Saturday, May 22, 2010

Saya Dah Tak Sanggup Hidup

www.iluvislam.com
Oleh : alhasanah
Editor : naadherah

“Pisau kat bawah bantal hari tu, untuk apa?” Saya mula memberi tekanan.

Ema terus tunduk. Tangisannya semakin kuat. Esak tangis itulah yang menjadi teman setianya sejak hubungan dengan kekasihnya mula menghadapi masalah. Esok kekasihnya akan bertunang dengan wanita lain.

“Nak buat apa dengan pisau tu?” Saya terus menekan. Ingatan saya kembali kepada peristiwa beberapa hari lalu. Jam 2.40 pagi saya dikejutkan dengan berita bahawa ada pelajar mahu mencederakan diri. Mujurlah ketika itu dia sudah terlalu lemah kerana tidak makan beberapa hari. Tindakan segera telah diambil. Namun, spot check di biliknya menemukan saya dengan sebilah pisau ‘tolak’ (pisau pemotong kertas) yang matanya sudah sedia untuk menjalankan tugasnya. Hairannya, pisau itu diletakkan betul-betul di sebelah surah Yasin!

“Saya dah tak sanggup hidup,” jelas Ema. Suaranya berselang-seli esak hiba.

“Kalau macam tu, kenapa tak teruskan je? Teruskan je lah niat ema tu!” Suara saya makin meninggi.
“Teruskan je niat Ema tu!” tekanan demi tekanan saya berikan.

Saya tak takut kerana pisau itu telah pun saya rampas! Saya rasa perlu untuk menasihat Ema dengan memberi tekanan sementelahan nasihat lembut berhemah tidak dapat mengubat kesedihannya.

Tangisan Ema semakin kuat. Akhirnya saya merendahkan suara. Saya sedarkan dia bahawa dia masih mampu untuk membuat pertimbangan yang wajar. Masih ingat pada mak. Masih ingat pada ayah. Masih ingat pada diri sendiri. Masih ingat pada Allah tuhan yang memiliki diri itu.

Ema hanya ditinggalkan kekasih. Sedangkan Ema masih setahun jagung di menara gading. Ada banyak perkara lain yang perlu menjadi keutamaan. Untuk apa ditangisi seorang lelaki yang tidak setia, yang sanggup meninggalkan Ema… Biarkan sahaja dia pergi. Pasti ada hikmahnya. Apa yang jelas, dia bukanlah lelaki terbaik untuk Ema.

“Ema, pandang mata saya,” pinta saya.
Ema terus tunduk. Tangisan sudah tidak kedengaran.

“Pandang mata saya, Ema.” Saya terus mengarah.
Saya angkat dagu Ema. Dia tetap enggan melihat mata saya.

“Pandang mata saya” Saya terus meminta.
Perlahan-lahan Ema membuka matanya. Merah dan sembab.

“Ema nampak tak anak-anak lima orang kat bawah tu. Kecil-kecil lagi. Ema tahu tak yang diorang tu anak yatim.” akhirnya apa yang saya tak suka sebut mula meniti bibir. Saya kawal perasaan.

“Ema, awak cuma hilang kekasih. Itu adalah ujian Allah. Tapi, ujian tu tak setanding dengan ujian yang Allah berikan pada orang lain. Setiap kali kita diberikan ujian, kena ingat bahawa ujian kat atas orang lain lebih berat lagi. Kita kena sabar… Sabar banyak-banyak…”
Saya terus merenung mata Ema. Beban di bahu dan beban di hati saya hanya Allah yang tahu.

“Ema hilang kekasih, tapi Ema masih ada emak ayah. Saya dah takde emak ayah. Ema tahu tak, suami saya meninggal masa saya tengah sarat mengandung lapan bulan. Mengandung lapan bulan, Ema… Dengan perut besar, anak-anak yang lain masih kecil-kecil. Masih mahu didokong, dimandi, disuap. Saya kena lalui semuanya seorang diri. Ema hanya hilang kekasih. Saya hilang kekasih, suami, tempat bergantung dan ayah kepada anak-anak. Tapi, saya kena kuat. Apa yang Allah tentukan untuk saya tak seberat dugaan yang Allah berikan pada orang lain.” air mata mula bergenang di kelopak mata saya. Saya menarik nafas panjang-panjang. Semangat dikumpul kembali.Saya mesti kuat!

Terbayang dahulu… Saya bercuti 2 minggu, kemudian kembali ke USM dan terus memberikan kuliah seperti biasa. Selepas kira-kira 40 hari suami meninggal, saya bersalin di hospital yang sama di mana suami meninggal. Berat. Terlalu berat rasanya ujian. Tapi saya perlu kuatkan semangat kerana kehidupan perlu diteruskan. Saya mengutip semangat Maryam, Hajar dan Aminah yang masing-masing sendirian melahirkan Nabi Isa, Nabi Ismail dan Nabi Muhammad s.a.w. Pengalaman saya yang tidak setanding taqdir buat tiga wanita itu tercatat di (http://drhasanah.com/2008/permata-baru/)

Lebih sejam saya memberi nasihat dan motivasi. Sebelum saya meninggalkan Ema sendirian di biliknya, saya tuliskan selawat syifa di atas sehelai kertas. Saya ajarkan kepadanya. Saya minta dia ulang baca berkali-kali. Selepas melihat keadaannya agak tenang, barulah saya berani melangkah keluar meninggalkan bilik tersebut.

Semoga sabar dan tabah.
Ema, usah jadikan pengalaman hidup saya sebagai panduan hidup. Ia sekadar perkogsian pengalaman. Tapi, ambillah Allah, al-Quran dan sunnah sebagai pegangan. Kalau bukan kerana Allah, al-Quran dan sunnah, saya juga pasti telah lama kecundang.

Teman penguat semangat saya ialah janji Allah s.w.t. “Maka sesungguhnya pada kesusahan akan ada kesenangan” dan juga “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan berikan untuknya jalan keluar (yang baik), dan diberikan kepadanya rezeki dari sesuatu yang tidak disangka-sangka, dan sesiapa yang bertawakkal (berserah) kepada Allah maka cukuplah baginya….(hingga akhir ayat)”

-adaptasi dari kisah benar. Nama ema bukan nama sebenar.
-kisah ini bukan bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak, tapi dengan tujuan supaya setiap kita lebih peka dengan masalah remaja dan belia kita. Bagi saya, banyak iktibar yang boleh diambil dari peristiwa ini.

No comments:

Post a Comment