"Cinta itu cahaya sanubari, kurniaan Tuhan untuk insani
Rasa bahagia biarpun sengsara, berkorban segala-gala"
Lirik lagu nasyid "Kerana Cinta" ini singgah sebentar di minda ini bila menulis tajuk ini.
Seringkali perkataan ini bermain-main di fikiran dan seringkali juga
ia menjadi tanda tanya orang-orang di sekelilingku bila cinta sejati
akan menjemputku. Bukan tidak pernah diintai oleh sang kumbang, tetapi
tanpa ikatan yang sah, aku tidak akan sekali-kali membenarkan sang
kumbang itu menjemputku apalagi singgah untuk menjengukku.
Hati ini pernah sekali tercuit dengan perasaan itu, tidak seperti
selalu yang bermati-matian untuk aku mempertahankannya. Tetapi kali ini,
aku rasa perasaan itu sudah semakin menebal..
Dalam fikiranku, adakah aku telah JATUH CINTA?? Tidak mungkin!
Aku katakan pada diriku sendiri bahawa perasaan itu hanya kerana
merasa kosong dan cemburu melihat kawan-kawan sekeliling yang sudah
bahagia bersama pasangan masing-masing. Untuk menghilangkan perasaan
itu, aku hanya bercerita kepada Yang Labih Berhak iaitu Allah SWT. Hanya
Allah pemilik hati ini dan hanya Allah yang lebih tahu mana yang
terbaik buatku.
Setiap malam aku bermuhasabah, bermunajat dan mengharap hanya kepada
Allah agar perasaan itu akan hilang. Walaupun tidak secara terus tetapi
dengan mendekatkan diri kepada Allah, aku berasa tenang kembali. Tidak
seperti sebelum-sebelum ini, hanya mengingatkan dia yang belum halal
bagiku dan belum tentu halal bagiku.
Alhamdulillah dengan mendekati Sang Pencipta, diri ini terasa amat tenang dan mampu tersenyum kembali.
Hari-hari yang dilalui terisi kembali dan semakin hari terus
melupakan perkara-perkara yang menyebabkan perasaan bergelora dan
syaitan menyucuk jiwa.
"Mereka berkata hidup perlukan cinta
Agar sejahtera aman dan bahagia
Andai tiada atau pudar warnyanya
Meranalah jiwa gelaplah dunia
Warna-warna cinta
Yang terlukis di hatimu
Semat pada senyuman dan tangismu.."
Lagu "Warna-warna Cinta" nyanyian kumpulan Brothers sedikit sebanyak
menyedarkan aku, sebenarnya cinta yang diperlukan oleh jiwa dan hati
kita ialah cinta kepada ALLAH SWT.
Cinta ini tidak akan layu, tidak akan pudar, tidak akan mengecewakan,
tidak akan merugikan, dan segala jenis tidak. Malahan ia semakin
menambahkan kelebihan pada diri kita, menambahkan kebahagiaan,
menambahkan senyuman dan meningkatkan darjat kita sebagai hamba Allah.
Pesanan untuk diri dan sahabat-sahabatku di luar sana, jangan kita
mengejar cinta manusia selagi cinta kepada Allah belum terlaksana dengan
sebaiknya.
Love For Allah~
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment