Saturday, May 8, 2010

Novel Saya 2-Alaf 21



KAU KEKASIHKU
“Dulu mak suruh masuk maktab, tak nak... berangan lagi
nak jadi secretary. Sekarang ni dah susah nak dapat kerja. Cuba
dulu kalau masuk maktab... keluar aje terus mengajar.”

Aku tergelak-gelak mengenangkan keluargaku yang bagaikan ingin menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya
turun-temurun. Lantaran itulah aku ingin mencuba bidang
lain, sementelah rasanya aku tidak ada ‘jiwa’ di bidang ini.

“Dhira memang tak minat nak jadi cikgu. Dahlah arwah atuk
dulu cikgu, ayah cikgu pencen… Along cikgu. Kalau mak pun
cikgu… hmm, dah sahlah, habis satu keluarga jadi cikgu!”

“Kerja ni mulia… orang akan ingat dan hargai sampai bilabila. Tengok ayah… sampai dah pencen pun, orang tetap panggil dia cikgu. Sekarang ni bila sakit sikit aje pergi hospital sebab
doktor kat Hospital Tapah tu bekas anak murid dia... dapat
layanan istimewa lagi,” jawab Kak Nisha.

Aku tidak menafikan hal itu, tapi rasanya aku tidak sesuai
hendak menjadi guru. Sama ada aku akan dibuli oleh pelajarpelajar atau aku yang akan ‘telan’ mereka. Tidak pasti yang mana
satu, tapi kebarangkalian yang pertama itu lebih besar rasanya.

“Tapi akak rasa Dhira memang tak ada tokoh jadi cikgu.
Lembik macam sayur rebus… buli dek budak-budak aje!” rumus
Kak Nisha. Tentulah dia membuat kesimpulan itu berdasarkan
pemerhatiannya tentang sikapku. Biarlah dia berkata apa saja.
Aku tidak mahu membela diri atau menyanggah.

“Sekarang ni susah nak cari kerja. Kerani dengan lab assistant
kat sekolah akak tu… graduate universiti. Tak ada pilihan… kesian tengok! Pulak tu dia cerita kawan dia yang satu
U dah lama grad, tapi mintak kerja tak dapat-dapat. Tunangnya
pun macam tu. Akhirnya dia orang kahwin… duduk kat kampung toreh getah!”



LAGU RINDU
Aku terus bangun dari katil dan segera mencapai tuala.
Walaupun mata masih didodoi rasa mengantuk, aku bergegas ke bilik mandi. Silap aku sendiri, sepatutnya aku tidak
tidur semula selepas menunaikan solat subuh tadi.

“Puteri Adalea! Cepatlah sikit. Nanti mengamuk pulak si
Remy. Agaknya dia dah lama terpacak kat bawah tu!” laung
Linda mengingatkan.

Aku hampir-hampir terlupa tentang janji yang dibuat dengan Remy untuk ke Malaysian Student Department Hall
(MSD) bersama. Kami juga telah berjanji akan turut serta
dalam sambutan Aidilfitri di rumah terbuka Profesor Razak.
Itu pun setelah meraikan hari raya di MSD.

Pejam celik, pejam celik, sekejap betul masa berlalu. Kali
ini sudah masuk kali ketiga aku menyambut hari raya di
negara asing. Mungkin juga ini yang terakhir memandangkan
pengajianku di University of Salford, Manchester akan berakhir tidak lama lagi. Aku bakal membawa pulang segulung
ijazah Jurusan Media, Language and Business. Itulah
impianku sejak dulu lagi.

Sesungguhnya dalam mendambakan ilmu, jarak telah meletakkan aku terpisah jauh dari keluarga dan saudara-mara.
Aku terdampar di United Kingdom bukan sekadar memenuhi
cita-cita, tetapi aku turut merantau membawa sekeping hati.
Bukannya merajuk. Tapi lebih tepat, aku sebenarnya perlukan
ruang untuk membuang kekecewaan di jiwa.

