Saturday, January 15, 2011

Mencari Bahagia - Apakah Pada Sekufu?


Sesiapa juga yang mencari jodoh dan pasangan masing-masing perlu mengambil kira garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariat iaitu, agamanya, budi pekerti, kecantikan, murah mas kahwinnya, subur, gadis dan keturunan yang baik dan bukan dari keluarga yang terdekat.

Bermula dengan sejarah kisah penciptaan Adam dan Hawa, melalui sulbi merekalah keturunan manusia dilahirkan di dunia ini. Pelbagai bangsa, agama, keturunan, darjat, warna kulit dan sebagainya. Mereka ini diciptakan berpasangan-pasangan demi lengkap-melengkapi kehidupan antara satu sama lain, iaitu wanita memerlukan lelaki untuk melengkapi hidup mereka. Begitu juga lelaki. Adalah haram bagi lelaki dan wanita yang bukan muhrim berdua-duaan kerana ia boleh mendatangkan dosa dan fitnah.

Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW dan baginda sendiri menyukai umatnya yang mendirikan rumah tangga, ini ditegaskan dalam sabdanya yang bermaksdud, "Berkahwin adalah sunnahku dan sesiapa yang benci dengan sunnahku maka dia bukan dari umatku." (Diriwayatkan oleh Abu Ya'la)

Melalui ikatan perkahwinan, membolehkan lelaki dan wanita itu bermesra-mesraan. Begitulah berkatnya mereka yang berkahwin. Namun, bagi yang tidak berkemampuan Rasululullah SAW dalam suatu riwayatnya telah bersabda yang bermaksud,

"Maka Rasulullah SAW telah bersabda kepada kami, 'sesiapa antara kamu berkemampuan untuk berkahwin, maka kahwinlah, sebab berkahwin itu dapat menyekat pandangan mata dan menjaga kemaluan. Tetapi sesiapa yang tidak berkuasa maka hendaklah dia berpuasa, sebab puasa itu melemahkan keinginan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitulah mulianya perkahwinan yang mengikut syariat di sisi agama.

No comments:

Post a Comment