Saturday, June 26, 2010

FITRAH SEORANG REMAJA HATIPERANTAU.WORDPRESS.COM “Dari Hati Ke Hati”

Cinta adalah sebahagian dari fitrah, orang yang kehilangan cinta adalah asam garam dalam kehidupan, tetapi banyak juga orang yang menderita kerana cinta. Bersyukurlah orang-orang yang diberi cinta dan biasa menyingkapi rasa cinta dengan waras.

“Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan disisi Allah tempat kembali yang baik.” (Al-Qur’an: Al-Imran ayat 14)

Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli (HR. Abu Dawud dan Ahmad)

Cinta memang sudah ada di dalam diri kita, di antaranya terhadap lawan jenis. Tapi kalau tidak berhati-hati, cinta mampu membutakan kita.

Cinta yang paling tinggi adalah cinta kerana Allah iaitu orang yang tidak memaksakan akan kehendaknya. Tapi ada juga cinta yang menjadi cubaan buat kita iaitu cinta yang lebih cenderung kepada maksiat. Cinta yang semakin bergelora hawa nafsu, makin berkurang rasa malu. Dan, inilah yang paling berbahaya dari cinta yang tidak dikawal.

Islam tidak melarang atau mengekang manusia dari rasa cinta tapi menyuruh agar cinta itu tetap pada landasan yang menjaga martabat kehormatan, baik wanita mahupun lelaki. Kalau kita jatuh cinta harus hati-hati kerana seperti meminum air laut, semakin diminum semakin berasa haus. Cinta yang sejati adalah cinta yang setelah melafazkan akad nikah, selebihnya adalah cubaan dan fitnah sahaja.

Cara untuk mengawal dan memandu rasa cinta ke arah yang lebih baik adalah dengan menjaga pandangan, jangan berkhalwat berdua-duaan, jangan dekati zina dalam bentuk apapun dan jangan saling bersentuhan.

Marilah kita mengalihkan rasa cinta kita kepada Allah swt dengan memperbanyak selawat, zikir, istighfar dan solat sehingga kita tidak diperdaya oleh nafsu, kerana nafsu yang akan memperdayakan kita. Sepertinya cinta padahal semua nafsu belaka.

Tak usahlah sebut pasal cinta jika anda benar-benar tidak mengambil kisah. Tak usahlah bercakap tentang perasaan, jika ia tidak berada di hati anda. Tak usahlah menunjuk ke dada, jika anda berhasrat melukakan hati pasangan anda.



Tak usahlah sebut cinta abadi jika ada di hati anda untuk berpisah. Tak usahlah memandang matanya jika anda berbohong kepadanya. Tak usahlah sebut “hai” jika kelak anda mengucapkan selamat tinggal. Tak usahlah katakan dia satu-satunya, jika ada orang lain di sisi. Tak usahlah kunci hatinya, jika anda tiada anak kunci untuk membukanya kelak.

Kepada siapakah kata-kata ini saya tujukan? Saya tujukan kepada setiap lelaki dan setiap perempuan, kepada setiap suami dan juga setiap isteri.

Dengan itu, diharapkan berkuranganlah isteri yang mengadu, suaminya sanggup dan sampai hati melukakan hatinya setiap hari. Semoga, berkuranglah kata-kata suami yang berbentuk sindiran, menghina dan membanding-bandingkan isterinya dengan orang lain. Mengapa mesti menyeksa insan yang paling hampir? Apa jua situasi yang mungkin dilalui kini, dia adalah yang terdahulu merasai susah-senangnya.

Awal perkahwinan mungkin tidak semewah hari ini. Kala itu dialah yang telah bertungkus-lumus untuk merealitikan sesuatu kehidupan agar menyamai orang lain. Pada saat ini, setelah getirnya dilalui, tatkala saat menikmati seronoknya, dia diketepikan.

Cinta telah dibekalkan kepada setiap insan. Dengan cintalah kehidupan dapat dijalani dengan penuh kenikmatan. Tanpa cinta semuanya menjadi hambar, ibarat kopi tanpa gula dan susu.



