Wednesday, April 28, 2010

Rahmat Menjadi Insan Yg Disayangi

Pendamping setia beri kekuatan bina perhubungan bahagia, ikhlas



SIAPAKAH diri kita? Apakah kedudukan kita penting di sisi orang yang tersayang? Seorang suami sentiasa berada di sisi isteri, menemaninya mewujudkan impian membina rumah tangga sakinah, mawaddah dan warahmah.



Seorang ibu menjadi sahabat paling setia bagi anaknya dan bersedia membahagi hatinya untuk dikorbankan demi kebahagiaan mereka. Kawan karib selalu mendampingi dalam susah ataupun senang kerana kekuatan persahabatan yang dijalin bersama, tiada hasrat berkhianat untuk kepentingan sendiri.



Begitulah kehidupan anak Adam yang diciptakan untuk saling kenal mengenal, isi mengisi, dokong mendokong kerana mengharapkan kebahagiaan dalam perhubungan mereka.



Inilah kehidupan yang dibentangkan di hadapan manusia, mereka tidak terlepas daripada 'hubungan kemanusiaan' antara sesama. Al-Quran menggariskan perjalanan mereka dengan lengkap supaya sentiasa beringat bahawa hidup ini perlu kepada pendamping di sisi.



Menjadi seseorang yang mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain adalah amalan dituntut dalam syariat Islam. Ia amalan paling berat timbangannya di akhirat nanti.



Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang paling berat dalam timbangan orang beriman pada hari kiamat selain daripada akhlak yang baik." (Hadis riwayat al-Tirmizi, Ahmad dan al-Bukhari)



Apabila seseorang kembali ke rahmatullah, tiada apapun yang akan dikenang kecuali dua perkara; adakah dia hamba Allah yang baik pergaulannya ketika hidupnya atau dia adalah seorang yang jahat perangainya.



Kesan peninggalannya itu akan dinilai oleh manusia yang mengenalinya. Kita pernah berkenalan dengan ramai orang, tetapi adakah sesuatu yang istimewa dapat kita rasa daripada orang yang hadir dalam hidup kita?



Kebaikannya, sifatnya dan akhlaknya yang boleh membuat air mata mengalir apabila mengingati keistimewaannya itu. Insan yang pernah hadir memberi kebahagiaan dalam hidup, kehilangannya membuat hati menjadi rindu dan semakin sayang. Betapa beruntungnya menjadi orang yang dikasihi dan sentiasa dikenang kebaikan dan jasanya.



Anas bin Malik berkata: Telah datang jenazah yang dihantar melewati sahabat Rasulullah SAW, kemudian mereka memujinya dengan kebaikan lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wajib!" Tidak lama kemudian datang lagi iringan jenazah lain dan mereka mengatakan keburukannya. Nabi SAW bersabda: "Wajib!" Umar bin Khattab bertanya: "Apa yang wajib wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Jenazah yang kalian puji dengan kebaikan maka dia wajib masuk syurga. Dan yang kalian sebut kejahatannya maka dia wajib masuk neraka, kalian adalah saksi-saksi Allah di muka bumi." (Muttafaqun Alaih)



Manusia hidup mesti merancang supaya kehidupannya berkualiti dan bahagia hingga ke akhir hayat. Namun, jarang yang merancang untuk mati sebagai insan yang disayangi dan dihormati.



Bukan bermaksud gila kehormatan dan pujian orang lain, tetapi merancang menjadi hamba Allah yang disayangi ketika mati. Rasa sayang itu bukan dapat direka-reka, ia lahir daripada hati yang paling suci pada diri manusia.



Kita tidak dapat menolak jika orang sayang kepada diri kita dan kita tidak dapat memaksa orang untuk menyayangi kita. Ia adalah satu perasaan di luar kuasa dan kawalan manusia.



Begitulah 'rahmat' istimewa terserlah dalam keperibadian seorang manusia. Hanya Allah SWT yang melimpahkan rahmat kepada diri hamba-Nya sehingga mata sesiapapun yang memandang pasti akan terkenang keunikan kita tanpa paksaan.



Kekuatan kita berada pada orang yang mendampingi kita. Kehadiran mereka memberi satu dimensi positif yang mempengaruhi pemikiran dan perasaan kita. Di sisi Adam berdiri Hawa yang setia, di sisi Rasulullah SAW hadir sahabatnya yang agung.



Di sisi raja yang mulia tegak bersama menteri yang amanah. Di sisi seorang suami ada isteri yang mencintai, menghormati dan memberi sokongan tidak berbelah bagi. Kita perlukan mereka untuk menjalani hidup ini dengan gembira.



Tiada yang paling berharga di dunia melainkan pendamping setia, sahabat, jiran dan sanak saudara yang mahu dicintai dan ikhlas mencintai kita. Tetapi perlu diingat bahawa sesiapa yang tidak mencintai mustahil akan dicintai.

No comments:

Post a Comment