri tak pasti? Tak adil namanya!”
“Memang patut pun dia dihukum macam tu. Perempuan yang mempermain-mainkan perasaan lelaki.”
“Kau marahkan Azura sebenarnya, Rul! Kau menghukum Ziqa dengan kesalahan yang Zura buat.” `Ah! Pedulikan semua tu! Aku tak nak fikir tentang dia. Aku nak tidur!'
“MAK,” tegur Haziqah sambil menolak pintu bilik Aminah. Saat itu juga dia ternampak emaknya sedang berbaring dengan batuk yang tidak henti-henti. Haziqah pantas menuju ke arah Aminah. Tangannya ingin menepuk belakang Aminah, meredakan batuk yang sejak tadi bagaikan tidak mahu berhenti.
“Tak apalah Ziqa. Tak payah susah-susah. Mak ni dah tua, agaknya dah sampai masa mak,” ucap Aminah.
“Jangan cakap macam tu, mak!”
“Sudahlah Ziqa. Kau pergilah tidur. Mak tak apa-apa ni. Pergilah berehat.”
“Ziqa nak temankan mak.” “Tak payah. Kau pergilah temankan Fakrul!” “Dia... err... dia ada kat dalam bilik mak,” jawab Haziqah teragak-agak.
“Kalau macam tu kau pergilah keluar. Tanya apa-apa yang dia nak. Takut Fakrul tak selesa tinggal kat rumah buruk kita ni. Dia dah biasa hidup senang,” ujar Aminah. Haziqah sekadar mengangguk. Hatinya jadi pilu dengan sendiri. Dia terpaksa membohongi emaknya sedangkan Haziqah sendiri tahu yang Fakrul telah pergi.
“I Nak you buat semula. From A to Z. Kalau ini hasil yang you nak berikan pada client... just forget it. You mau kasi saya malu ka?” Kemarahan Puan Chan bagaikan terdengar-dengar lagi. Fakrul menghempaskan pelan seni binanya ke atas meja. Hatinya panas. Sejak kebelakangan ini, ada sahaja yang tidak kena dengan rekaan seni binanya. Ah, kerja dengan majikan perempuan memang menyusahkan!
“Weh, Fakrul! Kau tak nak makan ke? Join us?” jerit Anand rakannya yang sudah bergerak keluar bersama-sama Stephen dan Kassim.
“Tak apalah Anand. Aku tak lapar. Kau orang pergilah,” tolak Fakrul.
“Hah Fakrul! You tak keluar lunch hari ni ke?” Fakrul terkejut. Wajah Puan Chan tidak lagi kelihatan seperti singa yang ingin melapah mangsa.
“Tak Puan Chan. I tak ada selera.”
“Fakrul, you jangan ambil hati dengan apa yang I katakan tadi. I just want you to think. Prestasi kerja you sejak akhir-akhir ni merosot. If you have any problem, you musn't let it affect your work.”
“PERANGAI you semakin berubah, Zura. Cuba cakap... apa yang tak kena dengan I pada mata you? What is your problem?” Soalan Fakrul mematikan lamunan Azura. Azura toleh sekilas pada Fakrul. Wajah anak muda itu telah menarik hatinya sewaktu hari pertama mereka mendaftar di Universiti Malaya.
“You memang selalu macam ni, kan? Bila I tanya, you senyap. Kalau terus begini, macam mana kita nak settlekan problem kita!”
“I tak tahu Fakrul. I...”Azura gelisah. Niatnya menerima pelawaan Fakrul untuk keluar bersama hari itu, adalah untuk berterus terang. Tetapi di hatinya timbul pula rasa bersalah. “Sebenarnya Rul... I ada satu perkara nak beritahu you. Tapi...” Azura menarik nafas dalam-dalam. Hari ini, dia mahu segala-galanya selesai. Dia ingin Fakrul tahu masalahnya. “Apa dia Zura? Cakaplah. I'm waiting. Janganlah buat I macam ni.” Fakrul seperti sudah tidak sabar untuk mendengar kata-kata Azura. Wajahnya yang dihala ke hadapan sesekali dipaling ke arah gadis itu.
“Sebenarnya...” Fakrul tersentak. Pensel di tangan terlepas ke atas meja. Bayangan wajah Azura hilang serta-merta. Tiada satu pun yang tertinggal. Fakrul memerhati ke sekeliling pejabat. Semua rakannya sedang sibuk dengan urusan masing-masing. Cuma dia yang melamun jauh. Ya Allah! Kenapa dengan aku ni?
“ADA isteri ditinggal-tinggalkan!” Ucapan Puan Haryati malam itu membuatkan Fakrul tersentak. Seolah-olah sengaja ingin menghukum dirinya atas satu kesalahan yang amat berat. Begitu perit dirasakan.
“Sampai bila kau nak buat isteri kau macam tu?” tegur Puan Haryati dengan tenang. Sejenak raut Fakrul yang sedang menunduk itu ditenung agak lama.
“Umi tak nak orang mengata keluarga kita. Kau tu lelaki! Dan sebagai suami kau tak patut buat isteri kau macam tu.”
“Umi yang paksa Rul!” “Ziqa perempuan yang baik Rul.” “Baik apa kalau tunang sendiri tak nak ambil dia sebagai isteri? Lagi dua hari aje nak berkahwin. Tup... tup... satu kampung tahu Ziqa dah tak suci. Itu yang umi kata perempuan baik?”
“Kalau tak suka kenapa tak mahu lepaskan dia? Kenapa nak seksa dia dengan menjatuhkan hukuman gantung tak bertali. Kau tahu apa hukumnya buat macam tu?”