MASA terus berlalu. Namun, parut yang tergaris di hatiku
masih berbekas walaupun hampir tiga tahun telah berlalu.
Tidak mungkin dapat kulupa bagaimana seorang nenek begitu membenci cucu kandungnya. Seseorang yang mempunyai pertalian darah dengannya tetapi tidak sudi memberi
walaupun secebis kasih dan sayang.



PESONA RINDU
ANGIN malam menampar langsir tingkap yang masih terbuka. Najmah terjaga. Hakimi sedang lena di sisinya. Di luar, Najmah mendengar leteran Mak Bedah yang tidak henti-henti. Haji Wahid sesekali memujuk. Mak Bedah marah sangat apabila mendapat tahu Najmah dengan Nadirah ke chalet Ustaz Syakir siang tadi.

“Gatal! Dah tak nak, kenapa pergi jumpa dia? Ha, itulah. Cakap orang tak pernah nak dengar. Kalau kahwin dengan Syakir dulu, tak payah nak bermadu-madu macam ni,” marah Mak Bedah jelas kedengaran.
Memang salah Najmah berbohong. Katanya hendak ke Kilang Keropok Kak Pah tapi pergi ziarah bekas tunang. Eloklah sangat kalau ditengok orang, rungut Mak Bedah lagi.

Najmah bangun dan menutup daun tingkap. Laut jauh berbalam. Dalam samar tidak jelas alunan ombaknya. Tetapi nyanyian anginnya jelas terdengar membawa bau air laut yang pekat masin.
“Awak suruh aje Naj balik ke Kuala Lumpur. Makin lama dia kat sini, makin banyak olah dia nanti. Semua nak conteng arang ke muka kita. Awak suruh dia balik!”

Najmah tersirap. Sampai macam tu marah emaknya. Tetapi Najmah akur. Emaknya tidak pernah mahu menerima kepulangannya. Dengan status wanita bermadu, dia dianggap sudah membawa malu.
Najmah beku di atas katil. Kalau itu keputusan emaknya, dia akur. Najmah mencari telefon bimbitnya. Tangan teragak-agak menekan nombor. Patutkah dia menghubungi Fazlan tengah malam begini? Tentu Darina akan terkejut. Lebih-lebih lagi kalau Darina yang menjawab panggilan. Tidakkah mengundang persoalan? Niat menghubungi Fazlan dibatalkan.
Sebaliknya beg di bawah katil terus dicapai. Baju-baju yang tersidai di atas kerusi dikutip satu-persatu. Dia akan tinggalkan rumah ini awal pagi besok.

“ASSALAMUALAIKUM abah.” Suara garau membawa kejutan di awal subuh.
Haji Wahid menoleh. Para jemaah mula mengambil saf. Bilal sedang beriqamah. Haji Wahid terkejut melihat Fazlan menerpa dan mencapai tangannya. Sejuk hidung Fazlan menyentuh belakang tangannya.
“Bila sampai?” soal Haji Wahid.
“Baru aje abah.”

Pak imam sudah pun mengambil tempat dan mengangkat takbiratulikhram.
“Kita solat dulu,” ujar Haji Wahid.
Fazlan mengangguk. Dia merapatkan bahunya ke bahu Haji Wahid. Jemaah yang lain juga berbuat begitu. Agak berhimpit tetapi harus untuk mengelakkan syaitan mencelah di antara mereka. Takut solat tidak khusyuk.

Damai hati Fazlan mendengar bisik Haji Wahid menyebut nama ALLAH. Kesempatan ini tidak selalu datang. Sama-sama bertakbir, sama-sama rukuk dan sujud. Maha Besar ALLAH yang mencipta kedamaian ini.
“Kenapa kamu menangis?” Haji Wahid terkejut melihat Fazlan sedang menangis ketika mencium tangannya selepas pak imam selesai membaca doa.

“Saya dah banyak menyusahkan abah dengan mak,” ujar Fazlan terharu.
Haji Wahid merenung menantunya. Kesan mengantuk jelas di kelopak mata.
“Saya tak berlaku adil pada Naj dan Kimi.”
“Apa pulak menyusahkan. Kau menyenangkan hati Naj, menyenangkan hidup dia. Apalagi yang tak adilnya?” ujar Haji Wahid sambil melipat sejadah.

