Wednesday, April 27, 2011

Pengawet Cinta

"Kak, boleh tak saya nak tinggalkan suami saya."

Mesej pesanan ringkas ini saya terima dari seorang kawan yang saya kenali sejak dia di zaman masih remaja dan ketika itu dia sedang menuntut di menara gading lebih sepuluh tahun lalu. Jarak usia kami berbeza hampir 10 tahun, tetapi sangat akrab. Pengalaman menyebabkan saya percaya ada benarnya ungkaian kata-kata bahasa Inggeris - No news is good news.

Persahabatan kami tidak pernah terputus, cuma jarang berhubung dek kesibukan menjalani hidup masing-masing. Dalam masa beberapa bulan dan kadangkala lebih setahun tidak mendengar khabarnya, inilah pesanan ringkas yang dikirimkan. Bagaimanapun, jauh di sudut hati kecil, hati kecil saya merasa bangga kerana sekurang-kurangnya dia meletakkan saya dalam ketagori 'sahabat di masa susah'.

"Pulak dah... ingat suami tu barang ker, air kotak ker – main tinggal-tinggal. Akak no comment. Tapi bawa-bawalah solat Istikharah ker, apa ker. Takdir dah tertulis, tapi masih ghaib dari pengetahuan kita. It's your life, your decision, your risk. Semua kena jawab dalam kubur dan di Mahsyar. It's your own journey of life."

Ini jawapan yang dapat saya ungkap setelah merenung beberapa lama. Memberi jawapan yang 'betul' kepada sahabat yang sedang menghadapi kemelut hidup bukanlah mudah. Ketika ini bukan rasional yang menguasai tetapi emosi atau rasa. Masih segar dalam ingatan saya betapa 'gemerlap' seri wajahnya ketika di alam percintaan dahulu. Keindahan cinta itu ditakdirkan bahagia hingga ke jinjang pelamin.

"Saya dah tak boleh sabar. Saya fikir kalau hidup sendiri tak perlu sakit hati dengan sesiapa. Dalam hati rasa benci pada lelaki. Bila kita buat salah katanya kita jahat, tapa bila kita buat baik dia ambil kesempatan."

Saya hanya membiarkan dia terus menghantar pesanan demi pesanan ke dalam telefon bimbit saya tanpa membalas dengan segara. Biar lega sedikit perasaannya apabila dapat diluahkan. Saya sendiri pun sebenarnya tidak pasti apa lagi jawapan yang boleh membantunya meringankan beban perasaan tersebut.

"Ini pertama kali keluar dari mulut saya. Selama ini dan sekarang ini semua orang ingat kami pasangan bahagia. Yang bahagia dia, tapi yang merana saya. Saya terpaksa berkorban perasaan, masa, harta dan bermacam lagi. Ikhlas pun dah hampir habis. Yang ada tinggal bosan."

Saya cuba memancing akal rasionalnya dengan memberi soalan beralaskan fakta realiti kehidupan.

"Betul ker cerai tu penyelesaian? Sakit hati dengan manusia tak akan pernah habis. Fikir dan 'tanya' betul-betul kepada Allah. Kemudian pergilah minta nasihat Jabatan Agama."

Ada sedikit ruang rasional terbuka dalam jawapannya.

"Dia macam tahu, tapi dia pernah cakap kalau saya tinggalkan dia mungkin dia akan gila. Saya hanya hidup dengan dia sebab simpati. Tapi dia tetap tak ubah sikap."

"Kat Jabatan Agama ramai kawan. Tak nak diorang tahu. Saya nak bawa dia pergi kaunseling tapi kat sini pakarnya ramai kawan kita. Saya tak nak malukan dia. Tapi saya dah tak tahan."

Di celah jawapan ini, ternyata dalam hatinya masih ada rasa sayang dan keprihatinan terhadap lelaki yang menjadi ayah kepada anak-anaknya. Jari jemari saya dengan pantas menekan telefon bimbit memberikan pandangan peribadi. Saya cuba menyelitkan nasihat, pujukan bercampur amaran. Hati kecil saya berdoa semoga Allah tidak menyebabkan sahabat saya terluka dengan jawapan ini.