“KITA berpisah ajelah Rul. I dah tak sayangkan you. Kalau boleh you jangan cari I lagi!” Begitu senang kata-kata yang muncul di bibir Azura ketika perhubungan mereka semakin kritikal. Fakrul tersentak.
“Tapi kenapa?” Fakrul menghampiri Azura yang sedang berdiri memeluk tubuh.
“You tahukan yang I betul-betul sayangkan you? I tak sanggup berpisah dengan you.” Azura menepis pantas. Dia menjauhkan dirinya. Tasik di hadapannya juga dipandang tanpa perasaan.
“I dah tak sayangkan you. That's the point. I tak boleh nak paksa hati I untuk sayangkan you lagi. Jadi... buat apa nak tunggu?”
“Buang masa?” tanya Fakrul pelik.
“Buang masa I untuk menyayangi you,” balas Azura. Dahi Fakrul berkerut. Menandakan dia semakin pelik dengan kata-kata Azura itu.
“Jadi selama ni, you anggap kasih sayang yang kita jalinkan hanya membuang masa you, begitu?”
“No reason!”
“Setiap perkara yang berlaku ada sebabnya Zura! Tak mungkin you minta break up dengan I tanpa sebab. Atau you dah ada lelaki lain dalam hidup you?” tegas Fakrul. Dahi Azura pula yang berkerut. Bibirnya terkunci.
“Betul tak tekaan I? I dah agak perkara ni akan berlaku!” jerkah Fakrul.
“Itu hak I nak jatuh cinta dengan sesiapa pun. You tak boleh halang. Dan I rasa, tindakan I menerima cinta you dulu pun adalah satu kesilapan. Kita tak patut bersama!” Kenyataan itu membuatkan hati Fakrul terguris. Itulah hari terakhir mereka bersama. Selepas itu, Azura menyepikan diri. Tiada lagi panggilan telefon atau berita yang dikirim. Sepi dan terus menyebabkan Fakrul menderita dengan keadaan itu.


“Zura dah kahwin rupanya Rul. Dah sebulan! Dia ditangkap khalwat dengan seorang lelaki di Pahang,” kata rakannya, Amirul. Namun, sampai ke hari ini wajah Azura tetap segar di ingatannya. Dia telah berusaha untuk melupakan gadis itu. Tetapi, gagal. Apakah begini caranya untuk aku menyayangi gadis lain? Menerima perkahwinan yang tidak aku redhai? Ah, aku memang tidak mampu menyayangi Haziqah seandainya nama Azura tidak luput dari ingatan. Tidak sama sekali!

Haziqah berjalan pantas menuju ke rumahnya yang tinggal beberapa ratus meter sahaja di hadapan. Terserempak dengan jiran-jiran yang berselisih jalan hanya menambahkan kedukaan di hati.
“Kalau dah dasar keturunan tak baik, memang tak baik jugak Kak Jenab!”
“Yalah! Akak pun setuju dengan kata-kata kau, Som. Emaknya si Ziqa tu bukannya baik sangat. Dulu, bukan ke emaknya yang merampas suami Kak Senah. Lepas suaminya mati, emaknya pun... hei, entahlah!”
“Betullah tu! Hisy... selisih malaikat 44 kalau anak kita berperangai macam tu, kan? Janganlah suami kita digodanya pulak.” “Itulah balasannya. Emak merampas suami orang. Anak, ditinggalkan suami.”
“Kalau saya, jangan diharap perempuan macam tu hendak ditolong. Majikan Minah tu baik hati sungguh. Sanggup paksa anak sendiri bertanggungjawab atas perbuatan orang lain. Dah tak suci, nak buat macam mana? Kahwin dengan siapa pun, bukan dapat tutup apa-apa!” Entah mengapa setiap bait yang keluar dari mulut orang kampung amat menyentuh hatinya. Haziqah rasa ingin menangis. Sejurus selepas membayar harga barang-barang, Haziqah terus berlari keluar. Mengapa harus segalanya bermula lagi? Perlukah kisah silam ibunya juga diungkit sedangkan kini kisah yang wujud adalah dari peristiwa yang baru.

Hanya dia yang ditinggalkan tunangan! Kenapa kisah emaknya pula yang dikaitkan? Sejak bila pula emaknya merampas suami Mak Senah?