Fazlan masih melutut sambil mengesat air mata.
“Dahlah tu. Mari kita balik. Kimi dah rindukan kau,” pujuk Haji Wahid.
“Kau memandu sepanjang malam?” soal Haji Wahid ketika Fazlan memusingkan stereng kereta meninggalkan pekarangan masjid.
Fazlan mengangguk.
“Saya rindukan Kimi,” ujar Fazlan.
“Isteri tua kau tak tahu kau datang ni?”
Fazlan terkejut mendengar soalan itu. Haji Wahid tahu kepulangan Darina. Tentu Najmah yang bercerita. Fazlan akhirnya menggeleng.
“Kau kena beritahu dia. Nanti jadi suami yang tak adil pulak.”
Fazlan mengangguk. Tabir subuh disingkap jalur mentari di ufuk timur. Kereta Fazlan menyusuri ke halaman rumah. Mak Bedah terkejut apabila melihat kereta besar membawa suaminya pulang. Lebih terkejut kerana Fazlan yang keluar, membukakan pintu bapa mentuanya. Mak Bedah meletakkan raga ikan di pelantar. Kakinya ligat masuk ke dalam rumah. Fazlan melihat kelibat emak mentuanya. Tentu dia tidak suka Fazlan datang.

“Kak Naj, Kak Naj, Abang Lan sampai,” beritahu Nadirah.
Fazlan sampai? Kenapa dia datang? Nadirah telefon dia agaknya pasal Mak Bedah marah-marah semalam, detik hatinya.
“Dengan abah kak. Agaknya dia jumpa abah kat masjid,” ujar Nadirah lagi.
Najmah bersikap selamba. Di halaman, Fazlan teragak-agak hendak masuk ke rumah.
“Masuklah,” pelawa Haji Wahid.
Fazlan terpaksa mengekori bapa mentuanya walaupun emak mentuanya tidak suka dia datang. Di ruang tamu, sekali lagi dia teragak-agak hendak duduk atau apa?
“Ha, masuklah bilik tu. Naj kat dalam dengan Kimi,” ujar Haji Wahid sambil membuka songkok.
Fazlan mengangguk. Asing benar dia di rumah ini. Macam rumah orang lain sahaja. Najmah tidak terkejut apabila Fazlan memberi salam. Dia menyambut salam dan mencium tangan suaminya.
“Abang tahu pulak Naj nak balik hari ni? Irah telefon ke?”
Fazlan menggeleng. Dia memeluk bahu Najmah dan mengajaknya ke katil. Hakimi masih lena. Fazlan mencium pipi anaknya berkali-kali.
“Dia asyik sebut nama abang. Agaknya rindu sangat.”
“Naj kata seminggu, dah masuk sebulan kat sini... abang pun rindukan dia.”
“Abang dah izinkan, kalau tak... tentu Naj balik minggu lepas lagi,” ujar Najmah sambil melipat selimut.
Fazlan melihat beg tersusun di tepi dinding.
“Jadi mama nak buat majlis persandingan abang?” Soalan Najmah begitu selamba.

Fazlan tersentak.
“Buat kat hotel jugak ke?” soal Najmah lagi.
Fazlan menggeleng. Dia menarik bahu Najmah rapat ke dadanya namun Najmah terasa asing.
“Kita jangan cakap pasal tu,” ujar Fazlan.
Najmah menjauhkan dirinya. Sentuhan tangan Fazlan juga terasa lain.
“Naj, jangan seksa abang macam ni,” ujar Fazlan.
Najmah tersenyum nipis.
“Apa abang cakap ni?” Najmah pura-pura tidak mengerti.
“Kak Naj, Abang Lan... mak ajak minum.” Suara nyaring Nadirah di sebelah pintu mengejutkan mereka. Hakimi juga menggeliat dan merengek. Kakinya menendang-nendang.
“Ha, dah basahlah tu,” ujar Najmah.
“Assalamualaikum... sayang papa dah bangun?” soal Fazlan merenung Hakimi.