Tapi tak usahlah sebut cinta abadi jika ada di hati anda untuk berpisah. Perkataan cinta memang mudah dan indah disebut, tapi tak usahlah mempermainkan perkataan ini jika tersembunyi niat-niat yang tidak baik di hati anda terhadap pasangan anda itu. Anda tidak layak melahirkan perkataan ini jika ia bertentangan sama sekali dengan apa yang tersembunyi di hati. Semuanya ini meruntun rasa tanggungjawab anda.

Saya pernah diberitahu oleh seorang surirumah tentang suaminya yang suka membanding-bandingkan dirinya dengan perempuan-perempuan lain. Setakat perempuan lain masih tak mengapa, tapi dengan perempuan yang menjadi girlfriendnya. Setakat girlfriend sahaja barangkali masih tak mengapa, tapi dengan girlfriend yang dikatakan akan dikahwininya.

Lebih menyakitkan, si suami pulang dengan membawa hadiah yang hendak diberikan kepada girlfriendnya itu. Setakat hadiah mungkin tak mengapa lagi, tapi dengan kata-kata, “Hah, jangan usik. Bukan untuk engkau. Engkau mana layak pakai kain mahal macam tu. Muka engkau tu dah tak ada harga. Muka seposen!”

Kalau sudah sampai ke tahap ini, melampau namanya. Saya sangka dialog ini seperti ini hanya ada pada drama Melayu di tv tapi rupa-rupanya benar-benar terjadi. Sebagai lelaki saya berasa malu ada suami yang sanggup berlaku demikian terhadap isterinya.

Untuk suami yang begini, saya ingin bertanya, apakah tujuan anda berkahwin dengan isteri anda dahulu? Apakah anda dipaksa, diugut atau dibayar untuk melafazkan ijab dan kabul? Saya percaya sudah tentu tidak, malah anda barangkali yang ‘tergila-gila’ terhadapnya dan melakukan pelbagai cara untuk memenangi hatinya. Mungkin juga isteri anda yang memikat anda terlebih dahulu. Apapun, matlamatnya sama iaitu untuk saling mengenali dan mencari keserasian.

Apa yang menyebabkan anda mengambil keputusan untuk memperisterikannya? Kebaikannya, kecantikannya, kesabarannya, hati budinya, tutur katanya yang memikat, malah mungkin kesemuanya sekali.

Memang sesuatu yang kita pandang dari jauh lebih memikat sehinggalah kita dekati. Seperti kita menyangka pantai selalunya nyaman udaranya dan halus pasirnya. Tetapi setelah didekati, tidak sepanjang masa bayu laut menghembus, tidak semua pantai pasirnya halus dan bersih.

Demikian juga perkahwinan. Dahulu sebelum berkahwin angan-angan membuahkan perasaan yang muluk-muluk dan sangkaan yang indah-indah tapi setelah berkahwin perbagai perkara kian nyata. Biar apapun keadaannya, bukankah setiap insan itu ada kebaikan dan keburukannya, ada kelebihan dan kelemahannya. Jika ada sesuatu yang buruk pada dirinya, apakah diri anda baik semuanya? Jika anda pun demikian dan dia boleh menerima anda dengan keburukan yang ada pada diri anda, mengapa tidak anda?

Apa yang sebenarnya kita mahukan daripada sesebuah perkahwinan? Perkahwinan adalah kemuncak kepada kebahagiaan. Ia bagaikan stesen menyedia sebanyak-banyak bekalan sebelum beralih ke alam kehidupan lain-yang lebih abadi. Malang sungguh jika anda menjadikan perkahwinan sebagai stesen penghimpun dosa, sebagai stesen menyeksa kehidupan anda sendiri, yang sepatutnya anda kecapi dengan penuh kenikmatan, kebahagiaan bersama seluruh ahli keluarga anda.

Kasihanilah diri anda sendiri kerana fitrahnya ia memang sentiasa mahu bahagia. Wanita adalah penyeri kehidupan. Titipkanlah rasa cinta, kerana hanya kitalah makhluk yang dijadikan ALLAH mampu melafazkan perkataan ini untuk dinikmati oleh pasangan-pasangan kita. Buktikan kita insan bahagia, agar kebahagiaan bermula di sini dan berkekalanlah di sana… .”

No comments:

Post a Comment