DARi jauh, Melati sudah nampak kelibat Haziqah berjalan seolah-olah ingin menuju ke rumahnya. Benci sungguh dia melihat gadis yang dirasakan sebagai pesaingnya itu. Tetapi apabila memikirkan nama Haziqah yang sudah mula menjadi sebutan akibat fitnah yang tersebar, Melati berasa gembira. Sekurang-kurangnya Haziqah sudah tidak menjadi kebanggaan anak-anak penduduk kampung lagi.
“Assalamualaikum kak,” sapa Haziqah apabila dia sudah tiba di hadapan tangga tempat Melati berdiri.
“Hoi, kau buat apa datang rumah aku ni?”
“Mak suruh hantar makanan ni untuk Kak Ati dan makcik.”
“Kan aku dah cakap, jangan jejakkan kaki kau kat tanah bapak aku ni. Kau pekak ke? Tak paham bahasa! Haa... yang kau tercegat macam tiang buruk tu kenapa? Pergi balik!” “Err... Kak Ati...”
“Jangan panggil aku kakaklah. Aku bukan kakak kau dan aku tak ingin ada adik macam kau. Perampas!” Haziqah terdiam sejenak. Kata-kata Melati mengguris perasaannya. Selama ayah kandung Melati meninggal dunia, Melati dan Mak Senah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mahu berdamai. Pelbagai tuduhan dilemparkan apabila terserempak dengannya.
“Sudahlah. Jangan nak termenung kat sini pulak. Pergi balik!”
“Mak Ziqa kirim lauk untuk akak dengan makcik.”
“Hoi... aku tak naklah lauk keluarga kau ni! Entah-entah ada racun!”
“Dasar perempuan kotor! Patutlah Yusri tu tinggalkan kau! Dah tak suci pun ada hati nak berkahwin dengan orang kaya. Kau ingat dengan cara tu, nama kau akan kembali bersih. Jangan haraplah Ziqa!”
“Kak Ati jangan hina maruah Ziqa!”
“Apa tak betul kata-kata aku?”
“Sudahlah. Malas Ziqa nak layan Kak Ati. Merepek tak sudah-sudah!” ucap Haziqah dan terus pantas berlalu.
“Perempuan miang! Mak dengan anak sama aje!” jerit Melati sambil melambakkan lauk pemberian ibunya ke tanah seperti selalu.

Tuesday, May 4, 2010

Kalau Perempuan Cantik...

Kalau perempuan cantik pendiam
lelaki akan kata: wow!ciri2 isteri idaman...
Kalau perempuan tak cantik pendiam
Lelaki akan kata: tak reti berkomunikasi agaknyer...

Kalau perempuan cantik berbuat jahat
Lelaki akan kata: mst ada krisis nih...kesiannyer...
Kalau perempuan tak cantik berbuat jahat
Lelaki akan kata: dah la tak lawa,perangai plak mcm sial!!

Kalau perempuan cantik menolong lelaki yg kesusahan
Lelaki akan kata: wow!heroin sejati...
Kalau perempuan tak cantik menolong lelaki yg kesusahan
Lelaki akan kata: hmm...taktik nak ngorat la tu...

Kalau perempuan cantik dpt lelaki handsome
Lelaki akan kata: ok la...bagai pinang d belah dua...
Kalau perempuan tak cantik dpt lelaki handsome
Lelaki akan kata: kesian...mst dah kena bomoh lelaki tu...

Kalau perempuan cantik d tinggal kekasih
Lelaki akan kata: buta kayu btol mamat tu!!
Kalau perempuan tak cantik d tinggal kekasih
Lelaki akan kata: patut pon kena reject...

Kalau perempuan cantik bawa BMW
Lelaki akan kata: ntah dato' mana bela ni...
Kalau perempuan tak cantik bawa BMW
Lelaki akan kata: mesti anak org kaya ni

Kalau perempuan cantik menuang air ke gelas lelaki
Lelaki akan kata: wah...caringnyer...
Kalau perempuan tak cantik menuang air ke gelas lelaki
Lelaki akan kata: eleh,gedik la tu...

Kalau perempuan cantik bersedih hati
Lelaki akan kata: don't worry,i will make u happy forever...
Kalau perempuan tak cantik bersedih hati
Lelaki akan kata: ckit2 nangis!!gembeng tol..ngade2 la...

Kalau perempuan cantik pandai masak
Lelaki akan kata: dah la lawa,pandai masak plak tu...
Kalau perempuan tak cantik pandai masak
Lelaki akan kata: ntah sedap ke tak tu...

Kalau perempuan cantik main2 miskol
Lelaki akan kata: syoknye!!rindu la tu...
Kalau perempuan tak cantik main2 miskol
Lelaki akan kata: ko ni takde keje lain ke??!sibuk ni tau tak!!

Kalau perempuan cantik hantar email hari2
Lelaki akan kata: sukenyer...!!
Kalau perempuan tak cantik hantar2 email
Lelaki akan kata: asyik2 email dia...boring!

Monday, May 3, 2010

Movie BAru 2010



LAGENDA BUDAK SETAN
Lakonan: Farid Kamil, Lisa Surihani, Que Haidar, Raja Farah, Sheila Mambo
Pengarah : Sharad Sharan
Syarikat Penerbit : Astro Shaw Sdn. Bhd.

Sinopsis Lagenda Budak Setan (Spoiler!)

Kisah bermula dengan kenakalan Kasyah, seorang pelajar kolej yang sering membuli dan mengenakan pelajar lain, bersama beberapa rakannya. Sikap dan kenakalan Kasyah berubah dengan kehadiran pelajar baru, Ayu, yang menambat hati pemuda terbabit.

Hubungan Kasyah dan Ayu bertambah erat dengan bibit percintaan mulai bercambah. Pada semester akhir, Kasyah ke kawasan pedalaman bagi menjalankan kajian untuk tugasannya. Mereka tidak berhubungan dengan harapan Kasyah dapat menumpukan perhatian pada kajiannya.

Ketika pemergian Kasyah, bekas kekasih Ayu, Azmi, muncul menagih cinta. Azmi menggunakan kedudukan dan kemewahan keluarga bagi mempengaruhi ibu Ayu, Mak Leha, agar memujuk gadis itu berkahwin dengannya. Berpura-pura sakit tenat, ibu Ayu berjaya meminta anaknya berkahwin dengan Azmi, meskipun hatinya mencintai Kasyah.

Sebaik saja pulang ke kampus, Kasyah yang tidak mengetahui perkahwinan Ayu dan Azmi, terkejut dengan berita yang diterimanya itu.

Masa berlalu, rumah tangga Ayu dan Azmi berantakan lantaran sikap Azmi yang panas baran dan pemabuk. Ayu sering dipukul. Suatu malam, akibat tidak tahan dipukul Azmi, Ayu bertindak melarikan diri dari rumah dengan memandu kereta. Ayu hilang kawalan lalu terbabit dalam kemalangan. Ayu cedera parah dan dibawa ke hospital. Mukanya hancur dan terpaksa melakukan pembedahan plastik. Wajahnya berubah, tetapi dia pulih semula. Seterusnya Ayu menuntut perceraian.

Bersama wajah berbeza dan dengan trauma kehidupan lampau, Ayu kini bertekad untuk memulakan hidup baru. Bersama wajah barunya dan dengan pampasan perceraian, dia membuka syarikat perniagaan serta menampilkan diri sebagai Emilia. Menerusi Suzana, kawan rapatnya ketika di universiti, Kasyah diambil bekerja.

Kasyah yang mulanya tidak perasan kehadiran Ayu dalam diri Emilia, mulai berasakan sesuatu kerana persamaan yang dimiliki antara dua wanita itu. Emilia mendapati Kasyah masih setia menyintai Ayu. Keadaan itu menambah deritanya apabila Kasyah tidak menerima Emilia dalam hatinya.






LIBAS

Skrip : Martias Mohd. Ali
Arahan : Jurey Latif Rosli
Terbitan : Mdag Marketing Sdn Bhd

Adnan Saladin seorang pakar libasan dalam permainan sepak takraw (libas), sehingga dia digelar sebagai Raja Libas Malaysia. Kehebatan libasan Raja Libas sangat digeruni pasukan lawan terutamanya dari pasukan Siam (Thailand), lebih-lebih lagi Ak Nangkhon, “killer” pasukan mereka. Di perlawanan libas yang lalu, Ak Nangkhon secara kotor telah mencederakan kaki raja libas, menyebabkan kehebatannya merosot. Bukan itu sahaja, kecederaan itu juga telah mengakibatkan tekong malaysia (Dali) parah apabila libas gagal menampan libasan kuat Ak Nangkhon lalu terkena dadanya. Akibatnya Malaysia tumpas kepada Thailand untuk kali kedua berturut-turut. Malah jurulatih dan rakan sepasukan, Megat turut menyalahkan Adnan Saladin kerana kekalahan itu sehingga jurulatih sanggup memutuskan pertunangan Adnan Saladin dengan ratna anaknya.

Kebimbangan Raja Libas memuncak bila Mr. Wilson seorang lelaki Inggeris sanggup menaja perlawanan Libas pada tahun ini, lebih awal dari selalunya. masa yang suntuk dan kecederaan kaki yang belum pulih sepenuhnya menjadi masalah yang besar kepada Raja Libas. Malah kebimbangannya menjadi bertambah kerana pertaruhan perlawanan kali ini adalah bola warisan, simbol keagungan permainan sepak raga yang diwarisi oleh orang Melayu sejak 500 tahun dahulu. Seandainya kemenangan memihak kepasa pasukan Thailand, bermakna bola warisan menjadi milik mereka untuk selama-lamanya dan Malaysia akan kehilangan bukti bahawa permainan sepak takraw adalah berasal dari Tanah Melayu dan merupakan permainan tradisi orang-orang melayu. Dan Raja Libas adalah waris penyimpan bola itu.

Tanpa diketahui oleh Raja Libas, bola warisan itu kini menjadi buruan oleh pengumpul barang-barang antik yang mengetahui bahawa bola warisan itu memiliki nilai sejarah dan kuasa mistikal. Tawaran terbaru untuk bola itu adalah sebanyak USD 15 juta dan tanpa diketahui oleh Raja Libas juga, Mr. Wilson telah bersekongkol dengan pasukan Thailand demi mendapatkan bola itu.