“Pa!” Hakimi bingkas bangun, memeluk leher Fazlan.
Fazlan mencium anaknya sepuas hati. Rindu sangat.
“Kak Naj, abang... cepat ya ke dapur.”
Rupa-rupanya Nadirah masih berada di depan pintu.
“Yalah... Kimi baru bangun,” jawab Najmah.
“Abang ke dapur dulu. Naj nak salin Kimi,” pinta Najmah.
Fazlan keberatan.

“Pergilah bang, mak tengah okey tu,” pujuk Najmah.
Fazlan tersenyum. Kemudian menghadiahkan ciuman di pipi. Najmah tergamam. Tidak sempat mengelak. Pantas dia menyapu pipinya. Tidak mahu ada bekas. Hidung itu telah menyentuh pipi Darina.
Mak Bedah tidak memandang Fazlan. Najmah muncul ketika Haji Wahid sedang membaca doa. Diaminkan semuanya dengan rasa syukur. Mak Bedah pura-pura bersikap selamba. Menyenduk nasi dagang untuk suami dan kemudian menghulurkan pinggan untuk Najmah.
Suasana sepi seketika. Nadirah menjeling-jeling Mak Bedah. Menanti kalau-kalau Mak Bedah hendak cakap apa-apa tetapi Mak Bedah tetap membisu seribu bahasa. Kalau marah dengan Kak Naj takkan dengan Abang Lan pun mak tak tegur, hati Nadirah berbisik.
Haji Wahid memang senyap ketika makan. Jarang mahu bercakap kecuali isu penting sahaja. Fazlan merasakan keluarga mentuanya tidak mesra. Dia berasa begitu janggal dan sangat terasing.
“Maafkan saya mak. Saya memang selalu menyusahkan mak,” ujar Fazlan merendah diri.

“Nak minta maaf apa? Kau ada buat salah ke?” Mak Bedah memperli.
“Kahwin dua tu tak salah. Poligami tu harus.” Haji Wahid segera membetulkan kekeliruan isterinya.
“Soalnya, lelaki boleh adil atau tak, kan?” Mak Bedah menempelak. “Mana lelaki boleh adil dalam soal poligami? Rasulullah pun bermasalah dengan isteri-isteri dia. Aishah tu bukan main cemburu dengan Khadijah. Tak boleh Rasulullah menyebut kebaikan Khadijah di depannya.” Mak Bedah mula bersyarah.

“Kalau perempuan tak cemburu, tak ada langsung masalah poligami. Kita tahulah itu fitrah perempuan. Tetapi bila nafsu jadi raja, akal terus mati,” ujar Haji Wahid.
“Saya berpoligami bukan kerana nafsu. Saya cintakan Naj.” Fazlan menjelaskan.
Sarapan pagi mula menjadi majlis berbahas tentang poligami. Nadirah tersengih-sengih mendengar bahas emak dan abahnya.
"Apa kempen terbaru persatuan wanita awak? Kempen satu isteri satu suami dah batal, kempen kurung suami dalam rumah pulak,” perli Haji Wahid.
Mak Bedah tarik muka masam. Fazlan merenung tenang wajah emak mentuanya. Akhirnya Mak Bedah bangun dan mengangkat pinggan ke sinki. Tiba-tiba air matanya gugur. Pandangannya jadi kabur.



SAAT CINTA BERSEMI
Seminggu lamanya Nur Dhuha terperuk di dalam rumah. Bukan sahaja dia menyembunyikan diri daripada jiran-jiran, malah dengan Maya pun dia tidak mahu bertemu. Dia juga telah mengambil cuti daripada menonjolkan dirinya di Hotel Sari Astana. Dia malu mahu memperlihatkan kesan lebam dan luka di seluruh wajah dan tubuhnya.
Keadaan itu hanya akan menimbulkan umpatan dan persoalan di bibir mereka yang memandang. Sudah beberapa kali Maya mencarinya di rumah. Tetapi Nur Dhuha lebih rela mendiamkan diri. Jiran-jiran di sebelah rumahnya juga sentiasa bercakap-cakap mengenai Badrul membuatkan Nur Dhuha jadi segan untuk berdepan dengan orang ramai. Apatah lagi dengan keadaan dirinya yang masih lemah dan sakit-sakit akibat pukulan Badrul seminggu yang lalu. Nur Dhuha tunduk.
Membayangkan pukulan Badrul membuatkan dia sering dihantui rasa gelisah. Memang Nur Dhuha akui yang dia sudah lali dengan pukulan dan hentakan itu, tetapi ketakutannya tetap ada. Kesakitannya masih terasa. Dia juga manusia biasa yang dapat merasa apa itu kesakitan. Dia bukannya manusia luar biasa, yang hanya mampu menyepikan diri apabila diri dihentak dan diterajang sesuka hati. “Sampainya hati Abang Bad pukul aku macam tu.
Abang Bad tak sayang aku ke? Bukan ke aku saja adik dan saudara dia yang tinggal?” Hati Nur Dhuha dipagut rasa pilu yang dalam. Hatinya sebak tiba-tiba. Entah mengapa air matanya kembali menerjah ke kelopak mata. Dia gagal untuk menahan.
“Sampai bila aku harus menderita dengan keadaan ini? Sampai bilakah aku perlu melalui keperitan hidup sebegini?” Soal Nur Dhuha sendirian.
“Aku perlu mengubahnya! Aku perlu mencari di mana silapnya dan memperbetulkan kesalahan yang telah abangku lakukan.” Tekad Nur Dhuha sungguh-sungguh. “Tetapi di mana harus aku mulakan?”
“Dhuha! Oh, Dhuha!” Nur Dhuha tersentak apabila terdengar namanya dilaung dari luar rumah. Nur Dhuha kenal benar dengan suara itu. Perlahan-lahan dia menghayunkan langkah menuju ke tingkap bilik sebelum menyelak sedikit langsir untuk mengintai keluar. Tepat seperti yang dijangka. Maya sedang berdiri tegak di hadapan pintu pagar rumahnya.

“Kenapa Maya cari aku? Kalau aku keluar, mesti Maya nampak aku macam ni. Apa aku nak jawab?” “Dhuha! Aku tahu kau ada kat dalam. Bukak pintu ni! Aku nak masuk!” Nur Dhuha mengintai lagi. Kali ini Maya sudah pun terpacak di hadapan pintu rumahnya. Cepat-cepat Nur Dhuha menjauhi tingkap bilik. Dia berundur ke katil. Masih memikirkan jawapan yang wajar diberikan kepada Maya. Mujurlah Badrul tiada di rumah waktu itu. Sejak pagi dia sudah menghilangkan diri. Nur Dhuha malas mahu mengambil tahu lagi! “Dhuha!” Nur Dhuha melabuhkan punggungnya ke atas katil. Sejenak kemudian, dia bingkas kembali ke tingkap bilik. Namun kelibat Maya sudah tiada lagi di situ. “Dah balik kau Maya!” bisik Nur Dhuha perlahan. Dia mengeluh kecil. Sedikit lega dengan keadaan itu.

“Kenapa kau tak buka pintu? Kau nak sembunyikan apa daripada aku?” Tiba-tiba sahaja suara Maya menyergahnya dari arah belakang. Nur Dhuha tersentak. Dia segera memusingkan tubuh lalu terpandangkan Maya yang sedang bercekak pinggang di muka pintu biliknya. Baru dia teringat yang pintu rumahnya memang tidak berkunci. Maya yang jelas pada awalnya cuba menahan marah terus menghampiri. Sebaik terpandang wajah Nur Dhuha yang dipenuhi lebam dan luka-luka kecil, dia terkejut. “Kenapa ni Dhuha?” soal Maya sambil tangannya cuba menyentuh wajah Nur Dhuha. Nur Dhuha pantas menggeleng dan mengelak.

“Tak ada apa-apalah,” jawabnya.
“Kau cakap betul-betul. Kau kena pukul lagi ya?”
“Tak adalah!”
“Baik kau cakap. Abang Bad pukul kau lagi, kan?” “Tak!”
“Habis, macam mana muka kau boleh lebam-lebam macam ni? Minggu lepas, aku tengok muka kau tak ada apa-apa pun.” Maya masih tidak berpuas hati dengan jawapan Nur Dhuha.
“Lebam-lebam ni?” Jari telunjuk Nur Dhuha dihalakan ke wajahnya sendiri. Maya mengangguk. Dia memandang hairan Nur Dhuha yang tersenyum. “Aku terjatuh dalam bilik air dua hari lepas. Kau tak payah risaulah,” jawab Nur Dhuha dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat.
“Kau jangan nak tipu akulah Dhuha! Aku bukannya bodoh. Lebam-lebam ni bukan kesan jatuh. Nampak macam kesan kena pukul aje! Kalau terjatuh, takkan teruk sampai macam ni sekali!”
“Kenapa kau cari aku ni?” soal Nur Dhuha sambil cuba menjauhkan dirinya daripada Maya. Dia mengorak langkah ke muka pintu. “Kenapa kau nak sembunyikan perangai Abang Bad lagi, Dhuha? Dia dah teruk seksa kau, tau tak? Kau tak boleh biarkan dia buat macam ni lagi. Ini dah kes mendera namanya!” Langkah Nur Dhuha terhenti di pintu bilik. Dia berpaling ke belakang menghadap Maya yang masih berdiri tegak di tengah-tengah biliknya.

“Apa kau cakap ni? Kan aku dah cakap yang aku tak apa-apa. Aku cuma terjatuh dalam bilik air. Itu aje!” balas Nur Dhuha masih mahu menyembunyikan perkara sebenar dari pada pengetahuan Maya.
“Aku tak percaya! Seminggu kau berkurung dalam rumah. Aku banyak kali cari kau kat sini, tapi kau tak nak keluar. Kenapa?” Suara Maya sudah meninggi. Dia benar-benar marah dengan tindakan Nur Dhuha yang menyembunyikan perbuatan zalim Badrul itu. “Masa kau datang, aku tengah tidur agaknya!” Nur Dhuha memberi alasan. Maya mendengus kasar.
“Aku tak peduli! Kalau kau tak nak laporkan pada rukun tetangga taman kita ni, aku akan laporkan bagi pihak kau. Tak pun, aku terus laporkan pada polis!” ugut Maya dan terus menyusun langkah untuk keluar dari situ. Nur Dhuha tersentak. “Maya!” Nur Dhuha sempat menarik pergelangan tangan rakannya dari terus berlalu. “Maya, tolonglah jangan laporkan pada sesiapa!” Pandangan mata Nur Dhuha dihala tepat ke anak mata Maya.

Maya terdiam. Terserlah kesayuan di mata Nur Dhuha. “Aku merayu pada kau Maya! Jangan laporkan pada polis. Tolonglah...” rayu Nur Dhuha lagi. Maya melepaskan keluhan berat. Tangan Nur Dhuha yang melekap di pergelangan tangannya digenggam.
“Sampai bila kau nak biarkan Abang Bad terus-terusan buat macam ni? Kau menyeksa diri sendiri, Dhuha.”
“Abang Bad yang jaga aku sejak kecil, Maya. Aku tak sampai hati nak biarkan dia ditahan. Kau bayangkan Maya, mak aku meninggal dunia sejak aku dilahirkan. Ayah aku pulak... entahlah! Kalau Abang Bad tak ada masa tu, entah apa yang dah jadi kat aku sekarang ni...” Nur Dhuha tertunduk. Dia berasa sayu dengan kata-katanya sendiri. Biarpun Badrul selalu menyeksanya, tidak pernah terlintas di hati kecilnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap abangnya itu. Nur Dhuha masih tetap sayangkan Badrul. Selama ini, lelaki itulah yang berusaha memberinya pendidikan, makan, pakai serta keperluan-keperluan lain. Cuma sikapnya sahaja yang panas baran. Bukankah perkara itu boleh diubah? Nur Dhuha cuba menyedapkan hatinya sendiri. “Susah hati aku dengan sikap kau ni, Dhuha! Bukan sekali dua Abang Bad buat kau macam ni! Dah berkali-kali, tau tak?” rungut Maya. Nur Dhuha terdiam. Biarlah. Walau apapun yang Maya cakap, dia sudah tidak kisah! Lebam-lebam itu pasti akan hilang. Lama-kelamaan, tidak akan memberikan sebarang kesan di wajahnya selain... Jari-jemarinya meraba-raba dahi. Terasa ada bonjolan parut yang panjang di situ. Yang pasti, parut tersebut bukan angkara Badrul.
“Kau tak kerja hari ni?” tanya Maya sambil mendekati Nur Dhuha. Nur Dhuha memandang jam yang tergantung di dinding kamarnya. Tepat pukul 7.30 pagi. “Dah hampir seminggu aku tak masuk kerja. Hari ni, cadangnya aku nak pergilah...” Nur Dhuha menjawab lemah. “Lebam-lebam kat muka kau tu masih nampak lagi. Nanti apa pulak kata kawan-kawan kerja kau!” Maya diburu rasa bimbang.
“Kalau dibedak-bedakkan, tak nampaklah lebam ni kot!” “Muka kau tu tak pernah dibedak, Dhuha! Kalau tiba-tiba kau berbedak semata-mata nak tutup kesan lebam tu, janggal pulak orang tengok nanti.” Maya sempat menyindir. Memang sejak dia mengenali Nur Dhuha, jarang sekali dia melihat gadis itu menepek bedak yang tebal-tebal di mukanya. Bagi Maya, kelicinan kulit Nur Dhuha sudah semulajadi. Tidak perlu ditambah-tambah dengan solekan kerana dia tahu tanpa mekap pun, gadis itu tetap menarik.
Sewaktu di sekolah dahulu, kecantikan Nur Dhuha tidak begitu menyerlah. Kebanyakan pakaiannya ikut “dan” sahaja! Cantik atau tidak pakaiannya, Nur Dhuha tidak pernah ambil peduli. Tetapi setelah meningkat dewasa, keadaan fizikal Nur Dhuha sudah banyak berubah. Lain benar! Perubahan yang benar-benar telah menjadikannya seorang anak gadis yang mempunyai kecantikan tersendiri. Tubuhnya yang dahulu agak gempal dan rendah, kini berubah tinggi dan langsing. Jerawat yang dahulunya agak penuh di seluruh kulit muka, semakin lama semakin menghilang dan berubah bersih dan cantik.
Cuma yang masih kekal di wajah Nur Dhuha ialah parut sepanjang jari di dahi. Parut yang disebabkan oleh rakan sekolahnya dahulu! Pun begitu, ia tidak langsung mencacatkan anggota wajahnya. Nur Dhuha tetap cantik. “Habis? Aku nak buat macam mana ni?” Nur Dhuha menyoal. “Cutilah dua tiga hari lagi,” saran Maya kemudiannya.
“Eh, tak boleh. Aku kena pergi kerja jugak hari ni.” Cepat-cepat Nur Dhuha memintas percakapan Maya. Nur Dhuha tidak mahu memikirkan apa-apa alasan lagi selain bersiap-siap untuk ke Hotel Sari Astana. Dalam masa 15 minit lagi, dia akan berjalan kaki dan menaiki bas. Dia akan sampai di hotel tempatnya bekerja dalam masa 10 minit. Nur Dhuha benar-benar bersyukur kerana jarak rumahnya dengan hotel itu tidaklah begitu jauh.

SEPERTI selalu, Nur Dhuha terkocoh-kocoh berlari ke dewan perjumpaan. Dia sudah terlewat 15 minit. Ketika dia memasuki dewan, semua pekerja sedang diberi taklimat. Nur Dhuha dapat menangkap sorotan mata Tee Keong yang memandangnya. Cepat-cepat Nur Dhuha mengambil tempatnya seperti biasa. “Kau pergi mana cuti lama-lama ni, Dhuha?” Hazlela berbisik halus di sisinya. Tidak sempat dia hendak membetulkan uniformnya yang agak tidak kemas hari itu. Nur Dhuha mengerling Hazlela seketika sebelum meletakkan anak matanya ke arah Tee Keong yang sedang menerangkan sesuatu di hadapan pekerja-pekerja lain. “Aku cuti. Tak sihat.”
“Tak sihat? Kau sakit ke? Serius?” Nur Dhuha menggeleng. “Tak sihat sikit aje. Sakit-sakit biasa!” balas Nur Dhuha masih berbisik. “Cuti sampai seminggu kau cakap tak serius? Kau biar betul!” Nur Dhuha hanya diam mendengar komen Hazlela. Dia malas mahu menerangkan sebab sebenar dia tidak dapat datang bekerja beberapa hari yang lalu. “Eh, kenapa muka kau lain macam aje aku tengok? Ada lebam-lebam...”

“Tak adalah. Mana ada...” Nur Dhuha menepis pantas tangan Hazlela yang sudah hampir ke wajahnya. “Dhuha, habis taklimat nanti, saya nak bercakap dengan awak sekejap!” Suara Tee Keong yang kuat itu sedikit menyentap hati Nur Dhuha. Hazlela yang ingin menyambung kata terus menyepikan diri. Nur Dhuha terkedu. “Nak jumpa aku? Habislah...!” Hatinya risau tiba-tiba. Sempat anak matanya dan anak mata Hazlela bersabung pandang. Selepas semua pekerja bersurai, Nur Dhuha melangkah menghampiri Tee Keong.
“Kenapa Tee Keong?” Nur Dhuha bertanya lembut. Sejak hari pertama dia bekerja di hotel itu, Tee Keong sendiri tidak kisah jika dia memanggil dengan nama sahaja. Lelaki itu nampak baik biarpun usianya kelihatan tua beberapa tahun daripada Nur Dhuha.
Tee Keong ialah seorang pengurus yang mementingkan kebajikan pekerja di bawah seliaannya. Tee Keonglah yang banyak menegur jika dia melakukan kesilapan sejak mula dia bekerja di hotel tersebut. “Awak ambil MC tu, ada bukti daripada doktor panel kita tak?” Tee Keong bertanya. Nur Dhuha dan Tee Keong jalan beriringan menyusur keluar dari dewan perjumpaan.

“Bukti? Kena ada ke?” Berkerut-kerut dahi Nur Dhuha menyoal lelaki di sisinya itu. Terfikir-fikir kepentingan surat MC yang sepatutnya dititikberatkan. Ê Tee Keong mengeluh kecil. “Semalam bos dah marah sebab awak masih seorang pelatih. Prosedur hotel ni... seorang pelatih tak boleh bercuti selagi belum confirm sebagai pekerja yang sah,” jelas Tee Keong lembut dan penuh diplomasi. Nur Dhuha menggeleng tanda tidak faham dengan penjelasan lelaki Cina itu.

“Silap saya sebab tak beritahu awak awal-awal lagi. Sepatutnya, selepas tiga bulan awak bekerja di sini, bos akan membuat penilaian berdasarkan disiplin, kecekapan dan cara komunikasi awak selama bekerja sebagai pelatih sebelum bos menetapkan untuk mengambil awak sebagai pekerja tetap atau tidak.”

“Jadi?” “Tak tau bagaimana saya nak cakap, Dhuha. Bos nak jumpa awak pukul 10.00 nanti di biliknya.” Nur Dhuha mula didatangi resah. Bos hendak berjumpa aku? Apa hendak aku katakan pada bos nanti? Sudahlah itu kali pertama mereka bersua. Apa pula tanggapan bos dengan disiplin kerjanya. Entah mengapa hati Nur Dhuha diburu debaran dan gementar.

“Tak apalah. Kalau bos panggil nanti, saya akan temankan awak,” ujar Tee Keong untuk menyedapkan hati Nur Dhuha biarpun dia tahu bosnya itu tidak mungkin akan membenarkan dia masuk untuk mendengar penjelasan daripada seorang pekerja. Itu memang sudah menjadi prinsip bosnya!








No comments:

Post a Comment