"When you have a decision, that are all the risks you have to take. Minta lah rasa cinta dari Allah, kerana dalam cinta ada kekuatan untuk memaafan. Dalam kemaafan ada rahmat dan belas kasih. Kalau ALLAH dah tetapkan, apapun pasti berlaku. Pilihan kita adalah menjaga kemudi hati! Jangan berjudi dengan ketentuan takdir dari DIA yang Al Qadir & Al Muqtadir. Tiada bahagia dalam perjudian takdir! Pick your choice, finalise a decision & TAKE YOUR RISK kalau berani!"

Saya berani memberikan jawapan ini kerana saya mengenalinya dahulu sebagai remaja yang berjiwa kental, tabah dan sentiasa kreatif mencari jawapan apabila berhadapan dengan masalah dengan latarbelakang pendidikan agama yang baik. Dia dahulu adalah remaja yang sukakan cabaran dan berani mengambil risiko atas setiap keputusan yang dibuatnya. Subhanallah... Segala puji bagi Allah. Saya lega dengan jawapan penutup darinya.

"Tq beri nafas untuk saya. Dah luah ni rasa ringan skit. Mudah-mudahan lepas ni saya boleh berfikir, berperasaan dengan baik dan ikut jalan Allah."

Saya lega bercampur rasa bahagia. Walaupun tidak banyak yang dapat saya berbuat untuk membantunya, hanya sekadar beberapa bait kata-kata yang Allah ilhamkan, sekurang-kurangnya atas izin Allah dia mula merasa tenang untuk mengambil langkah berikutnya. Saya tidak pasti apakah keputusan yang akan diambilnya. Kami sama-sama tidak pasti apakah takdir yang tertulis di masa depan. Dan saya tidak tahu entah berapa bulan lagi atau berapa tahun lagi saya akan menerima kiriman SMS darinya (No news is good news...). Mungkin saya yang perlu mengambil langkah proaktif untuk menghubunginya dan bertanya khabar sebagai seorang sahabat yang lebih dewasa dan lebih lama menjalani perjalanan hidup di muka bumi. Giliran saya pula memberi jawapan penutup kepadanya.

"Aminn... dalam 'derita' yang kita rasa semasa menjalani ketentuan takdir, cuba dengar betul-betul dengan suara hati. Allah sedang menyampaikan sesuatu kepada kita. At least mungkin DIA cuba menyampaikan pesanan "Hey, I'm here!". Selamat menghadapi kehidupan! Go deep inside your heart. Di situ ada kemudi atau kompas hidup yang paling tepat!"

Saya yakin kisah dan peristiwa seperti ini, bukan pengalamannya seorang. Perjalanan takdir seorang makhluk bergelar wanita tidak jauh berbeza kerana destinasinya sama menuju kehidupan abadi di akhirat. Perjalanan ceritanya mungkin berbeza... namun perubahan-perubahan rasa dari cinta menjadi benci dan permusuhan, sayang menjadi bosan, kagum menjadi kecewa adalah pengalaman setiap jiwa bukan sahaja pada wanita tetapi juga pada lelaki, selagi ia bergelar manusia yang normal.

Kisah ini membawa saya merenung sifat Al Wadud – salah satu sifat Allah dalam 99 Asmaulhusna-Nya yang bemaksud Yang Maha Pencinta (The Loving, The Affectionate, The Kind One).

Allah Al Baaqi sesungguhnya Yang Maha Kekal. Sesungguhnya apabila cinta antara manusia yang wujud di tahap emosi, diperkuatkan dengan nilai Al Wadud dan Al Baaqi... dalam misi dan visi sebagai khalifah dan hamba di mukabumi, pasti cinta itu akan terawet bukan sahaja dalam menghadapi pelbagai peristiwa, malah akan kekal hingga merentas masa dari dunia hingga ke akhirat. Malah tidak kurang mereka yang terpisah atas ketentuan takdir, namun cinta dan kasih sayang yang pernah mengikat tidak berubah menjadi benci, bosan atau permusuhan.

Manusia pastinya tidak dapat mengubah takdir dari Al Qadir dan Al Muqtadir dari segi peristiwa... tetapi minda, rasa dan suara hati diberi kebebasan oleh Allah untuk memilih kerana Allah telah lantik manusia sebagai khalifah mukabumi. Alangkah baik jika manusia dapat memiliki dan mengaplikasi formula 'pengawet cinta'. Formula yang membolehkan rasa cinta tetap utuh merentas masa, tempat dan mampu bertahan dalam segala situasi.

No comments:

Post a Comment