Raja Libas tertekan bila jurulatih mendesaknya mencari pemain baru bagi berhadapan dengan pasukan Thailand. Bagi Raja Libas, agak mustahil dalam masa yang singkat dia dapat mengumpul pemain bagi menubuhkan pasukan yang baru. Namun, demi mempertahankan maruah, tradisi dan keagungan adat, Raja Libas berusaha mencari pemain. Lebih dari itu, Raja Libas sebenarnya mencari pewaris kepada bola warisan itu, yang menurut jurulatih, pewaris itu haruslah seorang yang sebangsa dengan Raja Libas, seagama dan mempunyai akhlak yang tinggi. Dan bola itu hanya boleh dipegang oleh pewarisnya sahaja.

Raja Libas berfikir siapa yang harus dia ambil sebagai pemain bagi mengekang kehebatan pemain Thailand. Baginya dia masih boleh bergantung harap pada Megat, walaupun Megat masih membenci libas kerana kekalahan yang lalu. Tanpa diketahui oleh Raja Libas, Megat sudah pun menjadi duri dalam daging bila dia setuju belot setelah dirasuah oleh Ak Nangkhon. malah sudah menghasut jurulatih untuk menjual permainan kepada Thailand dan memberitahu Ratna bahawa pertunangan libas dengannya sudah diputuskan oleh ayahnya. Ratna marah dan menuduh Raja Libas mementingkan bola warisan lebih daripadanya.

Sewaktu memandu melewati KLCC, Raja Libas telah terlihat kehebatan seorang remaja (Hamadi) menimang bola futsal, yang dengan kehebatannya itu dapat mempertahankan diri dari serangan 3 remaja yang lain dengan hanya menggunakan sebiji bola dan Raja Libas menawarkannya untuk bermain libas. Dan Raja Libas fikir mungkin dialah pewaris bola itu. Namun Hamadi itu menolak tawaran libas kerana baginya permainan sepak raga adalah permainan yang ketinggalan zaman. Namun Raja Libas telah mempamerkan kehebatannya melibas apabila dia menyelamatkan hamadi dari dipukul oleh tiga remaja tadi yang kembali membalas dendam.

Akhirnya Hamadi setuju untuk menyertai Libas selepas diberitahu bahawa dia harus mempertahankan maruah negara dalam permainan itu. Bagi Raja Libas dia harus mendapatkan pemain yang lain bagi mencukupkan satu regu. Sepengetahuan Libas Ratna juga mempunyai kehebatan menimang bola. Sewaktu dia ingin menemui Ratna untuk memujuknya menyertai pasukan, Libas terserempak dengan seorang remaja gemuk (Kumok) yang mempunyai kelebihan pada perutnya. Kumok dapat menyambut buah-buahan dan sayur-sayuran yang dilontarkan kepadanya, malah telur yang dilontar tidak pecah bila ditampan dengan perutnya.

Akhirnya Raja Libas dapat mengumpulkan regu pasukannya iaitu Megat, Hamadi dan Kumok. Raja Libas berusaha mengajar mereka dengan segala pengetahuan yang dia ada untuk permainan Libas. Libas sedar pasukannya tidak sehebat pasukan lawan. Namun dia masih mengharapkan Megat dapat mengepalai pasukan.

Di hari perlawanan, Megat tidak muncul, Raja Libas resah. dia terus memupuk semangat Hamadi dan Kumok. tanpa diduga, mereka berdua dapat mengalahkan pasukan dari China. semangat Raja Libas bertambah dan Ak Nangkhon cemas bila melihat potensi pasukan Malaysia. Ak Nangkhon merencana sabotaj kepada pasukan Malaysia yan menyebabkan Kumok dan Hamadi tercedera ketika di perlawanan separuh akhir dengan Iraq. Raja Libas sedar ada sesuatu yang dikehendaki oleh Ak Nangkhon bila Megat tiba-tiba muncul dalam keadaan parah selepas dibelasah Ak Nangkhon. Akhirnya Raja Libas mengeluarkan bola warisan dari tempat simpanan rahsianya dan mempertaruhkan bola itu untuk perlawanan akhir antara Malaysia dan Thailand.

Di perlawanan akhir pasukan Malaysia teruk dibelasah oleh pasukan Thailand. Jurulatih mula kelihatan tidak yakin dan ketika Raja Libas melambung kain putih mengaku kalah, Ratna muncul menyelamatkan keadaan. Kelebihan Ratna dengan aura rambutnya menyelamatkan Malaysia dari kekalahan. Dan ketika pasukan Malaysia alpa meraikan kejayaan, bola warisan dicuri oleh Mr. Wilson. Namun jurulatih cepat sedar dan Raja Libas dengan Libasan luar biasanya dapat menghalang bola itu dari di bawa lari oleh Mr. Wilson dan lebih mengujakan bila juru latih dan Raja Libas melihat bola itu di pegang oleh seorang budak lelaki sambil melaung “Malaysia juara”. Raja Libas melihat pewaris kepada bola warisan.



Belukar
Pengarah : Jason Chong
Syarikat Penerbit : Preston Zaidan Productions Sdn. Bhd
Bahasa : Bahasa Melayu
Klasifikasi : PG-13 - Bimbingan ibubapa atau orang dewasa disyorkan untuk kanak-kanak di bawah umur 13 tahun
Tarikh Tayangan : 06 Mei 2010
Durasi : 96 min
Audio : Dolby
Format : 35mm

Sinopsis
Filem Belukar mengisahkan Eva (Daphne Iking) seorang wanita Sabah yang merupakan penipu insuran profesional. Dia berjaya menuntut lebih RM100 juta dan kini Eva sedang disiasat oleh beberapa pihak. Malangnya, tiada agen penyiasat insurans dapat membuktikan Eva bersalah. Tanggungjawab itu kini dipikul oleh Nik (Bront Palarae) iaitu seorang penyiasat insurans syarikat ABG. Dalam proses penyiasatan tersebut, Nik telah jatuh cinta terhadap Eva tanpa Eva mengetahui identiti sebenar Nik. Adakah Nik dan Eva bergelut dengan cinta, sandiwara atau keikhlasan semata-mata? Atau seperti yang disimpulkan Jason Chong, filem ini sarat dengan "love action, thriller and many hidden secrets



HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Antara filem yang sedang dinanti-nantikan oleh peminat filem Melayu dan mereka yang mahukan pembaharuan dalam filem tempatan ialah filem epik Hikayat Merong Mahawangsa atau dalam bahasa Inggerisnya The Chronicles of Merong.

Filem yang diadaptasi daripada Sejarah Melayu ini dikatakan telah menarik minat beberapa pengedar filem antarabangsa untuk ditayangkan di beberapa buah negara. Juga dikatakan pihak Universal Studios berminat untuk memasarkan filem ini ke pasaran Amerika Utara. Filem ini dikatakan akan memaparkan banyak adegan pertarungan dan peperangan di lautan, seni mempertahankan diri dan lawan pedang yang dipantau oleh pasukan seni mempertahankan diri perfileman Hong Kong.

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Stephen Rahman Hughes, Gavin Rees StenHouse, Jeng Lu, Craig Fong, Deborah Henry, Datuk Rahim Razali dan Khir Rahman manakala filem ini diarahkan oleh Yusry Abdul Halim.

Merong Mahawangsa dikatakan keturunan Iskandar Zulkarnain. Dikatakan ketika ini Empayar Rom berada di kemuncak kuasanya, semasa pemerintahan Hadrian. Sementara itu di China, Dinasti Han sedang memperluaskan jajahannya ke Asia Tengah. Sewaktu armada Rom berhenti di Goa, mereka telah mengarahkan Merong Mahawangsa untuk mengiringi seorang putera Rom ke Asia Tenggara untuk meminang seorang puteri yang cantik dari Dinasti Han. Puteri tersebut dikatakan menanti ketibaan putera Rom itu di sebuah lokasi di Asia Tenggara. Bagaimanapun, sekumpulan lanun bernama Geruda merancang untuk menculik puteri itu dan menuntut tebusan daripada Maharaja China. Sewaktu tiba di Selat Melaka, armada Putera Rom telah diserang oleh kumpulan Geruda. Dapatkah Merong Mahawangsa menyelamatkan Puteri itu dan menyatukannya bersama putera Rom?



FILEM MAGIKA
INFO: Filem Magika
# JUDUL: Magika
# GENRE: Muzikal Pengembaraan (pertama seumpamanya di Malaysia)
# KONSEP: Mitos dan Legenda Melayu
# PENGARAH: Edry Abdul Halim (filem sulung)
# TEMPOH PENGGAMBARAN: Februari hingga pertengahan Mac 2009
# LOKASI PENGGAMBARAN: Universiti Putra Malaysia (UPM); Putrajaya; Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong; Ulu Langat, Selangor; Tapah, Perak dan Lanchang, Pahang
# PELAKON: Membabitkan lebih 15 artis popular, antaranya Mawi AF3, Diana Danielle, Fimie (Hikayat Putera Shazlan), Saiful Apek, Ziana Zain, Maya Karin, M Nasir, Datuk Jalaluddin Hassan, Ogy Datuk Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Raja Azura, Ning Baizura, Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Norman Hakim, KRU, Nabil Raja Lawak dan Adibah Noor.
# KOS PRODUKSI: Sekitar RM1.8 juta hingga RM2 juta, tidak termasuk promosi (Bayaran pelakon saja melebihi RM500,000)
# LAGU TEMA: Penyembuh Rindu (duet Mawi bersama Diana Danielle)
# PROSES AKHIR/KOS: Tujuh hari di Bangkok/Membabitkan bajet hingga RM400,000.

Filem Magika adalah sebuah filem berbentuk kekeluargaan yang menyelitkan pantang larang orang Melayu terutama peringatan untuk anak-anak seperti jangan keluar rumah waktu senja dan jangan buang air kecil merata tempat sesuka hati. Filem ini juga dekat di hati penonton kerana ia kaya dengan nilai kasih sayang, cinta dan pengorbanan.

Sinopsis filem Magika mengisahkan bagaimana dua beradik yang tersesat di alam bunian selepas keluar rumah pada waktu Maghrib.

Ayu (Diana Danielle) berhadapan dengan ujian sukar untuk menyelamatkan adiknya iaitu Malik (Fimie Don) yang diculik nenek kebayan lakonan Ziana Zain. Bagaimanapun Ayu bernasib baikkerana dia bertemu dengan Bad Mawi)yang membantu menyelamatkan mereka keluar dari dunia asing itu.

Magika yang menggabungkan lebih 15 aktor dan aktres ternama pasti menjadi tarikan penonton ke pawagam, lebih-lebih lagi yang merindui lakonan Ziana Zain apabila memegang watak sebagai nenek kebayan vogue! Kaya dengan mitos dan kisah legenda Melayu, Magika menampilkan beberapa watak yang dekat di hati orang ramai seperti Badang, Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir, Mak Mandir, Mahsuri, Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang dan Batu Belah Batu Bertangkup.



MISTERI JALAN LAMA

Director
Afdlin Shauki Afdlin Shauki
Penulis: Author:Afdlin Shauki Afdlin Shauki
(Cerita Asal) (Original Story)Afdlin Shauki
(Lakon layar) (Screenplay)Afdlin Shauki
Lakonan: Actors:Que Haidar Que Haidar
(Pelakon Utama) Ilya (Main Actor)
Hans Isaac Hans Isaac
Indra (Pelakon Utama) Indra (Main Actor)
Datuk Ahmad Tamimi Siregar Datuk Ahmad Tamimi Siregar
Iskandar (Pelakon Utama) Alexander (Main Actor)
Vanidah Imran Imran Vanidah
Old Lady / Queen Devata (Pelakon Pembantu) Old Lady / Queen Devata (Supporting Actor)
Sabrina Mohammed Hassan Sabrina Mohammed Hassan
Sara ( Isteri Indra ) (Pelakon Pembantu) Sarah (wife of Indra) (Supporting Actor)
Namron Namron
Botak (Pelakon Pembantu) Bald (Supporting Actor)
Adam Corrie Lee Adam Corrie Lee
Zak (Pelakon Pembantu) Zech. (Supporting Actor)
Sobri Anuar Sobri Anuar
Zaidi (Pelakon Pembantu) Zaidi (Supporting Actor)
Afdlin Shauki Afdlin Shauki
Harak (Pelakon Pembantu) Harak (Supporting Actor)
Nasir Bilal Khan Nasir Bilal Khan
Old Man / King Dewata (Pelakon Pembantu) Old Man / King Deity (Supporting Actor)
Yalal Chin Chin Yalal
Pemilik Gerai (Pelakon Pembantu) Stall owners (Supporting Actor)
Liyana Jasmay Kate Jasmay
Awek Botak (Pelakon Pembantu) Sex Adjutant (Supporting Actor)
Krew: Crew:
Helmi Yusof Helmi Yusof
(Pengarah Fotografi) (Director of Photography)
Pacai Pacai
(Muzik) (Music)
Azlan Suhaimi Azlan Suhaimi
(Jurukamera) (Cameraman)
Ahmad Reedzuan Rahmad Ahmad Fitri Reedzuan
(Gaffer) (Gaffer)
Penerbit: Publisher:
Gayatri Su-Lin Gayatri Su-Lin
(Penerbit Eksekutif) (Executive Producer)
Noraini Ridzuan She Ridzuan
(Penerbit Bersama) (Mutual Publishing)
Sinopsis:

Sebuah kisah yang menakjubkan tentang dua dunia berbeza, namun berlandaskan kasih sayang. Dua beradik, Indra dan Ilya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka untuk urusan pengebumian ayah mereka, Iskandar. Indra adalah anak kandung Iskandar yang menjadi pelumba kereta profesional, tetapi kuat berjudi dan seringkali meminjam daripada ah long. Hidupnya kini diburu gangster. Manakala Ilya pula adalah anak angkat Iskandar yang diberikan oleh ‘seseorang’ ketika Iskandar melalui sebatang jalan lama 25 tahun dahulu. Ilya seorang anak yang baik, yang banyak membantu Iskandar membina kerjayanya. Iskandar juga sangat sayangkan Ilya. Ini jugalah yang menjadi punca ketidakpuasan hati Indra, lalu membawa diri jauh daripada keluarga.

Pada hari kematian Iskandar, buat pertama kalinya selepas 15 tahun, Indra ke pejabat ayahnya untuk mengambil surat wasiat yang ditinggalkan untuknya. Indra diminta membawa Ilya pulang, kerana Ilya tidak tahu memandu. Ketika di lebuhraya, Indra dikejar oleh gangster. Lalu Indra mengambil keputusan menggunakan jalan lama.

Ketika melalui jalan lama, tidak semena-mena mereka memasuki ‘dunia lain’. Pelbagai peristiwa pelik dialami mereka sepanjang berada di dunia tersebut. Daripada diganggu oleh makhluk mengerikan hinggalah kepada sesuatu yang mengasyikkan. Apakah akan terjadi kepada mereka berdua ? siapakah sebenarnya sebneranya mereka ? apakah yang terdapat di jalan lama tersebut



Senarai Para Pelakon Filem KAPOWW!!! Atoi The Kultur Boy

1. Atoi – Zizan Raja Lawak
2. Aboo – Bell Ngasri
3. Siti Nurhasnita – Lisa Surihani
4. Astromen Mak – Rosnah Mohd Aris
5. Astromen Wau – Awie
6. Astromen Belalang – Harun Salim Bachik
7. Astromen Sedut – Delyla
8. Din Abu – Afdlin Shauki
9. Mak Jah – Norlia Ghani
10. Faibo – Khir Rahman
11. Zamin – Bob Kuman
12. Mi Belit – Soffi Jikan
13. Pak Nan – Usop Kopratasa
14. Jen Ucop – Rashidi Ishak
15. Pria Perkasa – Zailani
16. Dukun Ngesot – Bandi Amok
17. Lola – Sherry Ibrahim
18. Melisa – Aishah Sinclair
19. Ketua Geng Jerangkung – Henzi Andalas
20. Pereka Fesyen – Patrick Teoh
21. Mamak – Sathiya

Sinopsis KAPOWW!!! Atoi The Kultur Boy

Sebuah keluarga superhero – “keluarga Astromen” berbakti melindungi rakyat Malaysia daripada anasir-anasir jahat. Mereka adalah superhero yang disukai oleh ramai orang.

Atoi, seorang remaja yang sentiasa bernasib malang bercita-cita menjadi seorang superhero. Dia mahu menolong orang dan menjadi kebanggaan ibunya. Namun, dengan keadaan dirinya itu, Atoi sering dibuli dan diperkecilkan oleh gangster kampung, diketuai oleh Faibo. Hanya Aboo, kawan baiknya yang memahami dan menggalakkan misi Atoi. Aboo cuba yang terbaik membantu Atoi untuk mendapatkan kuasa yang sudah lama diidamkannya itu. Aboo banyak merujuk kepada buku-buku komik Spiderman, Superman, Batman dan lain-lain. Dan mereka mencuba pelbagai cara… disengat tebuan, kejutan eletrik, dilanggar keretapi… namun sia-sia belaka, malahan menambahkan kekecewaan dan kesedihan ibunya.
Pada suatu petang, Dolet, kerbau Atoi tiba-tiba hilang kerana lari dari rumah. Dalam keadaan hujan lebat dan ribut petir, Atoi keluar mencari Dolet. Ketika berteduh di bawah sepohon pokok, Atoi disambar petir. Setelah sedar daripada pengsan Atoi memperolehi kuasa superheronya – boleh bergerak sepantas kilat, mata setajam mata pisau…

Dalam masa yang sama, Persatuan Superhero Malaysia sedang mencari superhero baru untuk dilatih. Selepas menyelamatkan Siti daripada Faibo, dan disaksikan oleh Persatuan Superhero Malaysia dan penduduk kampung, Atoi terpilih sebagai superhero baru Malaysia. Atoi kemudiannya mengikut Din Abu (pengurus kepada superhero) ke KL, dan berjanji kepada mereka di kampung, yang beliau tidak akan melupakan mereka.

Atoi Budak Kultur kini menjadi sensasi terkini di KL. Namanya meniti di bibir. Beliau menumpaskan banyak jenayah, lebih pantas dan lebih baik daripada Geng Astromen. Orang ramai menjadikannya idola dan menyayangi beliau. Atoi mengalami kejutan budaya. Beliau menukar namanya kepada Azroy. Atoi kini dikelilingi oleh arak dan gadis-gadis cantik. Sikap berlagak Atoi menyebabkan beliau menghina ibu sendiri yang datang mencarinya di sidang akhbar pelancaran album barunya. Atoi malu dengan ibu yang berbaju kurung, teman wanita dari kampung, dan kawan baik yang bodoh-bodoh alang. Atoi berpura-pura tidak mengenali mereka. Rakyat melihat kelakuan buruknya dan semua orang terkejut. Atoi kehilangan peminat, rakan-rakan, penaja, rumah, kereta lumbanya dalam sekelip mata. Atoi kini dipulaukan oleh semua orang.

Mengetahui Atoi sangat bergantung kepada sejenis minuman popular untuk meransang kuasanya, arahan dikeluarkan oleh kerajaan, jika sesiapa dilihat memberi Atoi minuman tersebut, mereka akan didakwa! Atoi putus asa… beliau kehilangan kuasa, juga keluarga. Beliau sedar kesilapannya tetapi sudah terlambat! Keluarganya telah diculik oleh kuasa jahat, Alakazambo! Superhero lain juga tidak lagi bersamanya, dan tiada siapa mahu membantu.

Mampukah Atoi menyelamatkan keluarganya? Adakah beliau akan memiliki kembali kuasanya? Siapa Alakazambo dengan kuasa sihir jahatnya itu?? Tonton Kapoww!!! untuk mengetahui jawapannya… KAPOWW!!!